Friday 28 December 2012

Bertuhankanlah Allah SWT Tatkala Melaksanakan Hudud


Bertuhankanlah Allah SWT Tatkala Melaksanakan Hudud



                "Arghhh, politik semata-mata. Sembang jer pasal hudud lepas tu diam membisu," ujar Izzat dengan mencebik bibirnya. Ditolaknya ke tepi meja suratkhabar yang memaparkan berita mengenai isu hudud yang sedang panas sekarang dek kerana Karpal Singh mempersoalkan hukum hudud dalam agama Islam.

                "Isu hudud ini bukannya isu semasa tetapi ianya isu sepanjang masa," balasku ringkas ketika itu.

                "Sepanjang masa apanya. Bila ahli politik buka mulut barulah orang nak ambil kisah pasal hudud. Isu hudud panas bila ahli politik panas berdebat jer. Buang masa sahaja layan isu ni," balas Izzat dengan dahi berkerut seribu. Sudah bosan agaknya.

                "Isu hudud ini adalah isu sepanjang masa untuk diperjuangkan oleh umat Islam. Selagi mana kita mengucap dua kalimah syahadah setiap kali menunaikan solat fardhu. Selagi mana kita mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, maka adalah wajib bagi diri kita untuk memperjuangkan hukum Allah agar tertegak dalam kehidupan masyarakat," terangku sebagai mukadimah bagi melanjutkan perbincangan.

                "Apa yang kita boleh buat? Kita bukannya ahli politik yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan hudud dalam masyarakat," balas Izzat secara spontan.

                "Apabila menyebut perjuangan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan ia tidak semestinya membabitkan para ahli politik sahaja. Kita sebagai pemuda khususnya mempunyai peranan besar dalam menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini.

                "Maksud engkau kita kena sertai parti politik lah. Lepas tu jadi ahli parlimen dan tuntut untuk melaksanakan hudud dalam masyakat? Macam tu maksus kau?" celah Izzat secara tiba-tiba.

                "Seandainya hudud diwartakan sebagai undang-undang negara Malaysia itu belum tentu lagi menjamin akan tertegaknya hukum Allah di negara Malaysia ini," balasku secara ringkas.

                "Kenapa pula? Kalau sudah diwartakan hudud sebagai undang-undang Malaysia sudah tentu ianya akan dilaksanakan. Secara tidak langsung, hukum Allah akan tertegak di negara Malaysia. Cuba engkau terangkan sampai habis," ujar Izzat dengan wajah yang penuh tanda tanya.

                "Hudud itu sistem perundangan daripada Allah SWT. Ianya merupakan sistem perundangan yang tidak boleh sama sekali dipersoalkan keberkesanannya dalam membendung jenayah. Ianya sangat sempurna kerana undang-undang ini dianugerahkan oleh Tuhan yang Maha Sempurna. Sekiranya ada orang Islam yang mempersoalkan undang-undang Allah SWT maka jelasnya mereka telah terkeluar dari akidah Islamiyyah. Akidah mereka akan rosak," tegasku untuk menjelaskan lagi asas perbincangan.

                "Tetapi...ada tetapinya. Banyak persoalan akan timbul di peringkat pelaksanaannya. Sebab itu kita perlu jelas dengan sebaik mungkin sama ada seseorang itu mempersoalkan hukum hudud atau mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud. Itu merupakan dua perkara yang jelas berbeza. Sebab itulah isu hudud ini perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Supaya kita kita tidak terkeliru diantara golongan yang mempersoalkan hukum hudud dan golongan yang mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud. Golongan yang mempersoalkan hukum hudud sudah semestinya jelas terkeluar dari akidah Islamiyyah yang mana menyakini kesyumulan dan kesempurnaan undang-undang dari Allah SWT. Manakala, golongan yang mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang meneliti proses pelaksanaan hukum hudud supaya tidak menimbulkan fitnah dan memburukkan imej Islam. Golongan ini perlu dikenalpasti terlebih dahulu supaya kita tidak tersilap dalam bertindak," tambahku lagi.

                "Engkau boleh faham lagi ke apa yang aku cuba terangkan?" soalku sementara mengambil nafas. Tak nak pula nanti aku hanya syok sendiri sahaja.

                "Okey. Teruskan. Aku boleh lagi faham setakat ni," balas Izzat dengan raut wajah yang memberikan perhatian yang penuh.

                "Jika golongan kedua yang terdiri daripada pihak kerajaan ini mempersoalkan kewajaran untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia dek kerana masyarakat majmuk, maka kenapa pihak media perdana tidak berusaha untuk menerangkan kepada masyarakat yang majmuk ini akan manfaat di sebalik pelaksanaan hukum hudud? Kenapa hampir 20 tahun sejak Parti PAS menyuarakan pelaksanaan hukum hudud hanya alasan sama saja yang didendangkan? Itu di peringkat kerajaan," jelasku dengan membahagi peringkat masyarakat yang berada dalam golongan kedua ini.

                "Di peringkat masyarakat pula, ada yang mempersoalkan keadilan dalam proses pelaksanaan hudud kerana pemerintah yang ada sekarang bukannya bersikap adil dalam pemerintahan. Inikan pula dalam proses pelaksanaan hudud. Sudah tentu proses pelaksaannya tidak adil. Si lemah mencuri ditangkap, si bangsawan mencuri dibiarkan terlepas," tambahku lagi.

                "Ini disokong dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]

Apa yang akan tertonjol dari pelaksanaan hukuman hudud tatkala pemerintah bertuhankan nafsu? Sudah tentunya keadilan tidak akan tertonjol sama sekali, malah teruk daripada itu hudud ini akan dilihat sebagai suatu undang-undang yang penuh kezaliman. Orang bukan Islam akan memusuhi Islam, malah lebih teruk daripada itu ramai orang Islam akan keluar daripada Islam dek kerana sudah tergambar suatu kezaliman yang menyeksakan dalam kehidupan mereka." ujar beberapa orang ahli akademik dalam penulisan mereka.

                "Tetapi adakah masyarakat yang mempersoal ini berusaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang adil? Terdidik dengan akhlak yang baik lagi amanah," ujarku dengan nada menduga.

                "Okey. Okey. Itu aku nampaklah tapi dimana pula peranan kita sebagai pemuda sepertimana engkau cakap tadi?" soal Izzat.
                "Peranan kita sekarang adalah untuk membaiki akhlak diri kita dengan sebaik mungkin dan mendalami ilmu agama dengan penuh kemas. Kemudian, carilah calon isteri yang secocok dengan agama dan bukan dengan diri kita semata-mata supaya kelak akan terdiri sebuah rumah tangga yang melahirkan anak-anak yang mempunyai akidah Islamiyyah yang kukuh dan bukannya bertuhankan nafsu. Jika mereka menjadi pemimpin, maka mereka menjadi pemimpin yang adil,"

                "Belum tentu lagi anak-anak tu mampu bersikap adil,"

                "Betul tuh. Tapi sifat manusia sebagai hamba hanya mampu berusaha. Sekarang kita sudah jelas jalan yang perlu dilalui untuk menegakkan hukum Allah di tanahair tercinta ini. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan untuk menjawab di hadapan Allah SWT kelak kerana kita telah berusaha," balasku sebagai kesimpulan untuk perbincangan di kedai makan ketika itu.

                "Bagus Aiman.Macam nilah baru dikatakan pemuda harapan," ujar Pak Leman sambil menepuk bahuku. Rupa-rupanya Pak Leman sejak tadi mengikuti perbincanganku dengan Izzat dari belakang.

                Aku hanya mampu tersenyum dengan Izzat melihat respon Pak Leman itu. 

P/S :  Penulisan bukannya hendak mempersoalkan hukum hudud tetapi ingin membaiki sudut pandang di peringkat masyarakat hinggalah ke peringkat kerajaan terhadap isu hudud yang sedang panas disiarkan sekarang dalam media perdana sama ada television dan surat khabar. Penulis mengharapkan penulisan ini dapat menjadi suatu muhasabah buat para pembaca yang beragama Islam sama ada di peringkat rakyat ataupun kerajaan.

Penulisan ini dibuat sewaktu isu hudud sedang panas tetapi di'post' sebagai note sewaktu isu ini menjadi sejuk.

Monday 17 December 2012

Teknologi, Amerika Syarikat dan Al-Jazari


Teknologi, Amerika Syarikat dan Al-Jazari

"Kenapa dunia melihat Amerika Syarikat itu seperti Tuhan? Sedangkan mereka itulah yang membekalkan pelbagai senjata canggih kepada negara haram rejim Zionis. Umat Islam di Palestin habis diserang dengan penuh kezaliman. Angka yang terkorban meningkat saban hari tetapi dunia seperti tidak dapat berbuat apa-apa," luah Amir dengan penuh nada kesal.

            "Kenapa Amir?" soal Muaz untuk mendapatkan kepastian dengan reaksi yang ditunjukkan oleh rakan sebiliknya itu.

            "Engkau tengoklah ini. Teruk betul rejim Zionis membantai penduduk Palestin di Semenanjung Gaza," ucap Amir sambil menunjukkan video yang sedang ditontonnya melalui laman Youtube.

            "Apa yang berlaku pada zaman sekarang mengingatkan aku kepada ilmuwan Islam. yang terkenal dalam bidang kejuruteraan mekanikal," ujar Muaz sambil memandang ke luar tingkap.

            "Siapa dia ilmuwan Islam itu?" soal Amir sambil memalingkan mukanya kearah Muaz.


            " Nama panggilannya Al-Jazari. Nama penuhnya adalah Abu al-Ismail Bin al-Razaz al-Jazari. Al-Jazari dilahirkan 300 tahun sebelum Leonardo Da Vinci atau lebih tepat lagi pada tahun 1136 Masihi . Gelaran al-Jazari diambil sempena nama tempat kelahiran beliau, iaitu di Al-Jazira," jelas Muaz dengan terperinci.

            Muaz merupakan salah seorang pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal. Pada masa yang sama dia turut mengkaji sejarah ilmuwan Islam terdahulu yang mempunyai kaitan dengan bidang pengajiannya. Jadi tidak hairanlah dia dapat mengingati maklumat lengkap mengenai sejarah ilmuwan Islam yang terkenal dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu.

            "Apa kaitan Al-Jazari dengan apa yang terjadi sekarang?" soal Amir untuk mendapatkan kepastian.


            "Pada zaman dahulu, al-Jazari mencipta alat mekanikal yang berfungsi secara automatik untuk mengangkutkan air bagi tujuan pengairan.  Tetapi beliau perlu berwaspada dengan pandangan masyarakatnya ketika itu. Ini disebabkan pada ketika itu, sesiapa yang boleh menggerakkan sesuatu peralatan tanpa menggunakan tenaga manusia atau binatang akan dianggapkan menggunakan sihir. Jadi bagi mengelakkan dirinya dituduh mengamalkan sihir, maka beliau telah meletakkan seekor keldai diatas alat mekanikal tersebut bagi menunjukkan alat tersebut berfungsi menggunakan kuasa binatang sedangkan bahagian bawahnya berfungsi secara automatik," terang Muaz.

            "Sampai begitu sekali masyarakat pada waktu itu berfikir," ucap Amir dengan nada yang kagum.

            " Tamadun Islam bertuah kerana al-Jazari yang meneroka teknologi tersebut. Ini kerana ilmu mekanik sebelum zamannya dikenali sebagai sains muslihat. Dan sesiapa yang yang mempunyai niat serong akan menggunakan ilmu tersebut bagi menjadikan diri mereka dipandang hebat. Selain itu, mereka akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa itu adalah magik dan lebih teruk lagi, mengatakan diri mereka Tuhan," jelas Muaz dengan penuh bersemangat.

            "Siapa yang sampai sanggup mengaku Tuhan?" soal Amir dengan penuh teruja.

            "Individu tersebut adalah Firaun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Pada zaman pemerintahan Firaun, pintu gerbang dibuka dengan menggunakan kuasa hidraulik dan berfungsi secara automatik. Lalu, Firaun menggunakannya untuk mengatakan dirinya adalah Tuhan dengan cara apabila dia menunjukkan jarinya ke arah pintu gerbang, pintu tersebut akan terbuka dengan sendiri. Itu membuatkan sesiapa yang melihatnya akan mengatakan bahawa Firaun mempunyai kuasa yang hebat dan melihatnya sebagai Tuhan," terang Muaz lagi.

            Amir tersenyum sendirian seperti sudah dapat menangkap maksud ucapan Muaz, lantas berkata, "Perkara yang sama turut berulang pada zaman sekarang. Dunia seperti mempertuhankan Amerika Syarikat. Yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar. Seolah-olah mereka itu lagaknya seperti Tuhan."

            "Menyedari kembali akan semua itu, kecanggihan teknologi sewajarnya dikuasai oleh manusia yang beriman. Sebaliknya jika dikuasai oleh manusia yang mempunyai pelbagai sifat buruk, maka ia membuatkan kecanggihan teknologi dan manfaat darinya akan kabur dan pelbagai persepsi negatif akan diberikan kepada teknologi tersebut. Sepertimana yang kita lihat dengan teknologi nuklear pada hari ini," jelas Muaz.

Oleh sebab itu, perlunya pada zaman sekarang orang yang beriman dan mampu menguasai pelbagai cabang teknologi. Supaya dapatlah dimurnikan kembali pelbagai teknologi yang disalahguna untuk tujuan keburukan yang memudaratkan umat manusia dan juga alam sekitar.

Satu pengajaran penting buat mahasiswa Islam seluruh dunia. Terharu rasanya kerana saya sendiri mempunyai bahagian yang perlu dilaksanakan dalam tuntutan tanggungjawab itu.

Monday 10 December 2012

Bersahabat Hingga Ke Syurga


Bersahabat Hingga Ke Syurga


Jangan hanya tahu berharap tetapi berusahalah bersama-sama sahabat menjayakan pengharapan yang baik itu.
Sekembalinya saya ke kampus untuk meneruskan pengajian, saya banyak melihat perubahan diri sahabat. Ada yang pada semester yang lalu merupakan seorang yang sangat emosi tetapi sekarang sudah berubah menjadi seorang yang tenang dan tertonjol usahanya untuk terus istiqomah menjaga ketenangan dirinya itu. Yang lain pula, kelihatannya ibadat mereka menjadi lebih terjaga. Ada yang sebelum ini percakapannya agak kasar, tetapi sekarang sudah semakin bersopan-santun.

            Apabila saya melihat perubahan demi perubahan yang tertonjol di kalangan sahabat saya ini, maka sedarlah saya bahawa sahabat hari ini tidak sama dengan sahabat seminggu yang lepas, sebulan yang lepas, setahun yang lepas. Sahabat yang ada senantiasa berusaha menjadi seorang yang baik. Lantas, jangan kita hanya tahu menanti hasil perubahan sahabat tanpa membantunya untuk berubah menjadi seorang yang baik.

            Sebagai seorang sahabat, sewajarnya kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjayakan perubahan diri sahabat ke arah kebaikan. Bukannya duduk berharap perubahan diri sahabat semata-mata. Malah lebih teruk dari duduk berharap menunggu perubahan diri sahabat, ada juga yang memperlecehkan perubahan diri sahabat. Mungkin kita biasa dengar ucapan-ucapan tersebut apabila mula menyusun perubahan diri ke arah kebaikan.

         "Aku nak tengok sampai bila engkau mampu jadi macam tu," ucap seorang lelaki apabila melihat sahabatnya melakukan sesuatu kebaikan.

         "Sekejap jer tu. Esok jadi baliklah perangai dia tu," ucap pula seorang lelaki apabila melihat perubahan diri sahabatnya.

         "Alah! Semangat sekejap jer tu. Hangat-hangat tahi ayam je," ucap seorang lelaki secara spontan apabila melihat sahabatnya bersemangat melakukan kebaikan.

Menyuburkan Hubungan Persahabatan   
    
Hubungan persahabatan akan terus berada dalam keadaan yang baik selagi mana kita sendiri berusaha untuk menjadikan sahabat kita menjadi seorang yang terbaik di hadapan Allah SWT. Keadaan ini hanya akan wujud apabila budaya tegur-menegur berlangsung dengan subur dalam hidup bersahabat. Saling menguat antara satu sama lain dengan penuh usaha yang istiqomah.

            Jika kita merenung sejenak, Tuhan tidak bertanya sahabat kita berjaya berubah menjadi baik atau tidak, tetapi Tuhan akan bertanya kepada kita apakah usaha yang kita lakukan untuk membuatkan sahabat kita itu berubah ke arah kebaikan. Ini perlu yang menjadi fokus kita sekarang untuk direnung sedalam mungkin jauh dalam diri kita ; "Apakah kita sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh menjayakan perubahan diri sahabat kita ke arah kebaikan?"

*Penulisan ini merupakan merupakan suatu muhasabah buat diri saya pada suatu waktu. Namun, niat saya berkongsi dengan rakan-rakan sekalian adalah untuk terus kalian terus menjaga hubungan persahabatan dengan lebih baik dan yang paling penting mencari redha Allah SWT dalam sesuatu hubungan persahabatan.

Wednesday 5 December 2012

Nasihat Buat Diri


Nasihat Buat Diri




Peganglah sementara terlebih dahulu untuk merasakan bahang nasihat buat diri kita yang sering dingin dari kesedaran untuk maju ke arah kebaikan.

"Terima kasih kerana sudi berkongsi tulisan ini dengan saya. Memang kena sangat ada diri saya yang banyak sangat dengan masalah sekarang. Alhamdulillah. Nanti kalau ada tulisan yang baru bolehlah berkongsi dengan saya," ucap seorang rakan apabila saya berkongsi sebuah penulisan saya di dalam blog.

            Respon yang diberikan oleh rakan saya itu membuatkan saya terfikir akan suatu perkara yang mungkin kita semua terlepas pandang apabila melihat untaian nasihat yang memenuhi di dalam laman sosial seperti Facebook iaitu kita mungkin jarang untuk menujukan untaian nasihat yang didengar, dibaca dan dilihat  pada diri sendiri terlebih dahulu.

            Kadang-kadang nasihat yang diberikan itu dilontar main antara satu sama lain sehingga tiada sempat hati hendak menyambutnya. Akhirnya, hanya timbunan nasihat sahaja yang memenuhi ruang profil Facebook kita tanpa suatu nasihat pun diambil manfaat dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mungkin ini yang menyebabkan kenapa masih ada lagi belum berubah

            Kita tidak merasakan nasihat yang diberikan itu ditujukan pada diri kita. Kita hanya melihat nasihat itu hanya layak pada orang lain. Malah, tidak diluangkan masa sedikit pun untuk merenung diri menerusi nasihat yang diberikan. Sebaiknya peganglah sementara terlebih dahulu untuk merasakan bahang nasihat buat diri kita yang sering dingin dari kesedaran untuk maju ke arah kebaikan.

            Teringat kembali akan nasihat Syaikh Ibn 'Atha'illah as-Sakandari di dalam karya agungnya Kitab Al-Hikam :

"Usahamu untuk mengetahui aib-aib yang tersembunyi dalam dirimu adalah lebih baik daripada berusaha menyingkap perkara ghaib yang tersembunyi darimu."

*Penulisan ini hanyalah merupakan suatu coretan di kesempatan masa yang ada untuk dijadikan renungi oleh kita semua. Mungkin sedikit sebanyak renungan sedalam mungkin pada diri yang sekejap waktu itu mampu membawa perubahan yang besar dalam kehidupan kita.

Monday 3 December 2012

Mengawal Daya Fokus


Mengawal Daya Fokus


Belajarlah untuk menjadi seorang yang mempunyai daya fokus yang baik terhadap pekerjaan yang hendak dilakukan. Daya fokus yang baik akan melahirkan daya hasil yang baik. Komitmen yang pelbagai datang tidak mengenal masa. Maka disaat ini kemampuan diri untuk menguruskan daya fokus akan teruji. Inilah ujian yang sering melanda diriku. Menguruskan daya fokus untuk kekal istiqomah dalam sesuatu pekerjaan menjadi begitu sukar dek kerana lintasan-lintasan komitmen yang pelbagai. Sekejap rasa hendak menulis tajuk seni, sekejap hendak menulis tajuk politik. Berserabut jadinya pekerjaan yang hendak disiapkan. Akhirnya, bertimbun-timbunlah penulisan yang hanya disiapkan sekerat jalan.

            Kadang-kadang apabila bermuhasabah pada diri ini sedalam mungkin. Di mana kurangnya lagi usahaku untuk meningkatkan daya fokus dalam sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan terutamanya dalam bidang penulisan yang dipupuk sekarang. Buat seketika setelah lama merenung ke dalam diri, salah satu faktor yang mempengaruhi daya fokus adalah ketidakstabilan emosi dalam diri. Ya! Bila dilihat kembali sebelum ini, aku sering menulis mengikut keadaan emosi. Idea-idea keluar selama mana mood aku berada di dalam tajuk yang hendak dihuraikan. Benarlah juga dari suatu faktor yang menyokong kawalan emosi iaitu ketenangan hati apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

            Mungkin ini salah satu faktor kejayaan ilmuwan Islam terdahulu adalah ketenangan hati. Mereka memperoleh ketenangan hati yang berpanjangan dalam hidup mereka kerana hubungan kerohanian mereka dengan Allah SWT begitu kuat sekali. Lantas, dengan hati yang tenang itu mereka dapat memfokuskan sebaik mungkin kepada kajian-kajian mereka dan mengarang ratusan buah kitab dalam pelbagai bidang keilmuan.

Solat dan Ketenangan Diri
Diri menjadi tidak tenang apabila pelbagai perkara datang menghinggap di dalam fikiran dalam satu-satu masa. Tangan hanya ada dua sahaja. Aku bukannya sotong kurita yang mempunyai banyak tangan untuk melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu-satu masa. Sungguh! Ketenangan diri sahaja yang dapat mengawal keadaan emosi daripada gelojoh menerpa sesuatu pekerjaan yang hendak disiapkan.

            Namun, apabila suatu ketika aku cuba untuk menjaga solat fadhu dan solat sunat buat 10 hari, ketenangan di dalam diri sedikit banyak meningkat lebih sedikit daripada sebelumnya. Pada saat itu barulah aku dapat menulis dengan begitu tenang sekali dan idea mencurah-curah keluar bagaikan mata air yang baru sahaja digali.

Ketenangan Diri dan Kualiti Masa
Ini membuatkan aku teringat beberapa orang rakanku dari Maktab Mahmud. Mereka tidaklah menghabiskan sepanjang waktu untuk menghadap buku sahaja. Tetapi apabila, mereka sudah menatap buku pelajaran maka banyak pula permasalahan yang dapat mereka selesainya. Seterusnya, ini menyedarkan aku akan perbezaan kualiti masa dan kuantiti masa.

            Dalam banyak waktu, mereka begitu menjaga amal ibadah dan amalan membaca al-Quran. Di suatu yang pula, waktu belajar mereka hanyalah beberapa ketika sahaja. Mungkin ketenangan yang mereka dapat melalui amalan sedemikian telah menghadirkan ketenangan di dalam diri mereka sehingga dapat meningkat daya fokus mereka sewaktu mengulangkaji pelajaran.

            Kualiti masa hanya dapat diraih dalam 24 jam apabila hati seseorang itu menjadi tenang. Maka, di saat itu dia dapat memfokuskan dengan sebaik mungkin terhadap satu-satu pekerjaan yang hendak disiapkan.

Formula Ketenangan Diri

Istiqomah dalam beramal ibadah > Raih ketenangan hati > Daya fokus meningkat

Mungkin ini formula yang dapat disimpul dalam masa terdekat agar dapat diamalkan dalam kehidupanku. Semoga Allah SWT memberikanku kekuatan untuk istiqomah dalam beramal ibadah. Ingat! Ketenangan itu hanya imbuhan di dunia sahaja. Apa yang paling penting adalah kebersamaan kita dengan Allah SWT dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Friday 30 November 2012

Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri


Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri



Aku lebih suka melihat kehidupan sahabatku yang sudah bergelar pemimpin pelajar. Setiap hari dia asyik sibuk sahaja dengan pelbagai tugas dan sering sahaja bergelut untuk menguruskan pelajarannya lagi.

                “Sombonglah dia tu. Mentang-mentanglah dah jadi pemimpin pelajar,” kata seorang pelajar kepada rakannya sambil mencebik bibirnya.

                “Biasalah bila orang dah ada kuasa,” balas rakannya.

                Aku hanya mampu duduk mendengar dari arah belakang sambil menghirup air milo di dewan makan yang luas itu. Kehidupan sahabatku saban hari menjadi buat mulut orang yang jarang sekali memahami apa yang diperkatakan mereka.

                Di suatu sudut lain di dalam dewan makan itu, aku terlihat sepasang kekasih sedang asyik bercengkerama. Bukan main seronok lagi mereka berdua berkasih sayang sehingga tidak mempedulikan orang disekeliling yang sejak tadi memerhatikan mereka berdua.

                Sebahagian pelajar tidak mahu sibuk berpersatuan kerana takut pelajaran tergugat tetapi sanggup terjun dalam kesibukan ber’couple’ yang bakal melemaskan hubungan mereka Tuhan dan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Paling merugikan, hubungan mereka dengan Tuhan makin terhakis.

                Untunglah dari suatu sudut bagi sahabatku itu, kesibukannya sedikit sebanyak menyelamatkan dirinya daripada melakukan perkara maksiat. Ke sana ke mari berusaha memenuhi tanggungjawab yang telah ditugaskan. Moga terus istiqamah dan selamat dari tsunami maksiat hati dan anggota badan. Teruslah bersemangat menunaikan tanggungjawab sahabatku.

*Semoga rakan-rakan yang terlibat dengan tanggungjawab persatuan dapat melihat dengan positif tugas yang diterima. Banyak hikmahnya....