Falsafah Bangau Oh
Bangau Yang Melanda Masyarakat
Apabila difikirkan kembali,
seandainya kita memusatkan penyelesaian masyarakat itu kepada diri kita,
nescaya banyak penyelesaian kepada kemelut yang timbul akan terungkap satu
persatu. Tetapi secara realiti, jika kita memahami dengan sebaik mungkin
falsafah bangau oh bangau yang melanda umat Islam khususnya di Malaysia ini,
maka ianya dapat dibahagi kepada 3 peringkat iaitu :
- Individu
- Masyarakat
- Kerajaan
Individu
"Zaman sekarang dah tak ada
orang yang jujur" luah seorang rakan di laman sosial Facebook. Apa yang
menariknya adalah apabila difikirkan kembali, si penulis itu sendiri sebenarnya
termasuk dalam kalangan orang yang tak jujur kerana dia merujuk kepada semua
orang pada zaman ini. Mereka mengharapkan perubahan kepada suatu kehidupan yang
bahagia kepada orang lain tanpa merujuk seluas-luasnya kepada diri mereka
sendiri. Ini seolah-olah memberi remote control kepada orang
lain untuk mengawal kepada kebahagian kehidupan mereka.
"Ish! Teruk betul lelaki zaman ni. Memang gila seks betul hinggakan
dirogolnya perempuan yang lemah," bentak seorang perempuan ketika membaca
liputan berita yang menyiarkan kes rogol yang berleluasa berlaku sambil
membelai lembut rambutnya yang tersisir dan mengankat kembali seluar yang
semakin menampakkan punggungnya itu di sebuah warung makan.
Masyarakat
"Inilah anak muda sekarang asyik
buang bayi sahaja di sana sini. Merempit tak tentu hala," kata seorang pak
cik ketika membaca halaman surat khabar sambil duduk bersila panggung dan
menghirup kopi panas di sebuah warung.
"Ramai perempuan sekarang di universiti dan lelaki di pusat serenti,"
ujar seorang guru di hadapan para pelajar yang terdiri daripada lelaki dan
perempuan.
"Sedih betullah apabila melihat rakyat Palestin yang dizalimi oleh askar
Zionis," ucap seorang lelaki yang melihat berita-berita yang tersiar
melalui laman Facebook melalui iPadnya sambil mengetuk abu rokok di tempat
habuk rokok. Asap rokok dihembus berkepul-kepul dari mulutnya.
Kerajaan
"Hudud tidak relevan kerana
masyarakat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk," ucap seorang
Menteri melalui suatu sidang media oleh wartawan. Pada masa yang sama, media
itu juga yang banyak menyiarkan rancangan hiburan daripada menjelaskan
persoalan hudud yang sebenar di sisi Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah
untuk ditonton oleh masyarakat majmuk yang kebanyakkannya masih belum memahami
apa itu hudud.
"Kita sedar betapa ramainya anak muda sekarang sudah terjebak dengan
seribu satu macam gejala sosial," kata seorang pemimpin dengan nada yang
sedih. Tetapi ada masa yang sama hiburan melalui media dan konsert-konsert
terus dihidang setiap kali menyambut sesuatu perayaan. Katanya untuk
disesuaikan dengan keadaan masyarakat majmuk. Sedangkan kalau dipusatkan
penyelasaian itu pada dirinya, konsert dapat dikurangkan dengan mengehadkan
permit.
*Muhasabah itu sangat perlu di
peringkat individu, masyarakat dan kerajaan agar terungkap seribu satu
penyelesaian buat kemelut yang melemaskan kehidupan semasa. Hentikan falsafah
bangau oh bangau!
No comments:
Post a Comment