Friday 30 November 2012

Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri


Kesibukkan Yang Menyelamatkan Diri



Aku lebih suka melihat kehidupan sahabatku yang sudah bergelar pemimpin pelajar. Setiap hari dia asyik sibuk sahaja dengan pelbagai tugas dan sering sahaja bergelut untuk menguruskan pelajarannya lagi.

                “Sombonglah dia tu. Mentang-mentanglah dah jadi pemimpin pelajar,” kata seorang pelajar kepada rakannya sambil mencebik bibirnya.

                “Biasalah bila orang dah ada kuasa,” balas rakannya.

                Aku hanya mampu duduk mendengar dari arah belakang sambil menghirup air milo di dewan makan yang luas itu. Kehidupan sahabatku saban hari menjadi buat mulut orang yang jarang sekali memahami apa yang diperkatakan mereka.

                Di suatu sudut lain di dalam dewan makan itu, aku terlihat sepasang kekasih sedang asyik bercengkerama. Bukan main seronok lagi mereka berdua berkasih sayang sehingga tidak mempedulikan orang disekeliling yang sejak tadi memerhatikan mereka berdua.

                Sebahagian pelajar tidak mahu sibuk berpersatuan kerana takut pelajaran tergugat tetapi sanggup terjun dalam kesibukan ber’couple’ yang bakal melemaskan hubungan mereka Tuhan dan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Paling merugikan, hubungan mereka dengan Tuhan makin terhakis.

                Untunglah dari suatu sudut bagi sahabatku itu, kesibukannya sedikit sebanyak menyelamatkan dirinya daripada melakukan perkara maksiat. Ke sana ke mari berusaha memenuhi tanggungjawab yang telah ditugaskan. Moga terus istiqamah dan selamat dari tsunami maksiat hati dan anggota badan. Teruslah bersemangat menunaikan tanggungjawab sahabatku.

*Semoga rakan-rakan yang terlibat dengan tanggungjawab persatuan dapat melihat dengan positif tugas yang diterima. Banyak hikmahnya....

Bertatih Menuju Ilahi


Bertatih Menuju Ilahi


Ada yang berlari,

Tapi kepenatan panjang di pertengahan jalan,

Ada yang tidak berbuat apa-apa,

Sekadar menunggu bulan jatuh ke riba,

Ada yang bertatih,

Langkahnya penuh istiqomah.


Bagi yang bertatih,

Ada waktunya jatuh,

Ramai yang mencemuhnya,

Tapi lantas pula bangunnya,

Kemas menyusun langkah ke depan.


Bagi yang bertatih,

Langkahnya kecil sahaja,

Tapi sungguh mengagumkan,

Penuh tekad,

Penuh istiqomah.


Bertatih menuju Ilahi,

Teruslah beristiqomah,

Kita akan belajar dari setiap langkah,

Menyusun kehidupan dengan teliti,

Agar hidup diredhai Ilahi.

Thursday 29 November 2012

Bicara Buat Manusia


Bicara Buat Manusia


Ada waktunya manusia menganggap temannya itu robot,

Bicaranya mendatar sahaja,

Petah menyusun bicara,

Mahu saja diusik sesuka hati,

Ditertawa buat menghibur hati,

Kosong perasaannya!


Ada waktunya manusia menganggap temannya itu manusia,

Bicaranya bersulam budi,

Petah menyusun bicara,

Tegurnya berlapik adab,

Usiknya sekadar meriangkan suasana,

Tertawanya bersama-sama juga,

Bertempat perasaannya.


Aku masih mencari teman yang melihat temannya sebagai manusia,

Yang pastinya di dalam diriku sendiri,

Agar bicara tidak mencincang hati,

Meremukkan perasaan,

Melanggar nilai insani.


Bicaralah dengan manusia sebagai manusia,

Manusia itu masih manusia,

Walau hidup di zaman canggih,

Hatinya masih lagi hati manusia.

Udara Canggih, Udara Kolot



Udara Canggih, Udara Kolot


Udara canggih cemarnya bukan sedikit,

Kotornya dengan bahan kimia,

Sesak dengan nafsu serakah,

Hirupnya sekadar perlu sahaja,

Tempatnya di kota raya,

Bangunannya berdinding konkrit,

Tingginya menujah awan.



Udara kolot segar rasanya,

Kotornya kurang sekali,

Tenangnya melapangkan dada,

Hirupnya sepuas mungkin,

Tempatnya di desa permai,

Bangunannya berdinding kayu,

Tingginya sekadar mampu.

Canggih dan kolot sekadar permainan nama,

Hakikatnya tidak dapat membohongi fitrah manusia.

Sunday 25 November 2012

Beribadah di Sawah Padi


Beribadah di Sawah Padi

*Aku menulis artikel ini untuk dijadikan renungan bagi rakan-rakanku yang ramai berjaya dalam bidang yang diimpikan oleh masing-masing. Dan pada masa yang sama, ayah mereka mengerjakan sawah. Untuk musahabah diri sebagai anak pesawah.


Apabila teringatkan kembali keletihan membantu ayahku di sawah sewaktu cuti yang panjang sementara menunggu keputusan SPM keluar pada tahun 2010 yang lalu, aku masih lagi merasa keletihan itu. Betapa letih mengangkat kampit baja yang seberat 20 kilogram dan berjalan berulang alik sejauh 300 meter dan berbataskan lumpur yang seringkali menangkap kaki. Mahu sahaja dibuang ke dalam sawah dek kerana tidak dapat menerima keletihan yang ditanggung. Tetapi ayahku turut pandai bermain dengan psikologiku. Ayahku turut sama menanggung kampit baja di hadapan dan berjalan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Geram juga di dalam hati, "Kenapa aku tidak sekuat ayahku untuk mengerjakan sawah yang begitu luas ini?"

                "Kalau kita tak buat bendang, rakyat Malaysia nak makan apa," itulah kata ayahku setiap kali selesai makan malam. Apa yang membuatkan ku tertarik dengan ayat ayahku ini adalah kalau bukan kita yang usahakan bendang siapa lagi. Sedangkan boleh sahaja rakyat Malaysia mengimport beras dari luar seperti Siam dan sebagainya, tetapi ayat ini tidak keluar dari mulut ayahku. Sekarang apabila aku menulis kembali kenangan ini, barulah ku sedar bahawa ayahku menganggap bahawa kerja yang dilakukannya sekarang bukanlah semata-mata untuk mencari rezeki untuk keluarga tetapi untuk berbakti kepada masyarakat. Barulah aku sedar, bahawa kerja sudah menjadi ibadah apabila niatnya sudah betul.

                "Nanti kalau ayah sudah mati, hang pulak kena usahakan bendang yang kita ada sekarang," itulah kata-kata ayahku setiap duduk berehat di tepi sawah untuk melegakan sedikit keletihan selepas bekerja. Aku menginsafi bahawa ini bukan sahaja amanah daripada ayahku tetapi amanah daripada Allah untuk mengerjakan tanah bagi memberi manfaat kepada manusia yang lain.

                "Kenapa la orang nak tutup air masuk ke bendang kita," keluh ayahku sendirian apabila pulang di waktu senja. Sedih juga mengenangkan sikap sesetengah orang yang mengusahakan sawah dengan sikap yang kotor. Tetapi ini menyedarkanku bahawa jika mengerjakan sawah dengan sikap yang sebegitu, ia menjadikan kerja mereka itu bukannya satu ibadah tetapi hanya letih sahaja dan mengundang murka Allah kerana menyusahkan orang lain.

                Di akhir penulisan ini, aku bertanya kepada diri ini sendiri, " Mampukah aku untuk beribadah di sawah seperti mana yang dilakukan oleh ayahku sekarang?" soalan ini masih belum dapat ku jawab. Tetapi ianya sering menjadi muhasabah yang wajib kerana sawah yang diusahakan oleh ayahku perlu diteruskan oleh generasi yang seterusnya.

Terima Kasih Ayahku - Abdul Halim Bin Ahmad 

Sunday 18 November 2012

Semangat, Boikot dan Kefahaman


Semangat, Boikot dan Kefahaman

Apabila isu Palestin kembali hangat, saya melihat suatu elemen yang perlu dimuhasabah dengan teliti iaitu semangat. Dalam kalangan kita sememangnya bersemangat apabila memperkatakan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis di Israel terhadap penduduk Palestin. Semuanya bernada semangat.

            Dalam kita bersemangat mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis tetapi pada masa yang orang yang sama juga menyuburkan lagi kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis di Israel. Ini boleh dilihat dengan jelas dalam persoalan usaha boikot.

"Memang tak guna betul rejim Zionis. Habis terkorban penduduk Palestin dibedil peluru berpandu," ucap seorang anak muda sambil meminum kopi di Restoran Starbuck.

"Tak berhati perut betul rejim Zionis. Anak kecil yang tidak berdosa pun turut dibom. Memang hati binatang betul. Teruk daripada binatang lagi," ucap  seorang gadis sambil mengunyah-ngunyah burger di Restoran McDonald.

Semangat Boikot
Bersemangat itu suatu yang bagus. Sebagai manusia, suatu semangat itu boleh dikatakan sebagai peledak kepada usaha yang besar. Namun, semangat itu mesti diluruskan dengan kefahaman yang jelas dari masa ke semasa.

"Dengar kata Mark Zuckernberg membekalkan dana kepada Israel. Jadi Facebook ni pun kena boikot juga ke?" soal salah seorang pengguna Facebook.

            Apabila saya melihat soalan ini wujud, maka saya memikirkan untuk menulis serba sedikit mengenai boikot supaya usaha boikot ini lebih menonjolkan kebijaksanaan umat Islam, menyentak kezaliman rejim Zionis dan terus istiqomah menjalankan usaha boikot. Untuk bahagian seterusnya, saya pecahkan fokus usaha boikot kepada 2 bahagian iaitu kehendak dan keperluan.

Antara Kehendak dan Keperluan

Kehendak : Antara produk yang boleh kita kategorikan sebagai kehendak adalah seperti McDonald, Nestle', Starbuck, Coca-cola dan seumpamanya yang kebanyakkannya berbentuk makanan dan minuman. Kalau tidak dapat beli pun, masih banyak lagi produk lain yang dapat dijadikan sebagai inisiatif seperti Radix Cola, Kopi Orang Kampung dan sebagainya yang mudah diperolehi di pasaran. Bukannya mati pun kalau sebulan tak dapat makan burger McDonald.




Keperluan : Antara produk yang boleh kita kategorikan sebagai keperluan adalah seperti Facebook, Google dan gajet-gajet elektronik yang lain. Ini memang sangat diperlukan untuk membolehkan kita mengakses maklumat yang berlaku mengenai umat Islam di seluruh dunia dan menjalankan usaha kesedaran terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam. Gunakan kembali teknologi yang mereka hasilkan ini untuk membina kekuatan di kalangan umat Islam. Janganlah pula menjadikan teknologi mereka ini sebagai tempat untuk menyuburkan maksiat, lantas melemahkan lagi perjuangan umat Islam.

Elok kiranya kita merenung kembali surat Saidina Umar kepada Saad bin Abi Waqqas :

Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-sama mu (tentera Islam) supaya menjauhkan diri daripada maksiat. Kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi orang Islam pada kekuatannya.

Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka, jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak mereka.


PROF MADYA DR HAFIDZI MOHD NOOR
Ini sebahagian daripada ulasan PROF MADYA DR HAFIDZI MOHD NOOR (Pengerusi Aqsa Syarif) :

"Berkaitan kenyataan McD Malaysia. McD Malaysia membayar franchisee fees kpd McD Corp USA. Ada puluhan ribu restoran McD di seluruh dunia. Walaupun setiap dari Restoran McD ini menyumbang sebanyak 5% dari revenue, mereka ini sudah berjumlah ratusan juta USD (bahkan mungkin billion dollar). Oleh kerana McD konsisten menyumbang kepada ekonomi Israel sejak 30 tahun yang lalu, maka kita harus menyampaikan message yang tegas di seluruh dunia kepada semua negara di mana McD membuka cawangan.

Jika setiap negara di mana McD beroperasi membuat disclaimer bahawa 'mereka tidak menyumbang kepada israel' bahkan mereka adalah syarikat berdaftar di negara masing-masing, maka boycott akan gagal dan McD Corporation US boleh meneruskan sokongan tidak berbelah bagi kepada Israel!

Tetapi jika setiap warga dunia mula memboikot operasi McD di negera masing-masing, maka ini akan menyampaikan message yang jelas supaya McD Corp US menghentikan sokongannya kpd Israel. Bayangkan jika kutipan dari yuran franchisee shj jumlahnya ratusan juta dollar sehari, berapa banyak jentera perang yang boleh dibeli oleh Israel dgn sumbangan McD bagi membunuh rakyat Palestin???

Kerana itu boycott adalah satu 'peperangan'.

Seruan boycott akan di counter oleh pihak musuh dgn mengatakan kami 'cawangan tempatan' dan kami hanya membayar cukai kpd kerajaan kita. Lagipun kami menyumbang kpd ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kpd rakyat tempatan.

Jika semua negara membuat pengistiharan spt ini dan semua warga dunia terpedaya dgn seruan 'manis' ini, boycott akan gagal total. Tetapi apabila McD seberang laut menerima tempiasan dari polisi McD Corp yang membiayai israel, maka akhirnya McD Corp terpaksa berfikir lagi sebelum meneruskan sokongannya kpd zionis kerana keuntungan seberang lautnya mula menyusut.

Ingat boycott adalah peperangan dan musuh akan menggunakan hujjah 'yang masuk akal' untuk menggagalkan strategi boikot."
Nasib Pekerja McD
Tentang nasib pekerja McD pula -- saya kongsikan lagi: Ramai juga yang masih bertanya kenapa Boikot McD, bagaimana dgn nasib pekerja McD?
Saya cuba rumuskan jawapan yang bolih membantu.
Ini senario yang paling mungkin.
McD tidak akan terjejas dengan kempen boikot. Yang menurun mungkin market share sahaja. Makna kata jika market share McD dalam perniagaan makanan segera ialah 70% mungkin berkurangan beberapa % sahaja. (katakan tinggal 60%). McD akan terus beroperasi spt biasa kerana dia tak menanggung kerugian - cuma keuntungan terjejas sedikit (Kemungkinan pelbagai tawaran harga yang menarik dan strategi pengiklanan yang makin aggresif adalah isyarat bahawa 'kempen boikot' semakin menggigit).
Jadi pekerja McD bolih terus bekerja dan tidak akan hilang pekerjaan. Cuma masaalah mungkin timbul bagi pekerja McD yang terkesan dengan maklumat hubungan di antara McD dan Israel (McD tidak pernah menafikan hubungan ini meskipun kemnpen seruan boikot ini dilancarkan dari UK - diterajui oleh Inminds, UK). Mereka mungkin akan berhadapan dengan rasa bersalah - rasa bersalah ini didorong oleh iman atau rasa kemanusiaan. Ini soal hati, dan jika seseorang itu melakukan sesuatu yang berlawanan dengan 'conscience' (rasa hatinya) maka dia akan mengalami konflik jiwa - rasa serba salah. Untuk golongan pekerja McD dalam kategori ini jangan bimbang ada jalan keluar.

1. Dr Yusuf Qardhawi, ulama tersohor dan paling prihatin dalam isu palestin memberi panduan umum.
- Jangan berhenti kerana seseorang itu akan kehilangan punca pendapatan, apatah lagi jika dia ada tanggungan. Jika dia berhenti dalam keadaan tidak ada mata pencarian yang lain - dia telah melakukan kezaliman ke atas dirinya dan keluarganya. Fitnah berhenti bekerja di McD lebih besar kerana kehilangan mata pencarian.
- bagaimana utk mengelakkan ini? ikhtiarlah untuk mencari kerja lain yang menawarkan gaji yang setimpal atau lebih baik. Hanya setelah memperoleh peluang kerja dengan tawaran gaji yang serupa atau lebih baik barulah berhenti bekerja di McD.

- Bagaimanakah jika tidak dapat juga pekerjaan lain. Jawapannya teruskanlah bekerja di McD. Tetapi Allah itukan maha pemberi rezeki ar-Razzaq. Memohonlah kepada Allah Rabbul Jalil, DIA tahu isi hati kita dan DIA akan memberi jalan keluar kepada hamba-hambaNYA yang bertakwa dengan punca-punca rezeki yang tidakj disangka-sangka oleh hambaNYA (Bukankah kita yakin dengan 'ayat Seribu Dinar tu? Janganlah dijadikan hiasan sahaja tetapi tidak ada kesungguhan untuk menghayatinya).
Ramai juga yang bertanya untuk membela pekerja McD (yg jumlahnya 10,000 orang menurut satu sumber). Pekerja McD tidak perlu pembelaan sebenarnya - rezxeki mereka terjamin dengan jalan-jalan keluar yang digariskan di atas.

Lebih baiklah mereka mengenangkan nasib 1.7 penduduk Gaza, 3.5 juta penduduk Palestin di tebing Barat, 500,000 rakyat Palestin yang terkepung di Baitul Maqdis dan 5 juta rakyat Palestin di khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan lain-lain tempat.

Di sini kita meriusaukan shabat-sahabat kita yang kehilangan mata pencarian di bumi bertuah Malaysia ini? Bagaimana dengan saudara-saudara kita di sana yang mungkin kehilangan nyawa, ibu-bapa dan anak-anak akibat dibunuh tanpa peri kemanusiaan. Dan jika dibiarkan hidup dinafikan pula hak yang paling asasi, makanan, minuman, ubat-ubatan, bahan api dan rumah untuk berteduh.
Semuga kita tidak berbalah lagi dalam isu ini. Kami mendoakan semua pekerja McD agar tenang dengan pilihan-pilihan yang ada. Ingatlah Allah tidak akan menganiaya anda disebabkan oleh kedudukan anda, Allah akan bantu anda jika anda bantu agama Allah.

"Tolonglah agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu di bumi"

*Semoga kita semua istiqomah menjalankan usaha boikot dan teruskan semangat kita asalkan dikukuhkan dengan kefahaman yang jelas dari masa ke semasa. Penulisan ini mungkin penuh dengan kelemahan. Tegurlah jika ada bahagian yang saya terlepas pandang.

Friday 16 November 2012

Comel Versi Maksiat VS Comel Versi Islamik



Comel Versi Maksiat VS Comel Versi Islamik

Hari ini saya ada melihat suatu status dari rakan Facebook, Nurul Hazirah Khairi yang menyentuh mengenai pengertian kecomelan. Statusnya menarik perhatian saya untuk menulis serba sedikit mengenai kecomelan. Ini antara statusnya :

Orang perempuan terutamanya bujang.. selalu menghadapi masalah yang diri sendiri tak sedar..Apa dia yer? Masalah ini timbul apabila berhadapan dengan perkara-perkara comel seperti (bayi, kucing, lagi apa? Fikir sendiri la yer) yang menyebabkan perempuan yang dikenali dengan sifat tegas, serius terutama apabila berhadapan dengan lelaki berubah (tanpa sedar)menjadi "comel" yg bleh mengugat iman seorang lelaki. Jadi, kena kawal ya...

            Disebabkan puas juga saya mencari maksud kecomelan melalui enjin carian Google, namun masih belum jumpa pengertian comel yang saya rasakan bersifat autentik (dipercayai). Lantas, membawa diri saya untuk mencari maksud comel di dalam Kamus Dewan, Edisi Ketiga keluaran Dewan Pustaka dan Bahasa. Kamus tersebut mendefinasikan maksud comel seperti berikut :

1.     cantik dan menarik (bukan kanak-kanak).
2.     cantik dan menarik serta kecil orangnya (bukan gadisnya dan wanita), kecil molek.
3.     kecil dan cantik (bukan benda, binatang) kecil dan cantik.

Kecomelan Yang Membawa Maksiat

Adegan 1        
"Eh, comelnya gambar awak ni," komen si lelaki.
            "Makaseh...huk2," jawab si perempuan.

Adegan 2
"Comel betul awak ni ya. Tak sangka saya," komen si lelaki.
            "Ish! Mana adalah. Memandai jer. Huhuhu," balas si perempuan.

            Jika kita sedar, kita sebenarnya membahasakan sesuatu yang cantik dan menarik perhatian itu dengan perkataan 'comel' sekadar hendak menyedapkan hati kita. Strategi syaitan mahu menyedapkan hati tatkala anggota melakukan maksiat. Jelas, perkataan comel itu tidak menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Islam seperti gambar-gambar yang menaikkan nafsu, tak tutup aurat dan sewaktu dengannya.

Kecomelan Di Sisi Islam

Mudah sahaja kecomelan di sisi Islam iaitu kecomelan yang tidak membawa ke arah kemaksiatan dan zina hati. Jadi jangan pening kepala selepas ini dan berlaku jujurlah pada diri sendiri apabila ingin menggunakan perkataan comel. Sebagai contoh :


"Eh..comelnya kucing ni. Hebatnya makhluk Allah SWT."



"Comelnya orang bertaubat. So sweet ...kembali kepada Ilahi."

*"Kenapa tulis bab comel jer yang nampaknya tak berapa penting ni?" detik hati sendirian. Tapi tidak berapa lama kemudian hati yang updated menjawab, "Engkau teruskan menulis bab ini. Semoga dengan usaha yang kecil ini dapat mengurangkan elemen yang menyumbang kepada maksiat di dalam umat Islam dan membantu kemenangan perjuangan umat Islam di Palestin."

Thursday 15 November 2012

Palestin Itu Muhasabah Buat Umat Islam


Palestin Itu Muhasabah Buat Umat Islam


Asy-Syahid Ahmad Al-Ja'bary, Ketua Umum Bridged Izzudin Al-Qassam

Asy-Syahid Ahmad Al-Ja'bary, Ketua Umum Bridged Izzudin Al-Qassam telah syahid dalam serangan udara yang menggunakan peluru berpandu oleh pesawat pejuang rejim Zionis Israel pada tanggal 14 November 2012, Rabu di Gaza, Palestin. Berita ini saya dapat tahu dengan begitu pantas melalui laman sosial Facebook apabila ada beberapa orang rakan share sehingga terpapar pada wall.

            Lalu, respon yang diberikan oleh masyarakat Facebook wujud dalam beraneka ragam. Antara seperti :

1.     Share dengan sebanyak mungkin gambar-gambar yang berkaitan dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada penduduk Palestin.

2.     Ada juga yang menukarkan gambar profil mereka dengan gambar Care for Gaza, For Gaza dan sebagainya. Ini untuk menunjukkan solidariti pengguna Facebook terhadap apa yang berlaku dengan penduduk Palestin.

3.     Ada juga yang sumpah seranah dengan kekejaman rejim Zionis yang sepertinya tidak putus-putus melakukan kezaliman yang terhadap penduduk Palestin.

4.     Status-status yang menzahirkan perasaan sedih dan kecewa di dalam diri mereka mula memenuhi wall Facebook.

            Itulah antara respon yang boleh saya lihat dalam waktu yang terdekat. Masing-masing menunjukkan keprihatinan mereka dengan cara yang tersendiri. Itu adalah cara yang biasa saya lihat sewaktu berlakunya kezaliman di Rohingya, Syria, Afganistan dan Palestin.

            Semua ini akan menimbulkan kesedihan, kekecewaan, kekesalan dan pelbagai lagi perasaan yang kurang senang bergelumang di dalam diri kita. Namun begitu, persoalannya sekarang, kepada siapa harus kita kembali selepas semua perkara ini terjadi? Sudah tentu ramai yang menjawab kita akan kembali kepada Allah SWT. Tidak dinafikan, inilah jawapan yang paling tepat! Padat! Ampuh!

            Akan tetapi, apakah kita mahu kembali kepada Allah SWT dengan album Facebook kita masih lagi dipenuhi dengan gambar-gambar kita yang membalut aurat, beraksi panas di depan lensa kamera dan link-link hiburan yang sudah sampai tahap melampau? Ini harus direnungkan sedalam-dalamnya untuk kembali kepada Allah SWT selepas kita pasrah dengan keadaan yang menimpa saudara Islam kita di Palestin.

            Ini yang mesti dibersihkan terlebih dahulu dari laman Facebook milik kita jika benar-benar memohon pertolongan daripada Allah SWT. Ini bukan sindiran atau kritikan, tetapi sekadar muhasabah di saat kita membuak-buak semangat bercakap isu Palestin. Kita mampu mengubahnya. Mulakan dengan klik tetikus untuk membuang bahan-bahan yang berunsur maksiat dari laman Facebook kita.



Elok kiranya kita merenung kembali surat Saidina Umar kepada Saad bin Abi Waqqas :

Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-sama mu (tentera Islam) supaya menjauhkan diri daripada maksiat. Kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi orang Islam pada kekuatannya.

Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka, jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak mereka.

Ingat Mati, Panjang Akal


 Ingat Mati, Panjang Akal

"Apa persiapan yang kita lakukan sekarang kalau esok ataupun sekejap lagi kita meninggalkan dunia," ucap Hakim pada suatu pagi sewaktu duduk di tangga masjid seusai mengerjakan solat subuh berjemaah.

            "Kenapa tiba-tiba sahaja engkau bercakap tentang mati? Engkau okey ke?" soal Haikal dengan nada penuh terkejut dengan apa yang diucapkan Hakim.

            "Bukan apa, Haikal. Apabila aku mengingati mati sejak kebelakangan ini, ia membuatkan aku berfikir banyak perkara yang aku lakukan dalam kehidupan yang lepas," balas Hakim dengan penuh kesedaran.

            "Engkau ini membuatkan aku takut sahaja. Tiba-tiba bercakap pasal mati," ucap Haikal.

            "Kenapa pula hendak ditakutkan mati sedangkan ianya suatu yang pasti," balas Hakim.

            "Yelah. Semua yang hidup pasti akan mati. Tapi cukuplah kita teruskan hidup sahaja. Tak perlulah nak fikir sampai macam tu sekali Hakim. Ajal maut di tangan Allah. Kita hambaNya mampu mempersiapkan amal ibdah untuk menghadapi kematian sahaja," ujar Haikal.

            "Aku bukannya nak menakutkan engkau Haikal. Mengingati mati itu bukan sekadar menimbulkan ketakutan sahaja tetapi untuk cas kembali iman di hati. Kalau kita sering mengingati mati, ia akan menghidupkan hati kita melakukan amal ibadah. Kalau kita hanya melakukan amal ibadah tanpa mengingati mati, nanti kita akan mengerjakan ibadah dengan hati yang lalai. Ibadah jadi hambar," balas Hakim.


Ingat Mati, Menghidupkan Hati
            Haikal merenung Hakim sambil berusaha membaca apa yang sedang difikirkan oleh sahabatnya itu.

            "Hidup sekadar menghela nafas itu sama sahaja seperti binatang. Meneruskan kehidupan dengan sekadar makan minum, pergi kuliah balik kuliah, mandi, tidur tapi hati mati. Itu suatu kematian sebelum ajal datang menjemput. Kalau kita terus macam itu, kita tidak mampu memanfaatkan sepenuhnya masa yang masih dalam sebelum ajal datang menjemput kita," tambah Hakim lagi dengan nada yang serius.

            "Mungkin betul juga cakap engkau itu Hakim. Apabila engkau bercakap macam itu, banyak perkara yang aku mula sedar. Macam aku solat sebentar tadi, terasa seperti bersenam di awal pagi sahaja. Anggota badan aku sahaja bergerak, namun hati aku tidak menuruti gerakan anggota badan. Solat yang dikerjakan hidup pada zahirnya tapi mati di dalam hati. Kurang penghayatan aku dalam solat," balas Haikal yang mula memahami maksud Hakim.

            "Benar bukan? Hati kita selama ini sering sahaja lalai dalam mengerjakan amal ibadah. Seperti rutin harian sahaja solat yang dikerjakan. Bukannya suatu ibadah yang sepatutnya memperharui setiap fasa kehidupan seharian," sokong Hakim dengan apa yang diucapkan Haikal.

            "Jadi matinya kita sebagai persoalan yang besar untuk difikirkan. Cukup usaha kita sekarang dalam memenuhi kriteria seorang Muslim. Asalkan kita mati dalam usaha menjadi seorang Muslim yang sejati. Allah sendiri pesan di dalam al-Quran kepada para hambaNya, jangan mati selagi bukan Muslim," balas Haikal lagi.

Luas Pemikiran
"Mengingati mati pun akan menjadikan kita pelajar yang cemerlang," ucap Hakim untuk mengubah konteks perbualan mereka mengenai kematian bagi melebarkan

            "Macam mana pula boleh jadi cemerlang?" soal Haikal.

            "Engkau pernah dengar apa yang Steve Job cakap apa tentang kematian sebelum dia meninggal dunia?" soal Hakim.

            "Tak pernah. Apa yang Steve Job cakap?" soal Haikal dengan penuh teruja.

            "Dia berkata alat yang penting yang dijumpainya untuk melakukan keputusan besar dalam hidup adalah dengan mengingati mati," jawab Hakim yang mengingati kata-kata yang terkenal dari Steve Job sebelum kematiannya.

"Mengingat-ingat bahwa aku akan mati adalah alat yang paling penting yang pernah aku jumpai untuk membantuku membuat keputusan besar dalam hidup."


Steve Jobs, 2005

            "Wah, hebatnya Steve Job," balas Haikal dengan penuh kagum.

            "Tapi Rasulullah SAW sudah pesan kepada umatnya terlebih dahulu. Baginda bersabda bahawa orang cerdik itu adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan paling bagus persiapan dalam kehidupan untuk menghadapi kematian," pintas Hakim dengan penuh bersemangat memetik suatu hadis dari Rasulullah SAW.

            Orang yang beriman dengan Islam itu merupakan orang yang luas fikirannya. Ini kerana dalam salah satu rukun iman, kita diwajibkan untuk beriman dengan hari akhirat. Keimanan kita terhadap hari akhirat itu yang menjadikan pemikiran kita semakin bertambah luas berbanding orang yang tidak beriman dengan hari akhirat. Lalu, setiap pekerjaan yang bermula dengan proses berfikir yang menerpa jauh dari apa yang dilihat. Ini menjadikan kita sentiasa teliti dalam melakukan sesuatu perkara.

Ibnu Umar berkata:

            “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

            “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,”
(Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

            "Jom Haikal kita pulang ke bilik. Mentari sudah menyinar," ajak Hakim menamatkan perbualan mereka pada pagi itu.

            "Bersemangat rasanya nak mulakan hidup pada hari ini," balas Haikal sambil bingkas bangun dari tempat duduknya.

            "Alhamdulillah," balas Hakim sambil mengikuti Haikal menuruni tangga dan berjalan pulang ke bilik.