Wednesday 27 March 2013

Menghayati Pengertian Ikhlas Di Dalam Kehidupan


Menghayati Pengertian Ikhlas Di Dalam Kehidupan

Ada suatu perkara yang aku terfikir berkenaan ikhlas. Sehingga suatu malam persoalan ini pantas berlegar dalam fikiranku sehingga tidak boleh tidur dibuatnya, namun seperti kebiasaan aku hanya berkata kepada diriku, "Kalau persoalan ini baik maka Allah SWT akan ingatkan aku keesokkannya." Lagipun badan saya sudah terlalu penat untuk bangun daripada tempat tidur untuk menaip di dalam komputer.

            Bangun sahaja pagi 27 Mac 2013, saya mengambil peluang dalam kesegaran pagi ini untuk menulis kembali apa yang difikirkan pada malam semalam.

            Ikhlas itu sesuatu yang tidak mampu terucap dek kerana kemanisan dan kenikmatannya. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia tidak ikhlas. Ini kerana ikhlas itu adalah lambang kecintaan diri seseorang itu kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu perkara di dalam kehidupannya. Maka, ikhlas itu hanya dirinya dan Allah SWT lebih mengetahui dan merasai. Tidak mengucapkan ikhlas itu bagi menjaga keikhlasan di dalam diri tidak cukup untuk membuatkan keikhlasan di dalam diri terjaga. Akhirnya, jelas bahawa keikhlasan itu sesuatu yang kita tidak sedar dan ia sekadar membuatkan kehidupan kita lebih senang, bahagia, tenang dan lapang.

            Lantaran itu, dalam kesibukan meraih amal ibadah yang ikhlas di dalam kehidupan. Sedar tidak sedar, ianya boleh diumpamakan seperti mutiara yang tersimpan di dasar laut yang bergelora.

# Cukuplah untuk kamu tidak menjadi ikhlas selagi mana kamu merasakan diri kamu ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Ikhlas itu tidak perlu diucap untuk meraihnya.

Saturday 16 March 2013

SEKSAAN YANG TIDAK TERBAYANG


SEKSAAN YANG TIDAK TERBAYANG


Pada suatu ketika sebelum memulakan mensyuarat, saya dan rakan-rakan sama-sama membacakan Surah Al-Waqi'ah. Ketika itu saya tidak membawa al-Qur'an, maka saya pun berkongsi bersama rakan di sebelah. Sedang asyik membaca, perhatian saya mula tertumpu pada terjemahan ayat 51 hingga 55.

"Kemudian, Sesungguhnya kamu Wahai orang-orang Yang sesat Yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, Iaitu pokok Zaqqum, "Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, "Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas Yang menggelegak, "Iaitu kamu akan minum seperti unta Yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas".

            Ketika itu, terlintas suatu rasa yang menakutkan apabila membayangkan kembali seksaan yang disebut itu. Hati saya bermonolog sendirian, "Sudahlah memakan buah yang dari pokok Zaqqum kemudian meminum pula dari air panas yang menggelegak. Kemudiannya, sudah minum seperti dahaga dan tidak pula merasa puas dengan meminum air menggelegak itu. Aduh! Seksaan yang Maha Dasyat."

            Perasaan membayangkan seksaan yang Maha Dasyat itu kemudiannya membuatkan diri saya tergerak untuk mengorek setiap sisi kehidupan sebelum ini yang mungkin telah melayakkan diri saya untuk menerima seksaan sedemikian rupa. Seterusnya, membuatkan diri saya lebih berhati-hati agar perbuatan yang mendatang kelak tidak mempunyai ciri-ciri yang melayakkan diri saya untuk menerima seksaan tersebut.

            Mungkin ada baiknya kita mengambil masa untuk memikirkan kembali suatu persoalan yang besar, "Berfungsikah ketakutan yang aku rasa dari khabar seksaan yang Maha Dasyat seperti yang dikhabarkan oleh al-Qur'an?"

Wednesday 13 March 2013

JIWA KOSONG : KEKOSONGAN ITU PERLU DIISI


JIWA KOSONG : KEKOSONGAN ITU PERLU DIISI


Kadangkala dalam kehidupan kita akan diselubungi oleh perasaan kosong. Kosong dari semangat untuk memulakan kehidupan. Kita merasakan kehilangan kaki untuk melangkah menjalani kehidupan sedangkan zahirnya kaki kita masih lagi ada. Jalan-jalan yang hendak dilalui pula kelihatan makin kabur dari masa ke semasa. Semakin hilang dari pandangan. Akhirnya, sampai suatu tahap jiwa kita meronta-ronta mencari sesuatu bagi mengisi kekosongan tersebut. Apa yang pastinya kekosongan tersebut tidak boleh dimusnahkan melainkan diisi dengan sesuatu. Apakah sesuatu itu? Sesuatu itulah yang membuatkan ramai orang melakukan pelbagai macam perkara.

            Ada yang memanjat gunung.

            Ada yang menconteng dinding sepuas-puasnya.

            Ada yang berjalan ke pelbagai ceruk tempat.

            Syukurlah buat yang melalui jalan pencarian yang betul dan celakalah bagi yang terjerumus ke jalan pencarian yang semakin menjerut harapan kehidupan.

            Namun, di akhir pencarian sesuatu itu masih sahaja seseorang itu merasakan ruang kosong itu wujud di dalam dirinya. Tanpa menafikan, hampir semua daripada kita merasakannya sampaikan suatu waktu ia menjerut harapan untuk terus hidup. Bagi yang tumpas dikuasai ruang kosong itu, mereka cenderung membunuh diri. Pada fikiran mereka, ruang kosong itu dapat dimusnahkan dengan membunuh diri. Mencabut nyawa sebelum panggilan ajal dari Ilahi.

            Sungguhpun ruang kosong itu pada zahirnya seperti terisi, tetapi dek kerana berjauhan dengan sesuatu yang sepatutnya mengisi ruang kosong tersebut, maka mereka terus-terusan merasa kewujudan ruang kosong tersebut.

            Jadi apakah yang sepatutnya mengisi ruang kosong tersebut? Aku sendiripun masih mencari yang mana aku sendiri tidak mampu mengungkap pencarian tersebut dalam bentuk apa.

            Semoga terus diberikan kekuatan oleh Ilahi.

Monday 11 March 2013

Antara 2 Jenis OKU : Orang Kuat Upaya VS Orang Kurang Upaya


Antara 2 Jenis OKU : Orang Kuat Upaya VS Orang Kurang Upaya



Setelah azan dikumandangkan di Pusat Islam UiTM Perak, kelihatan seorang pelajar yang tergesa-gesa masuk ke dalam dewan solat. Selepas kerusi rodanya ditolak oleh rakan yang menemaninya, dia turun lantas dengan pantas masuk ke dalam dewan solat untuk turut serta bersama para jemaah yang sudah berada dalam saf solat.
Pada fikiran, pelajar tersebut merupakan Orang Kuat Upaya (OKU) kerana jiwa kuat untuk solat jemaah. Akan tetapi, para pelajar yang tidak turut serta bersolat jemaah (kecuali yang punya urusan yang mendesak dan sewaktu denganya) itu boleh saja dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana kurang upaya jiwanya untuk turut serta bersolat jemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa pendapat pertama (sunat muakkad) yang lebih utama diikuti berbanding pendapat lain. Khususnya pada zaman sekarang ini di mana keadaan semakin sibuk dan ramai orang yang terikat dengan jadual-jadual kerja tertentu. Jika seseorang mendapati kelapangan untuk menyertai sembahyang jamaah, maka wajiblah ke atasnya untuk memastikan syiar-syiar Islam tertegak.
Wallahu'alam.

Kedai Roti Canai Yang Mencanai Jiwa


Kedai Roti Canai Yang Mencanai Jiwa



Pada suatu pagi aku pergi ke kedai roti canai. Dirasakan ketika itu aku bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi turut mengenyangkan jiwa nurani apabila asyik memerhati perlakuan manusia di sekitar kedai tersebut:

            Gambar 1 - Si ayah sibuk menebar roti canai sambil menenangkan anaknya yang sedang kuat menangis dengan penuh sabar. Tidak pernah aku mendengar nada marah ataupun tertekan dengan tangisan si anak. Wajar untuk aku tunjukkan kembali kepada si anaknya apabila sudah besar nanti untuk mengingatkan pengorbanan ayahnya.

            Gambar 2 - Si ayah sibuk mengemas gerai untuk dibuka pada awal pagi sambil anaknya yang sibuk bermain dan berlari-lari disekitar parit besar. Tapi lembut pula menyantuni anaknya dengan tujuan untuk melarang dari menghampiri tempat bahaya.

            Gambar 3 - Si ibu sibuk melayan pelanggan yang mahu membayar makanan sambil mendukung anaknya. Berulang-ulang kali didukung dan diletak kerana lenguh tangan sebelahnya mendukung si anak.

#Timbul satu kesedaran buat jiwa yang memerhati, "Bagaimana ayahku dahulu membesarkan aku? Mungkin lebih mencabar. Tapi tiada siapa merakam untuk menjadi gambar untuk ditatap melainkan Allah SWT yang merakamnya menjadi amal ikhlas untuk ditatap di akhirat kelak."

Thursday 7 March 2013

Sifat Penting Diri Sendiri : Antara Dunia dan Akhirat


Sifat Penting Diri Sendiri : Antara Dunia dan Akhirat


Ada yang mementingkan diri sendiri dengan berpakaikan mendedahkan aurat dan membalut aurat di khalayak ramai. Mereka hanya mahu memuaskan kehendak diri mereka untuk berfesyen dan memenuhi kehendak diri yang mahu dipandang umum sebagai seorang yang mempunyai potongan bentuk badan yang cantik dan menggoda. Akhirnya, sifatkan pentingkan diri sedemikian rupa menatijahkan unsur-unsur yang mendorong kearah maksiat tumbuh subur sehingga menyebarluaskan jenayah rogol, buang bayi dan pencabulan. Ini dikategorikan sebagai mementingkan diri di dunia sahaja.

Dari penjuru yang lain, ada yang mementingkan diri dengan menutup aurat dengan sempurna dan menjaga dengan bersungguh-sungguh (mujahadah) dalam batas pergaulan. Mereka terlalu mementingkan diri dengan tidak mahu disentuh langsung oleh api neraka di akhirat kelak dan menerima seksaan api neraka yang Maha Pedih. Akhirnya, sifat pentingkan diri sedemikian rupa menatijahkan unsur-unsur keharmoniaan di dalam masyarakat dengan mengurangkan kadar jenayah rogol, buang bayi dan pencabulan. Ini pula dikategorikan sebagai mementingkan diri sehingga ke akhirat kelak.

Sekarang fikirkanlah, sifat pentingkan diri kita itu mengarah ke mana? Di dunia sahaja ataupun berpanjangan ke akhirat?

#Persoalan aurat itu merupakan salah satu contoh yang difikirkan sesuai dalam membawa pengertian disebalik tajuk yang diletakkan. Wallahu’alam.

Monday 4 March 2013

Cinta Ilmu Membawa Penguasaan Bahasa


Cinta Ilmu Membawa Penguasaan Bahasa

Untuk seketika saya memikirkan kembali tindakan saya membeli hampir 21 buah buku bahasa Inggeris adalah kerana mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Saya perlu tahu selok belok sejarah Eropah sehingga membawa kepada pembentukkan pemikiran Barat yang sarat dengan pelbagai jenis ideologi yang tersebar luas di seluruh dunia pada era globalisasi ini.


21 buku dari susunan diatas merupakan buku bahasa Inggeris yang berkisar tentang sejarah Eropah terdahulu yang dijadikan 'alat latihan' untuk mendedahkan diri saya kepada bahasa Inggeris yang lebih akademik dan tersusun tatabahasanya.

Lantas, semangat ingin tahu ini menyebabkan semangat untuk belajar bahasa Inggeris yang kebanyakkan mencatat fakta sejarah dunia semakin bertambah. Sedikit demi sedikit saya menyusun usaha untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris agar lebih kemas dalam pembacaan yang akan datang.

Ini membawa saya teringatkan  kembali kenapa ramai ilmuwan Islam pada zaman kegemilangan Islam dapat menguasai pelbagai jenis bahasa seperti bahasa Arab, Parsi, Urdu, Latin dan seumpamanya. Mungkin semangat ingin tahu yang menjadi batu loncatan kepada ilmu telah menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai macam penguasaan bahasa dari aspek pengucapan dan penulisan sehingga mampu menghasilkan pelbagai jenis karya dalam bahasa asing.