Menyusun Kata,
Membina Jiwa
Ada
waktunya kita mengucapkan sesuatu perkataan yang ringkas namun pada saat itu
kekuatan jiwa tidak cukup kuat untuk mengungkapkannya. Kekuatan jiwa terbina
seiring dengan usaha untuk menyusun kata-kata yang selama ini dilihat ringkas
namun cukup untuk menyuntik kekuatan buat diri.
Biarpun dengan sekadar menyusun kata
sehingga membentuk perkataan, namun apabila ianya diucapkan dan didengari oleh
telinga, maka kekuatan jiwa terbina sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan
susunan kata yang tertulis, mata yang melihat dan membaca turut membina jiwa
yang memotivasikan diri untuk terus hidup dengan penuh kekuatan.
Sebagai contoh, kita seringkali melihat ramai orang meng'update'
status Facebook dengan kata-kata yang bagi kita ringkas dan hanya dilihat
selayang pandang. Namun, buat diri yang meng'update' status itu, ia
merupakan suatu kelegaan dan ketenangan. Janganlah pula itu dilihat terlalu
awal sebagai melempiaskan ketagihan Facebooknya, tetapi kita seharusnya melihat
bahawa Netizen (masyarakat internet) sememangnya mencari ketenangan dengan cara
demikian.
Kalau kita beralih pula kepada masyarakat yang hidup di
alam realiti, kita akan dapat lihat seseorang yang sedang berada dalam
keresahan jiwa pasti akan mengulang-ulang suatu ayat ringkas di bibirnya bagi
membina suatu kekuatan jiwa untuk terus hidup dengan penuh bertenaga. Biarpun
kita melihatnya seperti membebel tanpa henti dengan ayat yang sama, namun
dengan bebelan itulah yang memberikannya tenaga untuk menjalani kehidupan
hariannya.
Sepertimana kita melihat sesebuah ucapan itu mampu
memberikan kesan besar di dalam kehidupan dari aspek negatifnya seperti
mencerca, mengumpat dan seumpamanya. Begitulah juga ia turut berfungsi secara
positif dalam kehidupan seharian dan orang sekeliling seandainya diucapnya
dengan ucapan yang penuh unsur kebaikan.
Teruskan kehidupan anda dengan ucapan yang penuh
kebaikan. Walaupun diulang-ulang sehingga kedengaran bosan, namun dengan ucapan
itulah jua kekuatan jiwa terbina.
Istiqomah dengan kata-kata yang penuh kebaikan walaupun
ringkas!
exactly ! syukran :D
ReplyDelete