Misi Mengaktifkan Hati
*Semoga penulisan ini membantu sedikit sebanyak perubahan diri para pembaca.
Hati sudah terasa selesa dengan dosa? Ya!
Itu tandanya hati itu tidak berfungsi. Ia merupakan penyakit yang lebih teruk
daripada penyakit barah hati dan ramai yang tidak sedar bahawa mereka mempunyai
penyakit ini. Sebaliknya, hati yang aktif sebenarnya akan merasa resah gelisah
apabila disentuh oleh dosa yang dilakukan. Terguling-guling dibuatnya hati yang
aktif jika disentuh oleh dosa. Mandi tak basah, tidur tak lena, jiwa kacau bak
kata orang. Keadaan sebegitu yang menjadi permulaan untuk diri melangkah cergas
menerpa ke seluruh alam, ruang dan waktu mencari penawar ataupun sumber tenaga
bagi mengaktifkan kembali hati.
Untunglah barangsiapa yang menyertai misi mengaktifkan hati
kerana setiap langkah yang mereka susun dengan penuh tekad itu sentiasa
diiringi dengan pertolongan Allah SWT untuk turut sama membantu mereka. Ini
kerana selangkah seorang hamba Allah SWT itu menujuNya, maka berlari pula Allah
SWT menuju hambaNya.
Terasa makan dalam dengan
sesuatu berdakwah kearah kebaikan walaupun yang menyeru itu sudah mengajak
dengan penuh berakhlak? Tahniah! Itu tandanya hati masih lagi aktif dengan
sesuatu kebaikan. Jangan sekali-kali memarahi orang yang berdakwah itu pula
tetapi cepat-cepatlah mengangkatkan tangan berdoa serta bersyukur kepada Allah
SWT untuk terus dikurniakan hati sedemikian di dalam kehidupan. Alangkah
beruntungnya bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sensitif, aktif dan makan
dalam dengan sesuatu mesej kebaikan yang diterimanya.
Namun perlu juga diingat,
misi mengaktifkan hati senantiasa menghadapi cabaran. Ada sahaja cabaran yang
tidak disangka datang menduga. Ada yang menyerang hendap perjalanan misi ini.
Ada pula yang mengkhianati perjalanan misi ini secara senyap yang mana menjadi
gunting dalam lipatan. Tetapi janganlah pula dirasakan khuatir akan cabaran
tersebut dan perjalanan misi ini harus dijalankan dengan penuh istiqomah!
Formula utama kekuatan misi ini adalah berkumpulan, kerjasama dan bersinergi.
Sudah namanya pun misi maka perlulah digerakkan secara berjemaah. Misi apa yang
berjalan seorang diri? Dan itulah sebaik-baik system pertahanan yang perlu
diberikan perhatian sewajarnya. Hati setiap seorang yang menyertai misi
tersebut perlu bersatu menjadi satu, barulah musuh yang bertebaran di sepanjang
jalan dapat dihadapi dengan penuh gagah.
Sebab itulah barangsiapa
yang menyertai misi mengaktifkan hati ini sama ada secara langsung atau tidak
langsung sepatutnya sedar bahawa mereka merupakan golongan yang beruntung.
Jangan sama sekali merasa diri rendah, lemah dan mundur. Jangan sama sekali
tenggelam dengan persepsi negatif musuh akan tujuan dan matlamat perjalanan
misi yang panjang ini.
Akhir coretan ini,
sama-samalah kita berdoa untuk terus istiqomah berada dalam perjalanan misi ini
dalam menuju mardhatillah (redha Allah SWT).
No comments:
Post a Comment