Thursday, 18 July 2013

SIKAP KRITIS PADA ZAMAN KRITIKAL @ ZAMAN FITNAH

SIKAP KRITIS PADA ZAMAN KRITIKAL @ ZAMAN FITNAH


Dalam zaman teknologi maklumat yang sungguh canggih ini, keadaan menjadi bertambah kritikal dengan maklumat yang bersimpang-siur kesahihannya serta komunikasi yang tebal dengan salah faham. Lantas, keadaan yang begitu kritikal ini memerlukan sikap yang kritis dalam berhadapannya dengannya secara bijak. Apa yang dilihat dan didengar tidak boleh diambil sekadar selayang pandang, tetapi ia harus disusuli dengan sikap yang kritis untuk meneliti kebenarannya.

         Dalam zaman seperti ini, persepsi terhadap sesuatu itu akan memberanak menjadi persepsi yang tebal jika dibiarkan berlarutan untuk terus bersambung-sambung dengan persepsi yang lain tanpa disusuli dengan usaha untuk mengkaji bagi mendapatkan kepastian. Lagipun persepsi yang timbul tidak semestinya menggambarkan realiti yang terjadi.

         Sebagai contoh, komunikasi melalui SMS, laman sosial dan seumpamanya tidak boleh terlalu dikecewakan akan salah faham yang bakal wujud kerana teknologi sedemikian tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terhadap sesuatu mesej yang hendak disampaikan. Sedangkan untuk sesebuah komunikasi antara manusia itu wujud adalah dengan mengisi beberapa keperluan seperti pemilihan perkataan yang sesuai, intonasi (nada suara), riak wajah dan tempat yang sewajarnya.

          Akhir sekali, dalam kesedaran kita semua bahawa zaman ini adalah zaman fitnah, maka zaman ini harus dihadapi dengan sikap yang kritis dan lebih berusaha untuk mengkaji. Jika zaman fitnah yang kita dakwakan ini dihadapi seperti ia sebuah zaman yang penuh kebenaran, maka kehidupan kita akan cenderung untuk berjalan di atas jalan-jalan fitnah yang disangka sebagai suatu kebenaran yang penuh kepastian. Semoga kita semua mempersiapkan diri dengan sikap kritis dalam mendepani cabaran zaman.


            Wallahua'lam.

Tuesday, 9 July 2013

ULASAN VIDEO UCAPAN COUPLE SEMINGGU

ULASAN VIDEO UCAPAN COUPLE SEMINGGU



"Bodoh betul dowh! Couple seminggu pun nak kecoh. Aku bercouple bertahun-tahun tak kecoh pun," ucap seorang pengguna Facebook sewaktu melihat video seorang gadis yang memberi ucapan baru bercouple seminggu.

            "Cubalah lihat, Yahudi melondehkan akhlak muslimah kita," ucap seorang pengguna Facebook yang berpenampilan Islamik.

            "Tengoklah apa nak jadi dengan anak gadis Islam sekarang. Astaghfirullahal'azim," tulis caption pada sebaran video tersebut yang saya lihat.

            Pada fikiran saya, cara sedemikian tidak mendidik anak gadis tersebut menjadi lebih baik, malah menjatuhkan maruahnya lagi.

            Setiap orang mungkin ada aksi bodoh yang tersendiri, tetapi tidak dirakam dan menyebarkannya. Jadi, janganlah kita merasakan cukup baik dengan melakukan sebaran terhadap video tersebut. Itu akan menyebabkan seseorang yang menyebarkan video tersebut lebih kurang cerdik berbanding si pelaku di dalam rakaman video tersebut.


# Semoga rasa meluat, benci, marah dan sebagainya daripada kita semua dapat mendidik generasi gadis sedemikian ke arah kebaikan :D Muhasabahlah wahai orang-orang yang berfikiran cerdik, matang dan dewasa.

Sunday, 7 July 2013

Pernikahan - Antara Modal Kewangan dan Modal Insan

Pernikahan - Antara Modal Kewangan dan Modal Insan

Sejak kebelakangan ini, ramai dari kalangan rakan-rakan saya sudah mula aktif melakukan pelbagai usaha untuk melakukan persiapan mereka bagi membina rumahtangga. Pelbagai jenis kerja dilakukan untuk mencukupkan wang simpanan mereka bagi perbelanjaan pernikahan serta permulaan membina rumahtangga. Bagi pemerhatian saya, itu merupakan perkara asas yang perlu mereka usahakan untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan sedikit sebanyak menunjukkan kesedaran dalam diri mereka bahawa alam rumahtangga itu memerlukan kekuatan kewangan yang baik. Tetapi bagaimana pula dengan usaha untuk mengukuhkan kekuatan modal insan? Ini seharusnya ditekuni kembali supaya dapat menggalas tanggungjawab kelak yang menimbun di alam rumahtangga dengan penuh keseimbangan.



            Apabila menyentuh persoalan menjejakkan kaki ke alam rumahtangga dengan rakan-rakan sebaya, saya cenderung untuk mengajak mereka berfikir di luar kotak untuk tidak membiarkan mereka berfikir akan persoalan tersebut dengan cukup masak dan merenung persoalan tersebut dengan penuh bertanggungjawab. Jadi kebiasaan saya akan bawa perbincangan bagi persoalan tersebut dengan merujuk terhadap apa yang kebiasaannya dilihat di dalam masyarakat sekarang yang mana perlu diubah. Ini adalah kerana seboleh-boleh biarlah rumahtangga yang bakal dibina kelak menjadi pelonjak perubahan kepada masyarakat ke arah yang lebih sejahtera. Menjadi suatu tindakan yang bijak apabila kita melibatkan persoalan keperluan masyarakat dengan persoalan rumahtangga yang seringkali kita lihat sebagai persoalan peribadi.

            Antara persoalan keperluan masyarakat yang saya maksudkan adalah merujuk kepada keadaan masyarakat sekarang iaitu kebejatan gejala sosial yang melampau, keruntuhan akhlak, kepincangan pemikiran dan akidah serta pelbagai macam perkara yang menjadi bahan berita yang mencetuskan kerisauan besar pada diri kita. "Ini semua salah mak ayah. Tak pandai didik anak," respon yang biasa saya dengar apabila menyentuh persoalan tersebut. Tanpa menafikan wujud juga faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan tersebut, tetapi faktor didikan ibu bapa itu boleh dikatakan sebagai faktor yang utama dalam pembentukkan peribadi anak-anak mereka. Jadi siapa ibu bapa tersebut yang acap kali diucapkan jika bukan anak muda yang mempunyai keinginan untuk mendirikan rumahtangga pada waktu sekarang. Lantaran itu, persoalan modal insan bagi menjadi ibu bapa yang cemerlang kelak perlu ditekuni kembali.


            Bagi membina kekuatan dari aspek modal insan untuk bergelar ibu bapa yang cemerlang, seharusnya difikirkan asas didikan itu sendiri iaitu 'ilmu. 'Ilmu apa yang perlu ada untuk memberikan didikan yang cemerlang? Sudah tentu 'ilmu agama Islam. Keperluan untuk menguasai 'ilmu agama ini janganlah pula difikirkan seseorang itu perlu menjadi pak ustaz dan sebagainya. Tetapi syarat utama yang saya yakini bagi keperluan tersebut adalah seseorang itu harus mempunyai sifat ingin belajar, mengkaji dan berfikir yang tinggi untuk membolehkan perjalanan hidupnya di dalam rumahtangga kelak senantiasa dipandu oleh 'ilmu.

            Berdasarkan pemerhatian saya kepada realiti yang berlaku, ada sahaja ibu bapa yang sebelum bernikah dan sebelum mempunyai anak begitu bersemangat belajar 'ilmu agama, namun menjadi perlahan dan merudum tatkala apabila sudah mempunyai ramai anak. Lantas, keadaan tersebut menutup pemikiran emak ayah untuk mereka mendidik anak-anak mereka dengan penuh kefahaman dan hanya cenderung untuk sekadar memberikan didikan yang bernada arahan kepada anak-anak, lantas mewujudkan kepincangan dalam proses didikan.

            Sifat ingin belajar yang tinggi ini juga menjadi kunci utama dalam melengkapi diri antara pasangan kelak untuk mewujudkan suasana didikan yang baik kepada anak-anak. Kebiasaannya, apabila memasuki alam rumahtangga, banyak perkara yang kita tidak jangkakan akan berlaku pada diri pasangan kita. Sifat ingin belajar inilah yang menyelamatkan diri daripada dirundung rasa kecewa terhadap diri pasangan, kemudiannya membuatkan kita lebih berjiwa hamba dalam memberikan harapan kepada pasangan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik. Bertitik tolak dari sifat inilah yang kemudiannya membuatkan masing-masing berusaha untuk mempelajari mengenai diri pasangan dan akhirnya mampu untuk saling menguatkan diri dari pelbagai aspek kehidupan.

            Kesimpulan awal yang ingin saya ketengahkan dalam penulisan ini adalah setiap diri pasangan itu harus mempunyai sifat ingin belajar, mengkaji dan memahami yang tinggi untuk memboleh setiap ruang kehidupan yang bakal dilalui dengan penuh cabaran kelak dipandu oleh panduan 'ilmu. Sifat ini seharusnya diwajibkan ke dalam diri dengan sebaik mungkin seiringan dengan kehidupan yang dijalani.

            Harapan saya dalam penulisan ini adalah ia dapat menjadi suatu muhasabah untuk beberapa aspek keperluan yang mungkin kita terlepas pandang dalam berkejaran menuju ke arah hubungan yang halal.


            Wallahu'alam.

Dakwah 24 Jam : Alam Maya dan Alam Realiti

Dakwah 24 Jam : Alam Maya dan Alam Realiti



"Aduh! Maksiat merata-rata sekarang. Dari dalam rumah melalui internet, televisyen, telefon sehingga ke luar rumah, habis semua dikuasai dengan perbuatan maksiat. Sah! Sekarang akhir zaman!" ucap rakan sambil menepuk dahi. Kecewa sangat nampaknya sampai sebegitu kali reaksi yang diberikan.

            Ada benar juga reaksinya sampai sedemikian rupa kerana sumber untuk tercetusnya maksiat dan letupan hawa nafsu berada di mana-mana sahaja. Seperti sebuah medan perang yang dipenuhi dengan periuk api, peluru sesat, bom dan mortar, diri benar-benar terancam dalam keadaan sedemikian. Kiri, kanan, atas bawah, ada sahaja ancaman yang sedia mengancam diri. Begitu juga dengan nafsu, ada sahaja unsur yang disekeliling kita dalam kehidupan seharian yang menanti untuk meledakkan nafsu kita sehingga menjerumuskan diri kita ke dalam kemusnahan.

            Jadi, apa tindakan yang harus kita ambil dalam keadaan ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan menyampaikan mesej Islam dengan semaksima mungkin dalam ruang dan masa yang mampu dicapai. Dari segenap teknologi yang memudahkan capaian komunikasi antara manusia harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Seiring dengan itu, alam realiti juga harus diisi dengan sebaran akhlak yang mematikan unsur pencetus maksiat. Ringkasnya, segala ruang harus disyukuri dengan memanfaatkannya bagi tujuan dakwah iaitu dari alam maya ke alam realiti.

            "Aku nak delete akaun Facebook la! Tutup terus saluran internet. Sia-sia sahaja dakwah dengan cara ini, bukannya orang nak dengar pun. Palitan kotoran lagi banyak terkena pada diri kita berbanding kebaikan yang kita mampu sampaikan. Semua inilah pencetus maksiat," luah seorang teman. Logiknya alam realiti itu dakwah utama. Ramai juga yang saya jumpa bertindak sedemikian.

            Saya mengeluh sendiri memikirkan perkara ini. Sudahlah Yahudi dan Nasrani itu begitu istiqomah, konsisten, aktif, bertenaga dan bekerja kuat memanfaatkan alam realiti dan alam maya untuk menyebarkan unsur maksiat, kemudian sebagai orang Islam kita bercakap sedemikian. Bagi saya, mereka ini adalah orang yang berputus asa. Berputus asa dalam memanfaatkan ruang dengan sedaya mungkin. Sedang Yahudi dan Nasrani melebarkan program hiburan yang melampau yang mereka usahakan dari klip video yang separuh bogel di alam maya melalui Youtube sehinggalah kepada tarian separuh bogel di alam realiti melalui program konsert mega dan sebagainya.



            Muhasabah kembali diri kita semua. Insaflah dengan kembali bersikap seimbang dalam berdakwah. Dalam alam realiti dan alam maya perlu diseiringkan dengan sekuat mungkin. Jika ada yang dilihat melampau pada suatu ruang iaitu alam maya, jangan diperkecilkan ruang tersebut. Akan tetapi, seimbangkanlah ia dengan mengajaknya ke alam realiti.

            Sebaiknya berjiwa hamba dalam menegur rakan yang turut sama menjalankan usaha dakwah. Masing-masing mempunyai kecenderungan masing-masing. Kenalilah antara satu sama lain supaya boleh melengkapi antara satu sama lain. Barulah kita semua dapat kuat-menguat kemahiran yang ada untuk menjayakan lagi usaha dakwah ke arah kefahaman Islam.


            Wallahu'alam.

Friday, 5 July 2013

Bulan Ramadhan Bulan Muhasabah Diri

Bulan Ramadhan Bulan Muhasabah Diri


Setiap orang senantiasa mencari suatu ruang dan masa untuk melakukan perubahan diri. Walaupun untuk berubah ke arah kebaikan itu tidak sama sekali tertakluk kepada ruang dan masa yang khusus, namun begitulah realiti yang sering berlaku dalam kehidupan seseorang itu. Tidak lama lagi kita semua akan menginjakkan kaki melangkah ke bulan Ramadhan untuk menjalankan ibadat wajib puasa.

            Ramadhan menjadi bulan muhasabah yang mustajab kerana pada bulan yang dimana seluruh umat Islam diwajibkan untuk berpuasa, maka seharusnya ibadat puasa itu mengaktifkan suatu kesedaran di dalam diri untuk turut sama merasai apa yang dirasa oleh umat Islam yang hidup dalam keadaan serba susah. Kesedaran ini akan membuatkan hati kita berada pada suatu tahap yang membuat ruang minda kita untuk berfikir akan kehidupan yang dilalui oleh saudara kita yang lain.

            Bulan Ramadhan ini boleh sahaja dikatakan sebagai bulan yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk beramal soleh dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Jadi seharusnya ia dilihat sebagai bulan untuk mengumpul suatu momentum ataupun tenaga bagi melonjakkan diri menuju kebaikan dengan penuh istiqomah bagi bulan-bulan yang bakal menyusul selepas bulan Ramadhan.

            Semoga kita penghayatan kita terhadap bulan Ramadhan meningkat seiring dengan cara pandangan kita terhadap bulan Ramadhan itu sendiri sebagai bulan untuk meningkatkan amal ibadah. Ini penting agar bulan Ramadhan berfungsi dengan sebaiknya untuk mengaktifkan sebuah fasa kehidupan yang lebih sejahtera selepas berlalu bulan Ramadhan. Janganlah pula dibiarkan bulan Ramadhan itu berlalu pergi tanpa memberikan sebarang kepada kehidupan kita kelak.

            Wallahu'alam.

Wednesday, 3 July 2013

Akademik dan Perjuangan Islam


 Akademik dan Perjuangan Islam