Friday 22 February 2013

Pentaksub Buku


Pentaksub Buku


Biarlah usia muda aku digelar sebagai pentaksub buku asalkan aku tidak terpalit dengan gelaran pentaksub hedonisme(hiburan melampau).

         Aku tidak mahu sekadar mengharapkan untuk kerajaan menjalankan kempen budaya membaca bagi tujuan menyemarakkan budaya membaca di kalangan masyarakat yang pada hari ini berada pada tahap yang rendah. Tetapi, aku melihat diriku sebagai sebahagian daripada masalah untuk masalah tersebut.

        Aku mengambil inisiatif untuk menjual buku yang menjadi keperluan masyarakat membacanya dan bukan sekadar membacanya untuk diminati. Membaca bahan bacaan yang diminati dan diperlukan merupakan dua perkara yang berbeza.

          Aku berusaha menulis buku untuk berusaha melontarkan solusi yang diperlukan oleh realiti semasa.

         Aku menjalankan usrah dengan membedah pelbagai macam buku yang diperlukan oleh jiwa muda mereka.

         Aku memberikan tazkirah yang berbentuk perkongsian isi dan bahan bacaan yang aku baca dari buku-buku koleksi yang aku ada .

        Biarlah aku digelar sebagai seorang berbangga dengan usaha aku itu yang mana lebih baik daripada aku sekadar berbangga dalam mengucapkan atau meminta orang lain berusaha.

#Tulisan yang ditaip oleh rakanku Taufiq Alhakim di saat aku keletihan menaip tetapi mulut masih mampu berbicara ...

Thursday 14 February 2013

Harapan Yang Berbaloi


Harapan Yang Berbaloi



            "Enta yakin tak?" soalnya berulang kali dengan penuh bersemangat. Itulah soalan yang diucapkan oleh naqibku sehingga menjadi zikir setiap kali ingin mendorong melakukan sesuatu perkara.

            Kini aku mula memikirkan kembali apa yang sering diucapkannya buat diriku. Banyak perkara sebenarnya boleh dihuraikan jika difikirkan sedalam mungkin.

            Manusia itu makhluk kepercayaan. Manusia bergerak di atas kepercayaan mereka. Kalau disoroti kembali perjalanan sejarah manusia. Banyak binaan yang berdiri menegak ke langit adalah berdasarkan kepada kepercayaan yang mereka pegang. Piramid di Mesir berdiri dek kerana kepercayaan mereka yang meyakini kebangkitan ruh di suatu alam sunyi. Masjid-masjid berdiri dek kerana kepercayaan umat Islam untuk beribadah kepada Allah SWT. Gereja Notredame di Perancis berdiri dek kerana kepercayaan masyarakatnya terhadap Gereja Katolik. Begitulah juga dengan diri kita yang mahu membina sesebuah kejayaan di dalam kehidupan; kepercayaan dan keyakinan mesti dicas dari masa ke semasa dengan seribu satu macam dorongan yang membina dan mengukuhkan kepercayaan yang sedia ada agar menjadi suatu keyakinan yang tidak boleh digugat dengan cabaran semasa.

            Berbaloi rasanya menaruh harapan bagi seseorang yang mempunyai semangat ingin belajar, semangat ingin tahu (inkuiri), semangat mahu berubah ke arah kebaikan dan seumpamanya. Ini kerana kita yang menaruh harapan ini yakin bahawa dengan sifat-sifat yang demikian akan membuat harapan-harapan yang sedemikian dapat direalisasikan. Tambahan pula, harapan yang disandarkan itu boleh dikatakan hanya sekadar sentuhan motivasi ataupun suntikan semangat untuk si pemilik tubuh itu merealisasikan harapan yang disandarkan itu. Kurang sekali dirasakan sebagai suatu kerugian untuk memberikan harapan bagi seseorang yang punya ciri-ciri yang sedemikian rupa. Maksudnya saya cuba gambarkan dalam suatu perumpamaan;

"Seandainya hati berkehendakkan mendaki Gunung Everest, mudah saja untuk didaki Gunung Kinabalu. Tetapi kalau sekadar berkehendakkan mendaki Gunung Kinabalu, maka diri hanya sekadar mampu mendaki Gunung Jerai."

            Mungkin disisi orang lain mereka melihat diri yang berpegang dengan konsep ini seperti seorang yang terburu-buru dan tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Namun, buat diri yang berpegang kepada konsep ini, ianya hanya sekadar pembakar semangat untuk menggerakkan anggota tubuh untuk terus bekerja dengan penuh bersemangat. Jauh sekali untuk bersikap melampau. Tetapi ianya mungkin dilihat melampau dek kerana ianya melampaui adat gerak kerja yang sedia ada, sedangkan melampau yang dilarang Islam adalah sikap melampau yang melanggar syariat. Kesimpulannya, bersikaplah 'melampau' asalkan berada dalam ruang lingkup syariat.

Wednesday 13 February 2013

Indahnya Berdakwah


Indahnya Berdakwah


Dakwah Islamiyyah tersebar bukan dengan paksaan. Indahnya bukan sekadar pada rupa luaran, tetapi jauh lebih penting daripada itu isi dakwah yang diserukan. Menyeru agar mengenal Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Agung iaitu Allah SWT. Oleh sebab itu, ternafi sama sekali dakwaan Islam itu datang secara paksaan dan gertakan. Isi yang sangat menarik menjadi teras utama untuk menggamit jiwa insan yang fitrahnya dengan Ilahi.

Erti Hidup Pada Memberi dan Menerima
Usaha dakwah ini bukannya persoalan memberi sahaja tetapi ia sebenarnya secara tidak langsung turut bersifat memberi kepada diri seseorang pendakwah itu juga. Bayangkan seandainya seseorang pendakwah itu berhadapan dengan mad'u (sasaran dakwah), kebiasaannya mereka akan berhadapan pelbagai macam cabaran dalam bentuk cemuhan, pemulauan dan seumpamanya untuk menyampaikan isi dakwah, namun daripada itu secara tidak langsung hati pendakwah sudah terpupuk sedikit demi sedikit meyakini terhadap apa yang diserunya itu.

            Oleh sebab itu, tidak timbul persoalan seseorang pendakwah itu kelelahan dalam perjalanan usaha dakwahnya kerana pada ketika itu dakwah yang diseru itu turut diterima oleh dirinya. Alangkah bahagianya kehidupan buat orang yang hidupnya senantiasa sibuk dengan usaha dakwah kerana dengan itu hatinya senantiasa dilitupi keyakinan yang teguh terhadap apa yang diserunya itu.

Menyebarkan Cinta Ilahi
Pendakwah itu penyebar cinta Ilahi. Pendakwah bagaikan orang tengah yang menjadi penghubung manusia sekeliling untuk terus membina tautan cinta mereka dengan Ilahi. Besarnya tugas seorang pendakwah. Seperkara lagi, perkara yang sungguh membahagiakan untuk seorang pendakwah adalah kehidupannya senantiasa akan dipenuhi dengan elemen-elemen kecintaan buat Ilahi. Ini bertepatan dengan apa yang terdapat dalam suatu hadis,

Rasulullah SAW pernah bersabda :
Jadilah penyeru Islam tanpa berkata-kata . Para sahabat bertanya, "Wahai utusan Allah, seperti apa sifatnya menyeru Islam tanpa kata-kata?" Rasulullah SAW menjawab, "Dengan sikap baik dan kemuliaan akhlak kamu."
Hadis Riwayat an-Nasai': 4301

            Elemen-elemen kecintaan buat Ilahi yang disemai melalui amalan kehidupan seharian dengan sikap yang baik dan kemuliaan akhlak akan lebih membekas di dalam hati mad'u (sasaran dakwah). Ini melengkapkan lagi ucapan cinta Ilahi yng diucapkan buat mereka. Begitulah keadaannya dakwah yang ditujukan buat diri yang bergelar insan.

Tuesday 12 February 2013

Titipan Kasih Buat Sahabat

Titipan Kasih Buat Sahabat


Terlantar aku di dunia fana',
Sejak lahir dari alam rahim,
Berdikit-dikitku bertatih mampu,
Terdorong dengan naluri insani,
Naluri yang berfitrahkan Ilahi,
Insan dan Allah berpisah tiada,
Insan kerdil ini senantiasa berharap pada Ilahi,
Tanpa Ilahi bagaikan hidup di gurun yang kering kontang,
Tiada air walaupun setitik untuk diminum,
Tanpa Ilahi bagaikan bernafas di ruang vakum,
Tiada oksigen bagi dibuat bernafas,
Keperluan insani inilah yang membuatkan diri kerdil ini terus berjuang,

Di suatu persimpangan sepi,
Sepi dari kepekatan jahiliah,
Allah pertemukan diri hina ini dengan sekelompok manusia,
Mereka ini pemuda pemudi yang bernafaskan semangat Islam,
Tatkala ku bersama mereka,
Dapatlah juga aku menghilangkan dahaga ilmu,
Membekal udara dari biah solehah,
Menenangkan hati dari kepekatan jahiliah yang bertali arus,
Melapangkan fikiran dari kelemasan dunia,

Walaupun ada waktu waktunya bertelingkah,
Semua itu disantuni sebagai suatu sunnatullah bagi perjuangan ini,
Memadai dengan sekadar menyantuni dengan penuh berakhlak insani,
Kasih sayang,
Cinta,
Kesantunanan bersulam ukhuwah,
Ubat mujarab buat mengubati kelelahan itu.

Perjalanan terus berlangsung,
Zaman terus sambung-menyambung,
Harapan akhir bagi perjalanan panjang ini,
Bertuhankan Ilahi itulah yang membariskan kami dalam saf yang sama,
Agar akhirnya sama-sama berdiri dalam baris yang satu,
Seiringan menghadap wajah Ilahi,
Di negeri asal akhirat sana.