Monday 12 August 2013

ANAK MUDA DAN ISU YANG MELANDA MASYARAKAT

ANAK MUDA DAN ISU YANG MELANDA MASYARAKAT


Memikirkan diri sebagai anak muda, saya berfikir sendirian apabila memerhati isu-isu yang berlegar di dalam masyarakat sekarang. Terdapat seribu satu macam isu yang diperkatakan saban hari dan berubah dengan pantas sekali tajuk-tajuk isu yang menjadi fokus. Ambil waktu seketika untuk bermuhasabah dalam era yang serba pantas ini. Ambil waktu untuk berfikir sejenak dan merenung diri.

            Apakah selama ini kita turun mendekati masyarakat dalam menyelemi rencah kehidupan mereka?

            Apakah kita berbual dengan baik bersama orang-orang tua sewaktu pulang berhari raya ataupun hanya sibuk menghadap telefon, komputer, iPad, smartphone dan sebagainya sahaja?

            Jangan sama sekali melihat isu yang berlegar dalam masyarakat sekarang sebagai suatu yang terasing dengan diri kita. Mungkin apabila menyelami masyarakat dengan sebaiknya akan membuatkan kita sedar bahawa sebahagian besar isu yang melanda masyarakat sekarang adalah disebabkan kecuaian kita sendiri sebagai anak muda. Kita kurang menggerakkan tenaga muda kita dengan baik untuk membentuk masyarakat ke arah kebaikan.

            Untuk anak muda yang giat berusaha memajukan masyarakat dengan segenap usaha, teruskan berusaha dan jangan sama sekali lemas dengan kata-kata rakan sebaya yang kurang memberikan kritikan membina. Semoga kita bermuhasabah dengan jujur dan telus dalam merenung diri sendiri.


            Wallahua'lam.

Saturday 10 August 2013

ANTARA HANTARAN MAHAL, KADAR CERAI TINGGI DAN RAMAI SI TANGGANG MODEN

ANTARA HANTARAN MAHAL, KADAR CERAI TINGGI DAN RAMAI SI TANGGANG MODEN



Tajuk akhbar KOSMO 10 Ogos 2013 sungguh menyedarkan saya apabila melihat 3 kombinasi tajuk berita iaitu :

·         RAMAI MEMBUJANG LANTARAN HANTARAN MAHAL -Nilai anak dara berkelulusan ijazah boleh mencecah RM 50,000
·         TIGA PASANGAN MUSLIM BERCERAI SETIAP JAM DI MALAYSIA.
·         RAMAI JADI SI TANGGANG MODEN

            Walaupun jika ramai yang melihat akan tertumpu kepada tajuk besar bab hantaran mahal, namun ada kewajaran untuk melihat tajuk-tajuk yang lain bagi mendapat suatu penilaian realiti semasa bagi dijadikan pengajaran untuk diri sendiri.

            Pengajaran awal yang boleh saya rumuskan iaitu : Jika tidak menjaga hubungan dengan keluarga sendiri terutamanya ibu bapa kita sendiri, bagaimana keluarga yang dibina hendak diberkati? Jadi berusahalah terlebih dahulu dengan menjaga hubungan dengan emak ayah untuk hubungan di rumahtangga yang akan dibina kelak lebih bahagia. Kalau dengan emak sendiri kita derhaka, bagaimana isteri nak hormat kita? Apabila kita mentaati emak ayah kita (selama mana tidak bercanggah dengan suruhan Allah SWT), insyallah, perjalanan untuk menuju ke alam rumahtangga akan dipermudahkan. Allah SWT itu Tuhan Maha Besar.

            Mulakan langkah ke alam rumahtangga dengan menjadi ANAK SOLEHAH, agar kelak menjadi SUAMI SOLEH dan ISTERI SOLEHAH.

Wednesday 7 August 2013

APA YANG AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ) BELAJAR DARI SYIAH?

APA YANG AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ) BELAJAR DARI SYIAH?


Isu Syiah hebat diperkatakan di media perdana dan media baru. Isu ini mencetuskan perdebatan yang hangat di dalam masyarakat. Namun, ada beberapa aspek yang terlepas pandang tatkala isu ini sedang berlangsung dengan kencang iaitu apa yang ASWJ belajar dari Syiah? Mesti ada hikmah yang Allah SWT hendak tunjukkan kepada masyarakat yang selama ini mendakwa di sebagai ASWJ.

Politik

Jika dikatakan Syiah yang kompeten dengan ciri-ciri Syiahnya menyusup masuk ke dalam NGO, persatuan dan parti politik untuk meneruskan keberadaan mereka, lantas sejauh mana pula Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kompeten dengan akhlak ASWJ 'menyusup' masuk ke dalam NGO, persatuan dan parti politik?

            Wajar untuk ahli politik yang mendakwa sebagai ASWJ bermuhasabah kembali apakah parti yang mereka duduki sekarang berteraskan dasar ASWJ? Sejauh mana selama ini mereka menjalankan tanggungjawab seperti yang dituntut dalam ajaran ASWJ dan sejauh mana akhlak mereka berkempen memenuhi kualiti piawaian ASWJ?

Akhlak

Dalam kita mendakwa Syiah bertaqiyyah dalam meneruskan survival mereka sebagai minoriti di negara Malaysia, lantas sejauh mana pula ASWJ berakhlak dalam meneruskan survival ASWJ?

            Tidak menghairankan jika diri yang berpegang dengan ajaran Syiah untuk menzahirkan ciri-ciri sebagai seorang Syiah. Tetapi yang menghairankan saya adalah diri yang mendakwa berpegang dengan ajaran ASWJ tetapi tidak menzahirkan ciri-ciri sebagai seorang ASWJ. Tanpa menafikan masing-masing mempunyai tingkatan amal yang berbeza, namun tatkala isu Syiah yang sedang panas tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa menjadi suatu muhasabah yang berkesan buat jiwa seorang ASWJ.

            Sewajarnya keadaan sekarang harus dimbangi dengan suatu persoalan kepada diri iaitu, "Apakah kelompongan diriku sebagai penganut ASWJ yang memberikan ruang kepada ajaran Syiah untuk menular di negara ini?"

Muhasabah Buat ASWJ

Perdebatan engkau Syiah atau tidak, engkau salah engkau betul saya lihat sememangnya tidak berkesudahan bagi yang mengetahui. Tambahan pula, laman sosial seringkali menjadi gelanggang yang lazim. Tidak dinafikan bahawa penyelesaian tidak sekadar berhenti jika mulut berbuih-buih menjelaskan fakta Syiah di sana sini. Jadi penulisan ini adalah sebagai suatu usaha daripada saya untuk membuatkan skop perhatian yang sedia ada sekarang maju ke hadapan sedikit untuk berfikir apa yang harus kita lakukan sekiranya kita ini di pihak yang betul? Isu Syiah yang terjadi sekarang tidak terhenti kepada Syiah sahaja, tetapi ia berlangsung kepada ASWJ juga. Penyelesaian tidak akan menjelma jika penyelesaian hanya ditujukan kearah Syiah sahaja, namun ia harus berbalik semula kepada diri yang mendakwa sebagai ASWJ.

            Semoga kita sama-sama bermuhasabah sebagai ASWJ dan menggerakkan hasil muhasabah tersebut di dalam kehidupan.

            Wallahu'alam.