Bertuhankanlah Allah Tatkala
Mendengar Lagu
Kadang-kadang
aku sendiri pun pelik kenapa rakan-rakanku sendiri begitu khayal melayan
lagu-lagu yang dinyanyi oleh artis-artis K-POP dan yang terbaru adalah video
klip Oppa Gangnam Style. Saya sendiri tidak melayan sangat lagu-lagu yang
sebegitu rupa. Tapi apabila melihat beberapa komentar yang bertebaran di
paparan wall Facebook membuatkan saya tertarik untuk menkaji dengan lebih
mendalam kenapa video klip Oppa Gangnam Style begitu diminati oleh anak muda
sehingga muncul video klip parody yang melakonkan kembali aksi-aksi yang
terdapat dalam video klip yang asal.
Dari aspek lain, video klip itu juga mengundang ribuan komen yang member
penilaian seperti berikut di wall Facebook :
“Ini memang
agenda Yahudi untuk merosakkan anak muda Islam.”
“Hey! Mereka
tak tahu ke video tu memaparkan aksi-aksi yang penuh kelucahan?”
“Sudah akhir
zaman. Tak hairanlah video klip sebegini mendapat sambutan ramai.”
Semua yang dilihat di wall Facebook yang saya kongsikan sedikit di atas sememangnya
tidak dapat dinafikan kebenarannya. Video klip tersebut menayangkan gadis yang
berpakaian separuh telanjang dan sebahagian besarnya memaparkan aksi yang
menaikkan nafsu syahwat bagi manusia yang normal. Namun begitu, video klip itu
adalah perkara yang normal untuk menghidangkan unsur-unsur kelucahan tersebut
kerana mereka bukan beragama Islam. Jadi apa yang perlu dihairankan? Perlukah
dihairankan? Perlukah nak marah sangat? Sebagai analogi yang ringkas untuk
menerangkan maksud saya pada perenggan ini adalah pelik sangatkah seandainya
seseorang yang berjalan dalam kegelapan akan melanggar seribu satu macam
perkara? Tiada peliknya disitu bukan?
Tetapi perkara yang perlu dihairankan dan dipelikkan adalah kenapa begitu ramai
yang melanggar seribu satu macam perkara sedang mereka mendakwa berada dalam
kecerahan? Kenapa anak muda yang beragama Islam begitu berminat dengan video
klip berkenaan?
Seeloknya mari kita bergerak kepada fasa seterusnya yang lebih positif iaitu fasa penyelesaian masalah. Teruskan membaca untuk bahagian seterusnya dengan hati yang tenang.
Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
“Kenapa
engkau layan lagu Oppa Gangnam Style?” soalku dengan raut wajah yang penuh
kehairanan melihat gelagat melayan video klip tersebut.
“Aaaaa…aku dengar
lagu jer bukan tengok videonya pun,” jawab rakanku sambil melepaskan headphone
yang kemas dikenakan di atas kepalanya.
“Kenapa layan
lagu tu dan bukannya lagu yang lebih difahami?” soalku lagi.
“Dia punya
muzik tu best. Rancak jer dengar,” balasnya sambil menyarungkan kembali
headphone di kepala.
Sungguhpun perbualan
diatas tidak dapat mewakili realiti sebahagian besar yang sedang belaku
sekarang tetapi ianya sudah cukup untuk menjelaskan sebahagian faktor asas yang
mendorong seseorang adalah untuk mengkhayalkan mindanya untuk lari daripada
kesibukan yang melanda dirinya. Mungkin mereka mendengar muzik kerana ingin
merehatkan minda mereka setelah penat melakukan assignment. Niatnya mahu merehatkan minda
tetapi kenapa perlu dipilih lagu yang tidak dapat difahami? Lirik yang mungkin
mengucapkan sesuatu yang haram? Sesuatu yang tiada kepastian? Soal diri sendiri
dan muhasabah bagi peringkat individu.
![]() |
Kita ada gaya tersendiri sebagai Muslim. |
Menyiram Pada Akar Bukannya Pada Ranting
Saya
membawakan analogi ini agar para pembaca dapat berfikir dengan lebih realistik.
Adakah wajar untuk kita hairan dengan ranting-ranting yang mati dek kerana
akarnya pun sudah mati? Sudah tentu tidak.
Siramkan pokok pada akarnya bukan pada rantingnya. Bagitu juga manusia,
siramkan ilmu pengetahuan pada hatinya dan bukannya pada ranting-ranting
kehidupan mereka. Kita jangan sesekali hilang punca tatkala berhadapan dengan
seribu satu macam masalah yang menimpa generasi muda yang beragama Islam pada
zaman sekarang.
Jangan terlalu melampau memfokuskan kepada permasalahan yang timbul sehingga
kita tenggelam punca untuk menyelesaikan masalah anak muda. Fokuslah kepada
permasalahan sekadar mana cukup untuk dijadikan modal bagi menggerakkan usaha
penyelesaian agar masalah yang timbul dapat ditangani.
Usaha penyelesaian pula jangan difokuskan kepada permasalahan ranting sahaja.
Kaji kembali bagaimana dengan keadaan akar yang menumbuh ranting iaitu hati.
Bagaimana keadaan akidah mereka? Adakah akidah mereka yang sedia ada sekarang
tidak disiramkan dengan ilmu pengetahuan agama yang secukupnya dan disampaikan
dengan cara yang sewajarnya? Itulah yang sepatutnya menjadi fokus utama
daripada hanya tahu membincangkan konspirasi Yahudi dan Freemason sahaja. Buang
masa sahaja jika kita tidak jelas apa yang sepatutnya difokuskan! Utamakan apa
yang sepatutnya difokuskan! Musahabah buat mereka yang benar-benar ikhlas ingin
menyelesaikan permasalah di kalangan generasi muda di peringkat umum.
*Sengaja saya siarkan
kembali kerana ini bukan isu semasa tetapi isu sepanjang masa. Jadi taklah kita
bersemangat waktu isu ini tengah hangat sahaja tetapi terus istiqomah untuk
memperbaiki diri. Semoga menegur dengan penuh berhikmah jika mendapati ada kekurangan
pada penulisan ini :)
No comments:
Post a Comment