Persoalan Besar Di Koridor
Masjid
# Saya merakamkan seulit
pengalaman sekitar akhir Semester 6 dalam bentuk penulisan bagi mencerahkan
pemikiran rakan-rakan sebaya untuk menjadi lebih matang bagi menjejakkan kaki
ke alam rumahtangga.
"Perkara apa yang
paling mencabar dalam mendidik anak-anak Abang Li?" soalku perlahan-lahan
sewaktu duduk bersama Abang Li di koridor masjid bagi memakan nasi lemak yang
dihidangkan oleh pihak Masjid Daerah Perak Tengah seusai solat Isyak berjemaah
dan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Masri.
Jauh merenung sambil menyuapkan nasi lemak ke mulut,
akhirnya Abang Li menjawa dengan raut wajah yang penuh kesedaran, "Perkara
yang paling mencabar dalam mendidik anak adalah kesabaran. Sebelum bernikah,
kita masih mampu bercakap mengenai kesabaran. Tetapi selepas ada anak,
kesabaran yang perlu ditanggung sudah tidak mampu terucap."
Mendalam benar makna yang terpahat di dalam hatiku
apabila mendengar ayat, "kesabaran yang tidak terucap."
Mungkin ucapan ini memadamkan hasrat di dalam hati yang
mendengar untuk mendirikan rumahtangga. Tetapi kemudiannya perbincangan saya
dengan Abang Li ditutup dengan suatu pesanan yang menggerakkan jiwa bagi
berusaha di dalam suatu ruang baru yang mungkin kebanyakkan orang terlepas pandang
apabila terdetik hasrat untuk mendirikan rumahtangga.
"Sebab itu sebelum mendirikan rumahtangga, seseorang
itu perlu kenal dirinya sendiri. Kenal diri bukan disisi perempuan, bukan
disisi harta dan seumpamanya. Tetapi kenal diri di sisi Tuhan yang Maha
Esa," ucap Abang Li sambil menunjukkan jari yang telunjuk mengarah ke
langit.
Selepas membasuh tangan dan bersalaman dengan para jemaah
masjid dan Ustaz Masri bagi beransur pulang. Aku berjalan menuruni tangga dan
melalui koridor bersama Abang Li.
"Kalau kita kenal diri kita, maka kita tahu dimana
kita hendak letak diri kita apabila menjejakkan kaki ke alam rumahtangga,"
pesan Abang Li yang mengukuhkan lagi ucapannya sebentar tadi.
Terfikir ketika itu, berapa ramai orang tidak meletakkan
diri mereka di tempat yang sepatutnya. Akhirnya mereka menzalimi diri mereka
sendiri. Ini merujuk kepada definisi ZALIM yang membawa maksud tidak meletakkan
sesuatu pada tempatnya, lawannya ADIL.
thanks berkongsi :) belajar mengenal diri terlebih dahulu. tahap nilai kehambaan kita pd Maha Pencipta.. :'(
ReplyDelete