Dakwah 24 Jam : Alam Maya
dan Alam Realiti
"Aduh! Maksiat
merata-rata sekarang. Dari dalam rumah melalui internet, televisyen, telefon
sehingga ke luar rumah, habis semua dikuasai dengan perbuatan maksiat. Sah!
Sekarang akhir zaman!" ucap rakan sambil menepuk dahi. Kecewa sangat
nampaknya sampai sebegitu kali reaksi yang diberikan.
Ada benar juga reaksinya sampai sedemikian rupa kerana
sumber untuk tercetusnya maksiat dan letupan hawa nafsu berada di mana-mana
sahaja. Seperti sebuah medan perang yang dipenuhi dengan periuk api, peluru
sesat, bom dan mortar, diri benar-benar terancam dalam keadaan sedemikian.
Kiri, kanan, atas bawah, ada sahaja ancaman yang sedia mengancam diri. Begitu
juga dengan nafsu, ada sahaja unsur yang disekeliling kita dalam kehidupan
seharian yang menanti untuk meledakkan nafsu kita sehingga menjerumuskan diri
kita ke dalam kemusnahan.
Jadi, apa tindakan yang harus kita ambil dalam keadaan
ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan menyampaikan mesej Islam dengan
semaksima mungkin dalam ruang dan masa yang mampu dicapai. Dari segenap
teknologi yang memudahkan capaian komunikasi antara manusia harus dimanfaatkan
sebaik mungkin. Seiring dengan itu, alam realiti juga harus diisi dengan
sebaran akhlak yang mematikan unsur pencetus maksiat. Ringkasnya, segala ruang
harus disyukuri dengan memanfaatkannya bagi tujuan dakwah iaitu dari alam maya
ke alam realiti.
"Aku nak delete akaun Facebook la! Tutup terus
saluran internet. Sia-sia sahaja dakwah dengan cara ini, bukannya orang nak
dengar pun. Palitan kotoran lagi banyak terkena pada diri kita berbanding
kebaikan yang kita mampu sampaikan. Semua inilah pencetus maksiat," luah
seorang teman. Logiknya alam realiti itu dakwah utama. Ramai juga yang saya
jumpa bertindak sedemikian.
Saya mengeluh sendiri memikirkan perkara ini. Sudahlah
Yahudi dan Nasrani itu begitu istiqomah, konsisten, aktif, bertenaga dan
bekerja kuat memanfaatkan alam realiti dan alam maya untuk menyebarkan unsur
maksiat, kemudian sebagai orang Islam kita bercakap sedemikian. Bagi saya,
mereka ini adalah orang yang berputus asa. Berputus asa dalam memanfaatkan
ruang dengan sedaya mungkin. Sedang Yahudi dan Nasrani melebarkan program
hiburan yang melampau yang mereka usahakan dari klip video yang separuh bogel
di alam maya melalui Youtube sehinggalah kepada tarian separuh bogel di alam
realiti melalui program konsert mega dan sebagainya.
Muhasabah kembali diri kita semua. Insaflah dengan
kembali bersikap seimbang dalam berdakwah. Dalam alam realiti dan alam maya
perlu diseiringkan dengan sekuat mungkin. Jika ada yang dilihat melampau pada
suatu ruang iaitu alam maya, jangan diperkecilkan ruang tersebut. Akan tetapi,
seimbangkanlah ia dengan mengajaknya ke alam realiti.
Sebaiknya berjiwa hamba dalam menegur rakan yang turut sama
menjalankan usaha dakwah. Masing-masing mempunyai kecenderungan masing-masing.
Kenalilah antara satu sama lain supaya boleh melengkapi antara satu sama lain.
Barulah kita semua dapat kuat-menguat kemahiran yang ada untuk menjayakan lagi
usaha dakwah ke arah kefahaman Islam.
Wallahu'alam.