Bertuhankanlah Allah SWT Tatkala Melaksanakan Hudud
"Arghhh, politik semata-mata. Sembang jer pasal hudud lepas tu diam
membisu," ujar Izzat dengan mencebik bibirnya. Ditolaknya ke tepi meja
suratkhabar yang memaparkan berita mengenai isu hudud yang sedang panas
sekarang dek kerana Karpal Singh mempersoalkan hukum hudud dalam agama Islam.
"Isu hudud ini bukannya isu semasa tetapi ianya isu sepanjang masa,"
balasku ringkas ketika itu.
"Sepanjang masa apanya. Bila ahli politik buka mulut barulah orang nak
ambil kisah pasal hudud. Isu hudud panas bila ahli politik panas berdebat jer.
Buang masa sahaja layan isu ni," balas Izzat dengan dahi berkerut seribu.
Sudah bosan agaknya.
"Isu hudud ini adalah isu sepanjang masa untuk diperjuangkan oleh umat
Islam. Selagi mana kita mengucap dua kalimah syahadah setiap kali menunaikan
solat fardhu. Selagi mana kita mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi
Muhammad itu Pesuruh Allah, maka adalah wajib bagi diri kita untuk
memperjuangkan hukum Allah agar tertegak dalam kehidupan masyarakat,"
terangku sebagai mukadimah bagi melanjutkan perbincangan.
"Apa yang kita boleh buat? Kita bukannya ahli politik yang mempunyai kuasa
untuk melaksanakan hudud dalam masyarakat," balas Izzat secara spontan.
"Apabila menyebut perjuangan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan
ia tidak semestinya membabitkan para ahli politik sahaja. Kita sebagai pemuda
khususnya mempunyai peranan besar dalam menegakkan hukum Allah di atas muka
bumi ini.
"Maksud engkau kita kena sertai parti politik lah. Lepas tu jadi ahli
parlimen dan tuntut untuk melaksanakan hudud dalam masyakat? Macam tu maksus
kau?" celah Izzat secara tiba-tiba.
"Seandainya hudud diwartakan sebagai undang-undang negara Malaysia itu
belum tentu lagi menjamin akan tertegaknya hukum Allah di negara Malaysia
ini," balasku secara ringkas.
"Kenapa pula? Kalau sudah diwartakan hudud sebagai undang-undang Malaysia
sudah tentu ianya akan dilaksanakan. Secara tidak langsung, hukum Allah akan
tertegak di negara Malaysia. Cuba engkau terangkan sampai habis," ujar
Izzat dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Hudud itu sistem perundangan daripada Allah SWT. Ianya merupakan sistem
perundangan yang tidak boleh sama sekali dipersoalkan keberkesanannya dalam
membendung jenayah. Ianya sangat sempurna kerana undang-undang ini
dianugerahkan oleh Tuhan yang Maha Sempurna. Sekiranya ada orang Islam yang
mempersoalkan undang-undang Allah SWT maka jelasnya mereka telah terkeluar dari
akidah Islamiyyah. Akidah mereka akan rosak," tegasku untuk menjelaskan
lagi asas perbincangan.
"Tetapi...ada tetapinya. Banyak persoalan akan timbul di peringkat
pelaksanaannya. Sebab itu kita perlu jelas dengan sebaik mungkin sama ada
seseorang itu mempersoalkan hukum hudud atau mempersoalkan proses pelaksanaan
hukum hudud. Itu merupakan dua perkara yang jelas berbeza. Sebab itulah isu
hudud ini perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Supaya kita kita tidak
terkeliru diantara golongan yang mempersoalkan hukum hudud dan golongan yang
mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud. Golongan yang mempersoalkan hukum
hudud sudah semestinya jelas terkeluar dari akidah Islamiyyah yang mana
menyakini kesyumulan dan kesempurnaan undang-undang dari Allah SWT. Manakala,
golongan yang mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud ini boleh dikategorikan
sebagai golongan yang meneliti proses pelaksanaan hukum hudud supaya tidak
menimbulkan fitnah dan memburukkan imej Islam. Golongan ini perlu dikenalpasti
terlebih dahulu supaya kita tidak tersilap dalam bertindak," tambahku
lagi.
"Engkau boleh faham lagi ke apa yang aku cuba terangkan?" soalku
sementara mengambil nafas. Tak nak pula nanti aku hanya syok sendiri sahaja.
"Okey. Teruskan. Aku boleh lagi faham setakat ni," balas Izzat dengan
raut wajah yang memberikan perhatian yang penuh.
"Jika golongan kedua yang terdiri daripada pihak kerajaan ini
mempersoalkan kewajaran untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia dek kerana
masyarakat majmuk, maka kenapa pihak media perdana tidak berusaha untuk menerangkan
kepada masyarakat yang majmuk ini akan manfaat di sebalik pelaksanaan hukum
hudud? Kenapa hampir 20 tahun sejak Parti PAS menyuarakan pelaksanaan hukum
hudud hanya alasan sama saja yang didendangkan? Itu di peringkat
kerajaan," jelasku dengan membahagi peringkat masyarakat yang berada dalam
golongan kedua ini.
"Di peringkat masyarakat pula, ada yang mempersoalkan keadilan dalam
proses pelaksanaan hudud kerana pemerintah yang ada sekarang bukannya bersikap
adil dalam pemerintahan. Inikan pula dalam proses pelaksanaan hudud. Sudah
tentu proses pelaksaannya tidak adil. Si lemah mencuri ditangkap, si bangsawan
mencuri dibiarkan terlepas," tambahku lagi.
"Ini disokong dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,
“Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri,
mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan
hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri,
nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith
Muttafaq 'alayh]
Apa yang akan tertonjol dari pelaksanaan
hukuman hudud tatkala pemerintah bertuhankan nafsu? Sudah tentunya keadilan
tidak akan tertonjol sama sekali, malah teruk daripada itu hudud ini akan
dilihat sebagai suatu undang-undang yang penuh kezaliman. Orang bukan Islam
akan memusuhi Islam, malah lebih teruk daripada itu ramai orang Islam akan
keluar daripada Islam dek kerana sudah tergambar suatu kezaliman yang
menyeksakan dalam kehidupan mereka." ujar beberapa orang ahli akademik
dalam penulisan mereka.
"Tetapi adakah masyarakat yang mempersoal ini berusaha untuk melahirkan
pemimpin-pemimpin yang adil? Terdidik dengan akhlak yang baik lagi
amanah," ujarku dengan nada menduga.
"Okey. Okey. Itu aku nampaklah tapi dimana pula peranan kita sebagai
pemuda sepertimana engkau cakap tadi?" soal Izzat.
"Peranan kita sekarang adalah untuk membaiki akhlak diri kita dengan
sebaik mungkin dan mendalami ilmu agama dengan penuh kemas. Kemudian, carilah
calon isteri yang secocok dengan agama dan bukan dengan diri kita semata-mata
supaya kelak akan terdiri sebuah rumah tangga yang melahirkan anak-anak yang
mempunyai akidah Islamiyyah yang kukuh dan bukannya bertuhankan nafsu. Jika
mereka menjadi pemimpin, maka mereka menjadi pemimpin yang adil,"
"Belum tentu lagi anak-anak tu mampu bersikap adil,"
"Betul tuh. Tapi sifat manusia sebagai hamba hanya mampu berusaha.
Sekarang kita sudah jelas jalan yang perlu dilalui untuk menegakkan hukum Allah
di tanahair tercinta ini. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan untuk menjawab di
hadapan Allah SWT kelak kerana kita telah berusaha," balasku sebagai
kesimpulan untuk perbincangan di kedai makan ketika itu.
"Bagus Aiman.Macam nilah baru dikatakan pemuda harapan," ujar Pak
Leman sambil menepuk bahuku. Rupa-rupanya Pak Leman sejak tadi mengikuti
perbincanganku dengan Izzat dari belakang.
Aku hanya mampu tersenyum dengan Izzat melihat respon Pak Leman itu.
P/S : Penulisan bukannya hendak
mempersoalkan hukum hudud tetapi ingin membaiki sudut pandang di peringkat masyarakat
hinggalah ke peringkat kerajaan terhadap isu hudud yang sedang panas disiarkan
sekarang dalam media perdana sama ada television dan surat khabar. Penulis
mengharapkan penulisan ini dapat menjadi suatu muhasabah buat para pembaca yang
beragama Islam sama ada di peringkat rakyat ataupun kerajaan.
Penulisan ini dibuat sewaktu isu hudud
sedang panas tetapi di'post' sebagai note sewaktu isu ini menjadi sejuk.