Monday 5 November 2012

Kasih Sayang Ibu Bapa Membawa Ke Syurga


Kasih Sayang Ibu Bapa Membawa Ke Syurga

Ibu bapa merupakan insan yang paling hampir dengan kehidupan kita. Sejak dari kecil ditatang bagai minyak yang penuh. Mereka akan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Hati saya terharu dan semakin memaknai kasih sayang mereka itu apabila dalam waktu yang terdekat ini, ada beberapa foto yang saya ambil secara spontan menjelaskan kasih sayang ibu bapa yang sememangnya sangat bernilai itu.


Gambar ini saya ambil secara spontan sewaktu kakak saya mengenakan tudung kepada anaknya sewaktu hendak pergi ke kenduri. Tersentuh saya apabila menatap gambar ini. Seorang ibu yang berusaha mendidik anaknya untuk berpakaian menutup aurat sejak kecil. Fikir saya, jika anaknya melihat gambar ini mesti tidak sanggup untuk sekali-kali membuka auratnya.

Gambar ini pula saya ambil sewaktu melakukan experimental shooting untuk dapatkan idea di dalam penulisan. Tak sangka pula ada seorang bapa sedang mengayuh basikal dengan anaknya duduk di bahagian belakang dengan bertudung kemas. "Jika engkau melihat gambar ini apabila besar kelak, mesti engkau tidak akan sekali-kali tergamak menderhaka kepada mak ayah dengan membuka aurat," detik hati saya ketika itu.


Gambar yang terakhir ini pula saya ambil ketika kenduri. Seorang bapa yang melapikkan tangan di atas kepala anaknya yang bertudung rapi. Terserlah kasih sayang si bapa yang melindungi anaknya bersungguh-sungguh dari basah hujan dan bersungguh-sungguh melindungi anaknya dengan mengenakan pakaian yang menutup aurat. Apabila direnungkan kembali, gambar ini benar-benar menyentuh hati saya akan erti sebuah kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Suatu kesimpulan yang saya dapat selepas menatap gambar-gambar ini adalah kasih sayang ibu ayah itu adalah kasih sayang yang membawa ke syurga. Jadi, jejaka di luar sana, adakah kasih sayang yang anda ingin berikan kepada anak dara orang itu membawa ke syurga? Fikir-fikirkanlah. Ibubapa mereka menjaga dengan kasih sayang yang membawa ke syurga dan janganlah kasih sayang kita itu membawa anak dara mereka ke neraka. Semoga menjadi muhasabah kepada kita semua ....

3 comments: