Friday 28 December 2012

Bertuhankanlah Allah SWT Tatkala Melaksanakan Hudud


Bertuhankanlah Allah SWT Tatkala Melaksanakan Hudud



                "Arghhh, politik semata-mata. Sembang jer pasal hudud lepas tu diam membisu," ujar Izzat dengan mencebik bibirnya. Ditolaknya ke tepi meja suratkhabar yang memaparkan berita mengenai isu hudud yang sedang panas sekarang dek kerana Karpal Singh mempersoalkan hukum hudud dalam agama Islam.

                "Isu hudud ini bukannya isu semasa tetapi ianya isu sepanjang masa," balasku ringkas ketika itu.

                "Sepanjang masa apanya. Bila ahli politik buka mulut barulah orang nak ambil kisah pasal hudud. Isu hudud panas bila ahli politik panas berdebat jer. Buang masa sahaja layan isu ni," balas Izzat dengan dahi berkerut seribu. Sudah bosan agaknya.

                "Isu hudud ini adalah isu sepanjang masa untuk diperjuangkan oleh umat Islam. Selagi mana kita mengucap dua kalimah syahadah setiap kali menunaikan solat fardhu. Selagi mana kita mengakui Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, maka adalah wajib bagi diri kita untuk memperjuangkan hukum Allah agar tertegak dalam kehidupan masyarakat," terangku sebagai mukadimah bagi melanjutkan perbincangan.

                "Apa yang kita boleh buat? Kita bukannya ahli politik yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan hudud dalam masyarakat," balas Izzat secara spontan.

                "Apabila menyebut perjuangan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan ia tidak semestinya membabitkan para ahli politik sahaja. Kita sebagai pemuda khususnya mempunyai peranan besar dalam menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini.

                "Maksud engkau kita kena sertai parti politik lah. Lepas tu jadi ahli parlimen dan tuntut untuk melaksanakan hudud dalam masyakat? Macam tu maksus kau?" celah Izzat secara tiba-tiba.

                "Seandainya hudud diwartakan sebagai undang-undang negara Malaysia itu belum tentu lagi menjamin akan tertegaknya hukum Allah di negara Malaysia ini," balasku secara ringkas.

                "Kenapa pula? Kalau sudah diwartakan hudud sebagai undang-undang Malaysia sudah tentu ianya akan dilaksanakan. Secara tidak langsung, hukum Allah akan tertegak di negara Malaysia. Cuba engkau terangkan sampai habis," ujar Izzat dengan wajah yang penuh tanda tanya.

                "Hudud itu sistem perundangan daripada Allah SWT. Ianya merupakan sistem perundangan yang tidak boleh sama sekali dipersoalkan keberkesanannya dalam membendung jenayah. Ianya sangat sempurna kerana undang-undang ini dianugerahkan oleh Tuhan yang Maha Sempurna. Sekiranya ada orang Islam yang mempersoalkan undang-undang Allah SWT maka jelasnya mereka telah terkeluar dari akidah Islamiyyah. Akidah mereka akan rosak," tegasku untuk menjelaskan lagi asas perbincangan.

                "Tetapi...ada tetapinya. Banyak persoalan akan timbul di peringkat pelaksanaannya. Sebab itu kita perlu jelas dengan sebaik mungkin sama ada seseorang itu mempersoalkan hukum hudud atau mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud. Itu merupakan dua perkara yang jelas berbeza. Sebab itulah isu hudud ini perlu diteliti dengan sebaik mungkin. Supaya kita kita tidak terkeliru diantara golongan yang mempersoalkan hukum hudud dan golongan yang mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud. Golongan yang mempersoalkan hukum hudud sudah semestinya jelas terkeluar dari akidah Islamiyyah yang mana menyakini kesyumulan dan kesempurnaan undang-undang dari Allah SWT. Manakala, golongan yang mempersoalkan proses pelaksanaan hukum hudud ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang meneliti proses pelaksanaan hukum hudud supaya tidak menimbulkan fitnah dan memburukkan imej Islam. Golongan ini perlu dikenalpasti terlebih dahulu supaya kita tidak tersilap dalam bertindak," tambahku lagi.

                "Engkau boleh faham lagi ke apa yang aku cuba terangkan?" soalku sementara mengambil nafas. Tak nak pula nanti aku hanya syok sendiri sahaja.

                "Okey. Teruskan. Aku boleh lagi faham setakat ni," balas Izzat dengan raut wajah yang memberikan perhatian yang penuh.

                "Jika golongan kedua yang terdiri daripada pihak kerajaan ini mempersoalkan kewajaran untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia dek kerana masyarakat majmuk, maka kenapa pihak media perdana tidak berusaha untuk menerangkan kepada masyarakat yang majmuk ini akan manfaat di sebalik pelaksanaan hukum hudud? Kenapa hampir 20 tahun sejak Parti PAS menyuarakan pelaksanaan hukum hudud hanya alasan sama saja yang didendangkan? Itu di peringkat kerajaan," jelasku dengan membahagi peringkat masyarakat yang berada dalam golongan kedua ini.

                "Di peringkat masyarakat pula, ada yang mempersoalkan keadilan dalam proses pelaksanaan hudud kerana pemerintah yang ada sekarang bukannya bersikap adil dalam pemerintahan. Inikan pula dalam proses pelaksanaan hudud. Sudah tentu proses pelaksaannya tidak adil. Si lemah mencuri ditangkap, si bangsawan mencuri dibiarkan terlepas," tambahku lagi.

                "Ini disokong dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]

Apa yang akan tertonjol dari pelaksanaan hukuman hudud tatkala pemerintah bertuhankan nafsu? Sudah tentunya keadilan tidak akan tertonjol sama sekali, malah teruk daripada itu hudud ini akan dilihat sebagai suatu undang-undang yang penuh kezaliman. Orang bukan Islam akan memusuhi Islam, malah lebih teruk daripada itu ramai orang Islam akan keluar daripada Islam dek kerana sudah tergambar suatu kezaliman yang menyeksakan dalam kehidupan mereka." ujar beberapa orang ahli akademik dalam penulisan mereka.

                "Tetapi adakah masyarakat yang mempersoal ini berusaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang adil? Terdidik dengan akhlak yang baik lagi amanah," ujarku dengan nada menduga.

                "Okey. Okey. Itu aku nampaklah tapi dimana pula peranan kita sebagai pemuda sepertimana engkau cakap tadi?" soal Izzat.
                "Peranan kita sekarang adalah untuk membaiki akhlak diri kita dengan sebaik mungkin dan mendalami ilmu agama dengan penuh kemas. Kemudian, carilah calon isteri yang secocok dengan agama dan bukan dengan diri kita semata-mata supaya kelak akan terdiri sebuah rumah tangga yang melahirkan anak-anak yang mempunyai akidah Islamiyyah yang kukuh dan bukannya bertuhankan nafsu. Jika mereka menjadi pemimpin, maka mereka menjadi pemimpin yang adil,"

                "Belum tentu lagi anak-anak tu mampu bersikap adil,"

                "Betul tuh. Tapi sifat manusia sebagai hamba hanya mampu berusaha. Sekarang kita sudah jelas jalan yang perlu dilalui untuk menegakkan hukum Allah di tanahair tercinta ini. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan untuk menjawab di hadapan Allah SWT kelak kerana kita telah berusaha," balasku sebagai kesimpulan untuk perbincangan di kedai makan ketika itu.

                "Bagus Aiman.Macam nilah baru dikatakan pemuda harapan," ujar Pak Leman sambil menepuk bahuku. Rupa-rupanya Pak Leman sejak tadi mengikuti perbincanganku dengan Izzat dari belakang.

                Aku hanya mampu tersenyum dengan Izzat melihat respon Pak Leman itu. 

P/S :  Penulisan bukannya hendak mempersoalkan hukum hudud tetapi ingin membaiki sudut pandang di peringkat masyarakat hinggalah ke peringkat kerajaan terhadap isu hudud yang sedang panas disiarkan sekarang dalam media perdana sama ada television dan surat khabar. Penulis mengharapkan penulisan ini dapat menjadi suatu muhasabah buat para pembaca yang beragama Islam sama ada di peringkat rakyat ataupun kerajaan.

Penulisan ini dibuat sewaktu isu hudud sedang panas tetapi di'post' sebagai note sewaktu isu ini menjadi sejuk.

No comments:

Post a Comment