Antara Seksa Jerebu dan
Seksa Neraka
* Artikel ini khas kepada
mereka yang mendakwa mempercayai seksa neraka.
Sambil duduk sebentar
menunggu rakan saya habis solat kerana dia sedikit lewat mengikuti solat
jemaah, saya mengambil peluang untuk berbual dengan Abang Li. Beliau merupakan
salah seorang staf di kampus saya yang seringkali juga berkongsi pengamatannya
akan mahasiswa yang bagi saya sungguh mematangkan fikiran jika dihayati dengan
baik.
"Macam mana hidup Abang Li sekarang?" soal saya
setelah sekian lama tidak berjumpa dengannya. Sebelum ini
"Hidup Abang Li sekarang alhamdulillah. Semenjak
hidup selepas jerebu, banyak perkara juga yang dipelajari. Pagi lepas habis
jerebu terus naik basikal takut esok lusa jerebu balik," balas Abang Li
yang sememangnya suka mengayuh basikal.
"Itulah, musim jerebu boleh dikatakan sebagai musim
muhasabah juga la," balas saya dengan nada spontan.
"Betul juga tu. Waktu jerebu, yang bertudung siap
pakai mask dah macam pakai purdah. Yang tak tutup aurat pula tutup juga, tutup
mulut dan hidung sahaja. Bila fikir seksa jerebu, terus tutup hidung dan mulut.
Itu kalau fikir seksa neraka tu mesti terus tutup aurat," jelas Abang Li
sambil merenung jauh.
Apa Yang Kita Fikirkan?
Siapa kita sekarang
bergantung kepada apa yang kita fikirkan sekarang. Penampilan kita dalam
kehidupan juga bergantung kepada apa yang kita fikirkan. Musim jerebu yang baru
sahaja berlalu dan sedikit reda di beberapa tempat tidak harus dibiarkan
berlalu begitu sahaja tanpa diambil pengajaran buat kehidupan kita yang
mendatang. Musim jerebu itu tepat sekali untuk kita katakan sebagai musim
muhasabah yang memberikan seribu satu macam pengajaran yang penting untuk
membaiki kehidupan kita kelak yang bakal mendatang.
Pengajaran yang diperoleh daripada apa yang saya bualkan
bersama Abang Li itu sungguh memberikan pengajaran yang mendalam dalam fikiran
saya sehingga terdetik untuk menulis kembali dalam penulisan ini. Pengajaran
yang saya maksudkan adalah manusia itu sebenarnya bertindak atas apa yang
difikirkan dan sejauh mana mereka fikirkan.
Apabila direnung kembali, penampilan manusia terus
berubah dengan bertopeng di sana sini dek kerana mereka percaya bahawa jerebu
itu akan mengganggu kesihatan walaupun mereka belum lagi terjejas kesihatan.
Percaya mereka itu bukan sahaja percaya semata-mata, namun percaya mereka itu
diiringi dengan proses berfikir. Lantaran itu yang membuatkan mereka bertindak
untuk memakai topeng sebagai langkah berjaga-jaga. Itu dalam konteks jerebu.
Mari pula kita alihkan konteks kepada seksa neraka. Nabi Muhammad SAW sudah
mendatangkan khabar kepada umatnya akan seksa neraka dan tindakan yang akan
membuatkan mereka terkena dengan seksa neraka tersebut. Tidak kurang yang
percaya bahawa seksa neraka itu wujud. Tidak kurang juga yang menjelaskan
bagaimana keadaan seksa neraka melalui pelbagai jenis bahan bacaan dan isi
perkongsian di laman sosial. Namun kenapa ia tidak menghasilkan tindakan dan
penampilan yang berbeza dengan orang yang tidak percaya dan tidak mengetahui?
Ya! Ini kerana kepercayaan itu tidak diiringi dengan proses berfikir untuk
menghasilkan tindakan yang sewajarnya berdasarkan kepercayaan tersebut.
Kesimpulannya, muhasabah kembali kehidupan kita sambil
menyulaminya dengan proses berfikir supaya ia dapat mengaktifkan kepercayaan
kita terhadap sesuatu supaya dapat diamalkan di dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment