Monday 3 December 2012

Mengawal Daya Fokus


Mengawal Daya Fokus


Belajarlah untuk menjadi seorang yang mempunyai daya fokus yang baik terhadap pekerjaan yang hendak dilakukan. Daya fokus yang baik akan melahirkan daya hasil yang baik. Komitmen yang pelbagai datang tidak mengenal masa. Maka disaat ini kemampuan diri untuk menguruskan daya fokus akan teruji. Inilah ujian yang sering melanda diriku. Menguruskan daya fokus untuk kekal istiqomah dalam sesuatu pekerjaan menjadi begitu sukar dek kerana lintasan-lintasan komitmen yang pelbagai. Sekejap rasa hendak menulis tajuk seni, sekejap hendak menulis tajuk politik. Berserabut jadinya pekerjaan yang hendak disiapkan. Akhirnya, bertimbun-timbunlah penulisan yang hanya disiapkan sekerat jalan.

            Kadang-kadang apabila bermuhasabah pada diri ini sedalam mungkin. Di mana kurangnya lagi usahaku untuk meningkatkan daya fokus dalam sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan terutamanya dalam bidang penulisan yang dipupuk sekarang. Buat seketika setelah lama merenung ke dalam diri, salah satu faktor yang mempengaruhi daya fokus adalah ketidakstabilan emosi dalam diri. Ya! Bila dilihat kembali sebelum ini, aku sering menulis mengikut keadaan emosi. Idea-idea keluar selama mana mood aku berada di dalam tajuk yang hendak dihuraikan. Benarlah juga dari suatu faktor yang menyokong kawalan emosi iaitu ketenangan hati apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

            Mungkin ini salah satu faktor kejayaan ilmuwan Islam terdahulu adalah ketenangan hati. Mereka memperoleh ketenangan hati yang berpanjangan dalam hidup mereka kerana hubungan kerohanian mereka dengan Allah SWT begitu kuat sekali. Lantas, dengan hati yang tenang itu mereka dapat memfokuskan sebaik mungkin kepada kajian-kajian mereka dan mengarang ratusan buah kitab dalam pelbagai bidang keilmuan.

Solat dan Ketenangan Diri
Diri menjadi tidak tenang apabila pelbagai perkara datang menghinggap di dalam fikiran dalam satu-satu masa. Tangan hanya ada dua sahaja. Aku bukannya sotong kurita yang mempunyai banyak tangan untuk melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu-satu masa. Sungguh! Ketenangan diri sahaja yang dapat mengawal keadaan emosi daripada gelojoh menerpa sesuatu pekerjaan yang hendak disiapkan.

            Namun, apabila suatu ketika aku cuba untuk menjaga solat fadhu dan solat sunat buat 10 hari, ketenangan di dalam diri sedikit banyak meningkat lebih sedikit daripada sebelumnya. Pada saat itu barulah aku dapat menulis dengan begitu tenang sekali dan idea mencurah-curah keluar bagaikan mata air yang baru sahaja digali.

Ketenangan Diri dan Kualiti Masa
Ini membuatkan aku teringat beberapa orang rakanku dari Maktab Mahmud. Mereka tidaklah menghabiskan sepanjang waktu untuk menghadap buku sahaja. Tetapi apabila, mereka sudah menatap buku pelajaran maka banyak pula permasalahan yang dapat mereka selesainya. Seterusnya, ini menyedarkan aku akan perbezaan kualiti masa dan kuantiti masa.

            Dalam banyak waktu, mereka begitu menjaga amal ibadah dan amalan membaca al-Quran. Di suatu yang pula, waktu belajar mereka hanyalah beberapa ketika sahaja. Mungkin ketenangan yang mereka dapat melalui amalan sedemikian telah menghadirkan ketenangan di dalam diri mereka sehingga dapat meningkat daya fokus mereka sewaktu mengulangkaji pelajaran.

            Kualiti masa hanya dapat diraih dalam 24 jam apabila hati seseorang itu menjadi tenang. Maka, di saat itu dia dapat memfokuskan dengan sebaik mungkin terhadap satu-satu pekerjaan yang hendak disiapkan.

Formula Ketenangan Diri

Istiqomah dalam beramal ibadah > Raih ketenangan hati > Daya fokus meningkat

Mungkin ini formula yang dapat disimpul dalam masa terdekat agar dapat diamalkan dalam kehidupanku. Semoga Allah SWT memberikanku kekuatan untuk istiqomah dalam beramal ibadah. Ingat! Ketenangan itu hanya imbuhan di dunia sahaja. Apa yang paling penting adalah kebersamaan kita dengan Allah SWT dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

6 comments:

  1. boleh contohi as syahid syed qutb yg mampu fokus, bersandar dengan ketenangan hati dan pandangan illahi sehingga menghasilkan kitab, walaupun di balik geriji besi.

    ReplyDelete
  2. Allah SWT itu sebaik-baik tempat bergantung yang memberi ketenangan hati...tq ingatkan pasal as-syahid sayyid qutb.

    ReplyDelete
  3. btul2..solat itu sumberketenangan dan juga kekuatan rohaniah :)

    ReplyDelete
  4. kata orang,kalau kita disiplin dalam melaksanakan solat isyaAllah urusan yang lain-lain juga menjadi mudah...Allahuakbar !besarnya pengaruh solat dalam kehidupan kita seharian :)

    ReplyDelete
  5. :D

    syukran... somehow it answers my questions...

    ReplyDelete