Pendakwah
Itu Bukan Nabi
Apabila digelar sebagai
pendakwah, kedengarannya seperti kerja dakwah itu mempunyai pengkhususan kerja
yang tersendiri. Apa-apa pun yang pastinya, kerja dakwah itu merupakan tugasan
yang tidak mempunyai pengkhususan. Ia suatu tugas yang menjadi tanggungjawab
bagi sesiapa sahaja yang bergelar Muslim.
Tetapi mungkin seseorang itu akan dilihat sebagai
pendakwah kerana usahanya yang cemerlang dalam menyebarluas agama Islam kepada
orang sekeliling. Mereka itu kebanyakkan bergiat aktif dengan pelbagai jenis
program seperti halaqah, usrah, kuliah agama, ceramah dan forum. Ditambah pula
dengan gelaran ustaz yang diberikan oleh masyarakat kepada mereka.
Namun begitu, ada suatu titik persamaan antara kita
dengan mereka iaitu kewajipan berdakwah itu adalah kewajipan setiap Muslim.
Dan hendaklah ada di
antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada
Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah
orang-orang Yang berjaya.
Surah
Ali Imran, Ayat 104
Baikilah Apa Yang Terzahir
Janganlah sekali-kali mata
kita melihat mereka seperti seorang yang maksum untuk terus sahaja dilempar
jauh dari senarai rujukan kita. Mereka punya kekurangan dalam menyatakan kasih
sayang pada umat Islam yang kian jauh dari Islam itu sendiri. Perbaikilah
pendekatan mereka jika ia tidak Islamik tetapi usah dipersenda niat mereka
untuk mengajak umat manusia kepada Islam.
Niat tidak menghalalkan cara. Itu benar. Tetapi jangan
dek kerana kekurangan yang ada pada cara itu terus dipersendakan niat baik
mereka.
Tambahan pula, niat seseorang itu berada di luar ruang
kemampuan kita. Ruang kemampuan kita hanya pada apa yang terzahir iaitu cara
mereka mungkin ada kekurangan dalam menyatakan niat baik di hati mereka.
Baikilah apa yang terzahir di hadapan mata kita supaya ianya lebih menepati nilai-nilai
Islam dan yang paling penting adalah berhikmah buat mereka yang diseru.
Serulah ke jalan
Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara
Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan
orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan
orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.
Surah
An-Nahl, Ayat 125
Menguatkan Diri
"Kalau aku ajak orang buat baik, aku mestilah
terlebih dahulu mengamalkan yang aku serukan kepada orang lain," detik di
dalam hati apabila menyiarkan nasihat, penulisan dan link bermanfaat kepada
rakan-rakan di dalam Facebook.
"Hidup ni kita perlu lebih bermujahadah dalam
menguruskan nafsu agar kehidupan kita tidak dikuasai nafsu," pesan saya
kepada seorang sahabat yang meminta nasihat. Lantas, kata-kata itu turut sama
menguatkan diri saya juga untuk bermujahadah. Mungkin sahabat-sahabat lain
turut merasakan perasaan ini apabila kita mengucapkan sesuatu kebaikan kepada
orang lain.
Begitulah kesannya kepada diri sesiapa yang berdakwah
akan sesuatu kebaikan. Adakalanya, mereka mendapatkan kekuatan untuk
mengamalkan seruan dakwah itu apabila berdakwah kepada orang sekeliling.
No comments:
Post a Comment