Sunday 21 April 2013

Menyusun Kata, Membina Jiwa


Menyusun Kata, Membina Jiwa

Ada waktunya kita mengucapkan sesuatu perkataan yang ringkas namun pada saat itu kekuatan jiwa tidak cukup kuat untuk mengungkapkannya. Kekuatan jiwa terbina seiring dengan usaha untuk menyusun kata-kata yang selama ini dilihat ringkas namun cukup untuk menyuntik kekuatan buat diri.

            Biarpun dengan sekadar menyusun kata sehingga membentuk perkataan, namun apabila ianya diucapkan dan didengari oleh telinga, maka kekuatan jiwa terbina sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan susunan kata yang tertulis, mata yang melihat dan membaca turut membina jiwa yang memotivasikan diri untuk terus hidup dengan penuh kekuatan.

            Sebagai contoh, kita seringkali melihat ramai orang meng'update' status Facebook dengan kata-kata yang bagi kita ringkas dan hanya dilihat selayang pandang. Namun, buat diri yang meng'update' status itu, ia merupakan suatu kelegaan dan ketenangan. Janganlah pula itu dilihat terlalu awal sebagai melempiaskan ketagihan Facebooknya, tetapi kita seharusnya melihat bahawa Netizen (masyarakat internet) sememangnya mencari ketenangan dengan cara demikian.

            Kalau kita beralih pula kepada masyarakat yang hidup di alam realiti, kita akan dapat lihat seseorang yang sedang berada dalam keresahan jiwa pasti akan mengulang-ulang suatu ayat ringkas di bibirnya bagi membina suatu kekuatan jiwa untuk terus hidup dengan penuh bertenaga. Biarpun kita melihatnya seperti membebel tanpa henti dengan ayat yang sama, namun dengan bebelan itulah yang memberikannya tenaga untuk menjalani kehidupan hariannya.

            Sepertimana kita melihat sesebuah ucapan itu mampu memberikan kesan besar di dalam kehidupan dari aspek negatifnya seperti mencerca, mengumpat dan seumpamanya. Begitulah juga ia turut berfungsi secara positif dalam kehidupan seharian dan orang sekeliling seandainya diucapnya dengan ucapan yang penuh unsur kebaikan.

            Teruskan kehidupan anda dengan ucapan yang penuh kebaikan. Walaupun diulang-ulang sehingga kedengaran bosan, namun dengan ucapan itulah jua kekuatan jiwa terbina.
            Istiqomah dengan kata-kata yang penuh kebaikan walaupun ringkas!



Thursday 11 April 2013

Nasihat Itu Lahir Daripada Kesedaran Bermasyarakat


Nasihat Itu Lahir Daripada Kesedaran Bermasyarakat



Islam tidak memandang manusia sebagai satu individu sebaliknya Islam memandang manusia sebagai satu masyarakat. Berdasarkan perkara ini segala taklif (suruhan ataupun larangan syarak) diajukan kepada manusia dalam bentuk kolektif : "Wahai orang-orang yang beriman." Al-Quran tidak mendatangkan ungkapan : "Wahai orang yang beriman." Ini kerana taklif-taklif tersebut memerlukan kepada gandingan dan kerjasama dalam memikul serta melaksanakannya. Dalam perkara ini tiada bezanya antara ibadat dan muamalat. [1]

Ini merupakan sebahagian isi yang saya perolehi daripada pembacaan hari ini yang mana harus kita semua sedar bahawa jika seseorang memberikan kita nasihat, maka nasihat itu harus dinilai secara zahirnya sebagai suatu kesedaran dalam kehidupan bermasyarakat. 

Selagi mana hidup sebagai manusia yang kita semua sedia sedar sebagai makhluk yang penuh dengan kelemahan dan serba kekurangan, lantas dengan hidup atas kesedaran bermasyarakat itulah yang akan memperkukuhkan kelemahan diri dan melengkapi kekurangan diri.

Rujukan :

[1] Ciri-ciri Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Penerbitan Seribu Dinar (2012) Mukasurat 2.

Sunday 7 April 2013

Lihatlah Diri Sebagai Seorang Pelajar


Lihatlah Diri Sebagai Seorang Pelajar


Sekiranya kita melalui perjalanan dalam kehidupan ini dengan melihat diri kita sebagai seorang pelajar supaya apabila berhadapan dengan ujian yang mendatang kelak, maka ujian itu akan dilihat sebagai suatu subjek pelajaran yang mesti dihadapi untuk meningkatkan lagi kemajuan diri di sisi Allah SWT.

            Walaupun Sultan Muhammad Al-Fateh sudah bergelar pemimpin yang memerintah sebuah kerajaan yang menguasai 1/3 dunia, namun sepanjang hidupnya sentiasa dipenuhi dengan aktiviti intelektual kerana beliau melihat dirinya sebagai seorang pelajar walaupun sudah bergelar sebagai pemimpin yang agung dengan gelaran "The Grand Signeur". Peribadi ini dinyatakan sendiri oleh seorang tokoh sejarawan Turki iaitu Prof. Halil Inalchik :


"Sultan Muhammad Al-Fateh pada awal pemerintahannya menunjukkan minat yang mendalam pada seni dan kebudayaan Itali selepas Renaissance. Sultan Muhammad Al-Fateh memang satu-satunya sultan Uthmaniah yang berwawasan jauh dan besar jiwanya. Semata-mata mahu belajar agama Kristian daripada mereka yang pakar, beliau memerintahkan paderi Gennadius bagi menulis risalah perihal agama itu kepadanya. Di dalam istananya, beliau mengumpulkan sarjana-sarjana Greek dan Itali bagi menulis mengenai agama Kristian seperti Amirutzes dan Trebizon, Critoboulus dari Imbros dan Ciriaco dari Ancona. Beliau mengarahkan Amirutzes mendapatkan untuknya peta dunia, menterjemahkan peta geografi Ptolemy dan menyediakan perpustakaan khas istana yang menyediakan karya-karya Latin serta Greek. Beliau menunjukkan minat kepada Gentile Bellini yang beliau bawa dari Venice bagi mencorak dinding Istana Uthmaniah dengan seni ukir Itali dan melukis potretnya sendiri. Berlinghieri pula membentangkan Geographia kepada Sultan Muhammad Al-Fateh manakala Roberto Valturio membentangkan De e military kepadanya. Demikian juga Giovanni Maria Felifo menulis sajak Amyris memuji Sultan Muhammad Al-Fateh."

            Apabila kita merasa diri kita berilmu, maka disaat itulah kita merupakan seorang yang bodoh. Bagi orang yang merasakan dirinya sudah cukup dengan ilmu, maka secara tidak langsung menyebabkan mereka berhenti daripada belajar. Sebagai suatu perumpamaan, apabila seseorang manusia apabila mereka dahaga akan mencari air. Begitu juga bagi orang yang merasa dirinya tidak berilmu, maka akan terus-menerus menuntut ilmu.

Ujian Menjadi Tekanan Hidup

Ramai diantara kita tidak menganggap peperiksaan itu sebagai tekanan hidup dalam fikiran mereka kerana meyakini bahawa ianya merupakan suatu proses untuk membuatkan mereka mendapat tingkatan pendidikan yang lebih baik. Daripada Diploma ke Ijazah, daripada Ijazah ke Master, daripada Master ke Doktor Falsafah. Walaupun pada realitinya, tergambar dalam kehidupan mereka ianya agak menekan. Bagaimana pula fikiran mereka terhadap ujian yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan mereka yang berada di luar bidang pengajian? Adakah mereka masih menganggap ianya suatu ujian ataupun tekanan hidup? Musibah? Bala?

            Itu sebabnya apabila kehidupan didatangi ujian, kerap kali mereka akan berasa tertekan kerana hanya melihat diri mereka sebagai seorang pelajar hanya apabila berada di dalam kuliah dan universiti sahaja. Sebaiknya anggaplah dunia ini merupakan suatu universiti yang mentarbiah diri bagi meningkatkan lagi status diri di sisi Allah SWT. Di saat itu, apabila ujian datang menjengah, maka kita akan melihatnya sebagai suatu pembelajaran. Tiada lagi tekanan dan tiada lagi jiwa yang tertekan. Kehidupan akan dilalui dengan penuh ketenangan.

            Apabila kita berhenti melihat diri kita sebagai seorang pelajar, maka disaat itu ujian mendatang akan membuatkan diri kita merasa tertekan.

Friday 5 April 2013

Budaya Menerima Nasihat


Budaya Menerima Nasihat

Makna Nasihat
Banyak orang menyangka bahawa nasihat hanyalah berbentuk kata-kata saranan, usul atau kritikan pedas yang disampaikan kepada orang lain. Namun, sebahagian daripada kita sukar untuk membezakan antara nasihat dengan celaan.

            Padahal sebenarnya, nasihat berasal daripada lafaz berbahasa Arab: 'an-nush' yang bermakna "ketulusan, keikhlasan dan bersih daripada kotoran." Madu yang 'nasih' ialah madu yang telah benar-benar bersih daripada campuran benda lain.

            Lafaz 'nasihat' yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis selalunya bermakna: menghendaki kebaikan untuk pihak lain.

            Al-Khattabi dan Ibn al-Atsir berkata: "Nasihat adalah sebuah kata yang mengukapkan keinginan agar orang lain mendapat kebaikan."[1]

            Jadi, nasihat sangat luas. Ia lebih luas daripada sekadar usul, malah meliputi semua perbuatan yang bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada orang lain.

Agama ialah Nasihat
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Tamim ad-Dari, Rasulullah SAW bersabda: "Agama ialah nasihat." Para sahabat bertanya: "Nasihat untuk siapa wahai Rasulullah?"

            Baginda menjawab: "Untuk Allah, rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang-orang awam mereka."[2]

            Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda : "Allah berfirman : Ibadah yang paling utama yang dilakukan oleh hamba-Ku ialah nasihat untuk-Ku."[3]

Menyusun Nasihat Dalam Kehidupan
Butiran nasihat itu boleh diumpamakan seperti batu-bata yang siap tersedia untuk disusun dan disemen menjadi suatu binaan yang memberikan manfaat. Tetapi bayangkan apa yang akan terjadi seandainya batu-bata tersebut dibiarkan selonggok disuatu sudut tanpa diambil untuk disusun menjadi suatu binaan yang kukuh lagi bermanfaat? Sudah tentu ianya suatu pembaziran yang besar. Begitulah juga halnya dengan nasihat yang kita peroleh di alam realiti sama ada dari rakan-rakan sekeliling, emak ayah dan seumpamanya secara lisan. Tidak kurang juga kita dengan teknologi yang serba canggih sekarang, ia membolehkan kita terdedah dengan seribu satu macam nasihat seperti di laman sosial Facebook, rakaman cerama agama di Youtube dan seumpamanya. Semua itu akan menjadi suatu pembaziran yang besar seandainya tidak disusun dengan baik. Mana yang hendak dijadi tapak asas binaan dan mana yang hendak dijadikan tiang penyokong. Semua itu memerlukan susunan agar semua nasihat tersebut dapat disusun dengan baik dan memberikan manfaat di dalam kehidupan. Inilah suatu perubahan budaya yang sedia ada iaitu budaya nasihat kepada budaya menerima nasihat. Disaat kehidupan kita dipenuhi dengan seribu satu macam nasihat saban hari, kini perlulah kita memfokuskan pula kepada budaya menerima nasihat.

            Nasihat itu bagaikan bata yang perlu disusun menjadi suatu binaan tangga untuk membolehkan kita menyusun langkah untuk meniti mendekati Allah SWT. Menjadi satu kerugian yang besar buat diri golongan muda seandai butiran nasihat itu tidak dikutip dengan cermat untuk dibina menjadi sebuah binaan yang berkekalan hingga ke akhirat.

Bersikap Wasatiyyah terhadap Nasihat
Ada pemuda yang memarahi orang menasihati mereka sehingga memaki kembali orang yang menasihati diri mereka dengan pelbagai macam celaan. Ini seringkali kita lihat di dalam laman sosial apabila golongan muda ditegur akan tingkah laku mereka dan juga penampilan yang menyimpang daripada syariat Islam.

            Ada pula pemuda yang menidakkan langsung nasihat yang diberikan dan didedahkan dengan tidak   menghiraukannya langsung. Baginya itu lebih menenangkan jiwa dan aman. Tiada yang mengganggu gugat untuk keinginan dirinya dilempiaskan dengan sepuas mungkin.

            Berlainan pula dengan pemuda yang bersikap wasatiyyah, mereka ini boleh dikategorikan sebagai golongan 'ulil albab kerana hanya melihat isi nasihat daripada melihat siapa yang menyampaikan nasihat. Tidak melampau untuk saya katakan, mereka ini merupakan golongan yang terdidik dan mudah belajar dari kritikan dan teguran.

            Boleh juga dikatakan pemuda yang bersikap wasatiyyah terhadap nasihat sebenarnya melihat nasihat, teguran dan kritikan atau hujah yang mempersoalkan tindakan-tindakan yang dilakukan mereka itu sebagai bahan api untuk terus bergerak dengan penuh bertenaga serta lebih baik. Mereka juga melihat nasihat sebagai pemacu untuk menjadi lebih baik daripada hari-hari yang lepas.

            Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa hari ini lebih baik dari hari kemarin, dialah tergolong orang yang beruntung, barang siapa yang hari ini sama dengan hari kemarin dialah tergolong orang yang merugi dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin dialah tergolong orang yang celaka.”



[1] Mukasurat 42, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Umar Muhammad Noor, Telaga Biru.
[2] Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no.196.
[3] Muka surat 43, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Umar Muhammad Noor, Telaga Biru.

Monday 1 April 2013

Baitul Muslim Yang Bertuhankan Allah SWT


Baitul Muslim Yang Bertuhankan Allah SWT


Menjaga Ikhtilat Sepanjang Pertunangan

Usaha untuk membina Baitul Muslim yang bertuhankan Allah SWT mestilah berbeza dengan bertuhankan  nafsu. Ini kerana apabila bertuhankan  Allah SWT, pergaulan diantara kedua-dua pasangan akan senantiasa terjaga daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

            Tanpa menafikan keperluan untuk membina sedikit sebanyak kefahaman diantara kedua-dua pasangan bagi melancarkan urusan penikahan, perlu dinilai tindakan yang dilakukan antara kehendak atau keperluan. Untuk hal ini, ianya janganlah disangka datang bergolek melainkan ianya perlu diusahakan dengan sebaik mungkin bagi menangkis sejauh-jauhnya godaan syaitan yang mahu menggelincirkan pasangan dari niat asal pernikahan mereka.

Pertunangan di sisi Islam adalah sama sahaja hubungannya sebelum berkahwin. Oleh yang demikian, orang yang bertunang masih dianggap ajnabi.

(Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).

Apabila hukum perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah sama sahaja sama ada sebelum bertunang atau setelah bertunang, maka mereka berdua haram untuk berkhalwat di tempat sunyi, mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan ke pasaraya, taman dsb. Dalam hal pertunangan ini, mereka tidak boleh mendakwa bahawa dengan keluar berdua-duaan itu akan lebih mengenali antara satu sama lain. Ini kerana, apabila mereka keluar berdua-duaan itu, biasanya mereka akan berlakon, dan tidak mempamerkan diri mereka yang sebenar.

(Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).

Kefahaman Keluarga Dalam Memudahkan Urusan Pernikahan

Kebiasaannya kita dinasihati untuk senantiasa mengingati Allah SWT supaya pemakaian yang dipakai menutup aurat dan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Tanpa menafikan kebenaran dan kebaikan nasihat tersebut untuk diamalkan di dalam kehidupan.

            Namun begitu, kebaikan itu tidak akan berfungsi jika tidak disokong oleh ibu bapa dari sudut untuk turut sama-sama mengamalkan nasihat yang mereka berikan kepada anak-anak dalam aplikasi yang berbeza.

            Oleh sebab itu, di saat emak ayah menyuruh anak-anak mereka ingat kepada Allah SWT agar terjaga aspek pemakaian yang menutup aurat dan menjaga batas pergaulan. Perlulah diingat juga oleh emak ayah untuk senantiasa ingat kepada Allah SWT tatkala anak-anak menyatakan keinginan untuk bernikah supaya urusan pernikahan tidak diberatkan dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syariat Islam.

            Apa yang jelas dan perlu diingat adalah pasangan tersebut mestilah mengutamakan Allah SWT dan Rasulullah SAW berbanding persepsi ibu bapa yang tidak berlandaskan syariat. Di sinilah titik perjuangan untuk turut sama membawa ibu bapa agar berjalan seiring untuk menjayakan tuntutan syariat Islam sangat penting untuk terus istiqomah.

*Kesimpulan, emak ayah dan anak-anak kenalah senantiasa ingat Allah SWT.