Wednesday 31 October 2012

Sikap Adil Dalam Meluruskan Pemikiran Songsang


Sikap Adil Dalam Meluruskan Pemikiran Songsang

Apabila mengetahui isu Irsyad Manji yang dikatakan sebagai seorang pendokong liberal,  dan LGBT serta merupakan seorang lesbian. Maka aku cuba mendalami serba sedikit mengenainya dengan melihat laman sesawang peribadinya dan beberapa laman yang lain yang mana menjelaskan maksud kedatangannya ke negara Malaysia. Setelah melihat beberapa sumber, jelas bahawa Irsyad Manji ke Malaysia untuk mengulas bukunya yang bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta.

            Melihat keadaan sekarang yang mana orang ramai terus-menerus menghalang Irsyad Manji datang untuk mengulas bukunya di University Monash, seolah-olah apabila Irsyad Manji bersuara maka akan berubahlah fikiran setiap orang yang mendengarnya untuk menyokong LGBT. Jangan sesekali bertindak sehingga menampakkan seolah-olah Islam itu lemah untuk menghadapi dakyah LGBT.

            Perlulah kita sedari supaya agar jangan hanya tahu berhadapan dengan golongan ini melalui sentimen tetapi berhadapanlah dengan Islam yang mempunyai ajaran yang jelas memisahkan haq dan batil. Tetapi apa-apa pun kalau hendak hantar berhujah, biarlah seseorang Muslim yang benar-benar memahami Islam seperti ulama-ulama atau mufti-mufti yang ada.

            Apabila melihat kembali penulisan Irsyan Manji di lawan sesawangnya https://www.irshadmanji.com/malay-edition/89 yang mana ada menyebut imej Islam sewaktu zaman kecilnya jelas menunjukkan pada waktu kecilnya sudah terpahat gambaran Islam yang tidak betul. Berikut merupakan sebahagian daripada penulisannya dalam buku Allah, Kebebasan dan Cinta yang menyebut, 

"Pada amnya, kaum Muslim di Afrika Timur melayan kaum kulit hitam seperti hamba abdi. Aku masih ingat ketika ayah memukul Tomasi, pembantu rumah kami, dengan begitu kuat sehingga lebam-lebam pukulannya kelihatan pada tangan dan kakinya yang hitam legam. Walaupun aku, dua adik-beradik perempuan aku, dan ibu menyayangi Tomasi, kamu juga akan dipukul sekiranya ayah mendapati kami merawat luka-luka dan kecederaannya. Aku tahu bahawa perkara ini tidak terhad kepada keluarga kami, dan ianya berleluasa di kalangan keluarga-keluarga Muslim lain, dan amalan perhambaan ini berterusan setelah keluarga kami meninggalkan Uganda. Itulah sebabnya, semasa remaja, aku pernah menolak peluang untuk melawat saudara-mara di Afrika Timur. "Kalau aku pergi dengan ibu," kata aku memberi amaran, "Ibu tahu benar bahawa aku akan menyoal kenapa para ibu dan bapa saudara kita yang gemuk-gedempol memperhambakan pembantu-pembantu rumah mereka." Sedangkan ibu pula hanya berhasrat mengucapkan salam perpisahan kepada saudara-mara yang semakin lanjut usia, dan sama sekali tidak berminat dalam kempen hak asasi manusia aku semasa melakukan lawatan ini.Untuk mengelak daripada mengaibkan dan memalukan ibu, aku duduk di rumah sahaja."

            Oleh sebab itu, penulisan ini cuba untuk membawa para pembaca melakukan anjakan paradigma bagi berhadapan dengan golongan LGBT yang semakin hari semakin bertambah dek kerana sikap orang Islam sendiri yang tidak mendepani isu ini secara berhikmah bagi menerangkan Islam yang serba indah dan mengagumkan jika dapat difahami dengan baik.

            Ada orang berkata kalau Irsyad Manji datang mengulas bukunya yang sudah diterjemah ke Bahasa Melayu akan menyebabkan orang yang masih lemah tentang Islam akan terpengaruh. Nah! Maka itu penunjuk bahawa dakwah Islam tidak sepantas dakyah LGBT. Seperkara lagi, dalam internet sudah bercambah penulisan Irsyad Manji dan seangkatan dengannya. Mahu tak mahu hadapilah dengan hujah untuk menerangkan Islam yang penuh keindahan. Jangan sesekali terus terperangkap dengan persepsi negatif yang membantutkan usaha untuk menerangkan Islam yang syumul.

            Sama-samalah kita mengorak langkah yang lebih proaktif untuk menyebarkan nur Islam kepada seluruh umat manusia.


Bagaimana boleh terbentuk golongan seperti Irsyad Manji?

Jika ditelusuri kembali penjalanan hidup Irsyad Manji, dia hidup dalam suasana di mana umat Islam ketika itu menunjukkan akhlak yang buruk sehingga memberikan gambaran yang negatif dalam minda Irsyad Manji. Apabila dia sudah meningkat dewasa, dia memperjuangkan golongan-golongan yang dilihat tertindas dek kerana akhlak buruk orang Islam itu sendiri dengan melakukan beberapa gerakan yang terancang. Salah usahanya adalah dengan menghasilkan beberapa buah buku seperti Allah, Liberty and Love dan The Trouble With Islam Today. Secara tidak langsung, usahanya ini telah berjaya menarik sokongan orang ramai untuk turut serta dalam perjuangannya.

            Mereka ini juga boleh dilihat sebagai suatu golongan yang sudah berputus asa dengan kemampuan Islam bagi menjaga maqasid syariah di dalam masyarakat sehingga menubuhkan suatu jalan perjuangan yang lain bagi menjaga maqasid syariah. Tetapi sayangnya jalan perjuangan mereka itu yang memperjuangkan liberalisme dan LGBT tidak mampu untuk menjaga maqasid syariah yang mereka perlukan untuk mencapai suatu kehidupan yang sejahtera.

            Maka dengan itu, sebagai umat Islam kita harus membina suatu imej Islam yang lebih berkeyakinan untuk menjaga maqasid syariah itu dengan mengamalkan Islam secara keseluruhan. Pada masa yang sama juga, kita harus memberikan kefahaman kepada mereka dengan mekanisme yang lebih berhikmah untuk memberikan impak yang lebih positif dan produktif bagi membolehkan golongan LGBT ini kembali kepada ajaran Islam yang menyelematkan kehidupan.


Mekanisme Yang Berhikmah

            Mungkin kata-kata Saidina Ali r.a. ini dapat kita renungi semula untuk memahami realiti yang sedang rancang berlangsung pada waktu sekarang terutamanya di alam maya. Berikut adalah kata-kata Saidina Ali r.a. yang berbunyi :

"Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun."

            Dalam keadaan sekarang, Irsyad Manji memperjuangkan kebatilan dengan cara yang penuh tersusun. Tersusun dengan mekanisme yang digunakannya iaitu perbincangan dan hujah bagi menerangkan perjuangan kebatilannya itu. Manakala, di pihak Islam pula yang mewakili perjuangan kebenaran terus-menerus berhadapan dengan Irsyad Manji dengan mekanisme yang tidak tersusun iaitu dengan cercaan dan melabelkan pelbagai label yang negatif. Belum lagi kelihatan di pihak perjuang kebenaran ini menyambut perjuangan kebatilan itu dengan suatu mekanisme yang jelas berkesan iaitu hujah. Jadi, apa yang cuba dipersoalkan bukanlah benar atau salah tetapi mekanisme yang digunakan itu adakah tersusun ataupun tidak tersusun.

            Oleh sebab itu, masyarakat Islam di Malaysia harus menyambut kedatangan Irsyad Manji ke Malaysia dengan penuh berhikmah dan menyantuni dengan berhujah. Ini penting bagi memberikan suatu imej Islam itu suatu agama yang kukuh struktur kebenaran dan mampu mendepani mana-mana kepincangan pemikiran dan sebarang dakyah songsang. Namun malangnya, duta yang mewakili agama Islam iaitu umat Islam itu sendiri telah jauh tersasar dari saranan Islam itu sendiri untuk berhadapan dengan kebatilan melalui saluran yang penuh berhikmah.

            Jika dikaji semula rentetan isu kedatangan Irsyad Manji ini, terdapat banyak ruang untuk diajak berdebat bagi menyatakan hujah kebenaran Islam. Seperkara lagi, kedatangannya ke Monash University di Bandar Sunway adalah untuk mengulas bukunya yang sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu iaitu Allah, Liberty and Love. Ruang yang disediakan oleh pihak universiti itu begitu kodusif seandainya dapat diajak berdebat berkenaan matlamat perjuangan dan mekanisme yang diambil oleh Irsyad Manji itu. Lainlah kalau Irsyad Manji datang ke Malaysia untuk mengajurkan satu bengkel untuk merekrut orang ramai menjadi pejuang bagi matlamat perjuangannya itu. Itu sesuailah untuk mengundang kemarahan orang ramai.

            Jelas disini bahawa, umat Islam itu sendiri yang sering menutup ruang untuk memberikan kefahaman dan mendidik pemikiran golongan yang sudah tersisih tanpa kita sedari ini kepada kefahaman Islam yang sebenar. Islam sudah sediakan ruang untuk berhujah bagi menyatakan kebenaran Islam secara berhikmah tetapi ia seringkali tertutup dek kerana sentimen negatif yang terus dilontarkan kepada golongan ini.

            Mekanisme yang berhikmah bukan sahaja merujuk kepada golongan LGBT ini semata-mata tetapi manfaatnya juga akan kembali kepada masyarakat yang menuruti saranan Islam untuk berhujah menyatakan kebenaran Islam. Manfaat yang dimaksudkan adalah keyakinan masyarakat Islam dan bukan Islam akan turut sama yakin kepada kebenaran Islam yang tertonjol jika mekanisme berhikmah ini berjaya direalisasikan dalam berhadapan dengan golongan yang memperjuangkan LGBT. Satu analogi yang sesuai untuk memahami mekanisme ini adalah LGBT ini boleh diumpamakan sebagai suatu penyakit yang kritikal. Jika kita tidak berhujah dan mengkaji dengan baik maka kita tidak akan tahu apakah jenis-jenis simptom yang akan membawa seseorang itu kepada penyakit tersebut. Maka sebab itu, jika dapat mengetahui simptom-simptom yang tepat maka kita juga mampu untuk menghindari simptom-simptom tersebut serta mencegahnya dari menular menjadi penyakit yang kritikal.

Gaya Romantisme

Gaya penulisan yang berunsur romantisme. Sehingga penulis yang mendokong pemikiran tersebut berjaya menyemai sedikit demi sedikit unsur-unsur penceritaan yang membawa kewajaran kepada pemikiran tersebut.

            Jika seseorang yang mempunyai pegangan asas Islam yang kukuh, sudah tentu apabila mereka melihat penulisan Irsyad Manji itu sarat dengan salah fahamnya terhadap Islam. Namun, apa yang menariknya disini adalah Irsyad Manji itu mempamerkan salah fahamnya itu dalam gaya penulisan romantisme dengan menceritakan pengalamannya sewaktu kecil dan rentetan beberapa ketidakadilan Muslim dalam kehidupan masyarakat.

            Seandainya umat Islam khususnya di Malaysia tidak diperjelaskan dengan baik benih-benih pemikiran yang akan membuatkan pemikiran batil yang sarat dalam buku Irsyad Manji itu, maka itu lebih membahayakan pemikiran umat Islam. Pihak bertanggungjawab tidak tampil dengan suatu mekanisme yang lebih kukuh bagi menyediakan benteng terhadap masyarakat Islam bagi menghadapi serangan pemikiran seperti yang dibawa oleh Irsyad Manji ini.

Golongan Yang Melihat Islam Dari Muslim

Irsyad Manji terus yakin memperjuangkan pemikirannya dengan pelbagai mekanisme seperti dialog, penulisan buku dan forum. Namun, pihak Barat yang lebih memberi ruang perbincangan ilmiah kepada terus membuatkannya selesa dan terus yakin untuk membawa perjuangannya itu tanpa sebarang pertentangan.

            Sepatutnya pada zaman dimana sesuatu pemikiran itu boleh tersebar pantas melalui beberapa saluran terutamanya internet, maka ruang untuk menjelaskan salah faham yang dibawa oleh Irsyad Manji itu dapat dipecahkan sedikit demi sedikit. Maka dengan itu mudahlah masyarakat Islam di Malaysia khususnya dapat berhadapan dengan mana-mana serang pemikiran dari pelbagai sudut.

Serangan Fizikal Tidak Menguntungkan Islam

Apabila dilihat kembali dalam beberapa video ucapan Irsyad Manji di laman Youtube, beliau menggunakan serangan-serangan yang diberikan oleh Muslim sebagai modal untuk terus menghentam Islam.

            Menghalang fizikal Irsyad Manji itu daripada datang ke Malaysia tidak sama sekali dapat menyekat penyebaran pemikiran liberal dan LGBT. Tambahan pula, kedatangannya itu adalah diundang oleh penerbit kepada terjemahannya bukunya iaitu ZI Publication.

            Seandainya diharamkan sekalipun buku tersebut daripada memasuki pasaran, penulisan Irsyad Manji itu masih lagi dapat dibaca melalui laman sesawang peribadinya iaituhttps://www.irshadmanji.com/.

Sikap Muslim Dalam Ruang Kebebasan Bersuara di Malaysia

Masyarakat Muslim perlu berhadapan dengan penuh strategi dengan meraikan ruang kebebasan suara yang selalu dicanang oleh golongan ini dengan mengajak mereka untuk berdialog dan berdebat.

            Berdialog dan berdebat dengan sesuatu pemikiran yang sememangnya jelas dengan Islam bukanlah bererti kita menghalalkan perbuatan mereka itu. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan kebatilan perjuangan mereka itu dan menjelaskan salah faham yang wujud dalam pemikiran mereka terhadap agama Islam.

            Apabila kita melihat kebelakangan ini pendokong Islam Liberal dan LGBT seringkali mengambil kesempatan dengan beralasan atas ruang kebebasan bersuara maka kita sendiri harus mengambil inisiatif yang lain dengan memanfaatkan kembali ruang kebebasan yang sering dicanangkan oleh mereka itu untuk menjelaskan kekeliruan yang wujud bagi perjuangan mereka itu. Setakat ini apakah langkah yang sudah diambil di Malaysia bagi menjelaskan ajaran Islam yang disalah tafsir oleh mereka selain daripada usaha kita mempertikaikan ruang kebebasan bersuara yang dicanang mereka itu?

Pemikiran Irsyad Manji Terbentuk Dari Kekeliruan dan Keegoan

Jika sesiapa dapat mengikuti kembali perdebatan Irsyad Manji vs As'ad Abu Khalil dalam FOX NEWS di laman Youtube, jelas pada suatu pertentangan yang diberikan oleh As'ad Abu Khalil kepada Irsyad Manji telah membuatkan Irsyad Manji terus berdebat dalam lingkungan keegoaannya sendiri tanpa mampu melampirkan bukti-bukti kukuh yang mewajarkan pemikirannya itu.

            Seperkara lagi, Irsyad Manji selama ini hanya bermodalkan beberapa rentetan kes yang melibatkan kepincangan sikap Muslim terhadap aspek keadilan untuk mengeneralisasikan (pukul rata) kepada sebahagian besar ajaran Islam. Maka disini, jika disedari kembali bahawa disisi ajaran Islam yang sebenar itu sendiri sebenarnya masih terdapat banyak hujah yang kukuh untuk meruntuhkan kembali salah faham yang telah wujud dalam pemikiran Irsyad Manji.

            Lantaran itu, dengan berhadapan melalui mekanisme berhikmah seperti berdebat dan berdialog dengan para alim ulama kepada tontotan umum maka jelaslah dengan mudah akan tertonjol kepada orang ramai bahawa pemikiran yang didokong oleh Irsyad Manji ini hanyalah satu kekeliruan yang berpaksikan keegoan.

*Penulisan lama yang mungkin boleh direnungkan bersama.

*Saya sedar penulisan ini mungkin mempunyai kekurangan tetapi kritiklah dengan berhikmah. Ampun maaf jika terkasar bahasa. Apa yang jelas, saya sama sekali tidak menyokong LGBT tetapi penulisan ini lahir daripada kesedaran untuk kita mengambil langkah yang lebih proaktif.


Antara Mengenali dan Memahami Sahabat


Antara Mengenali dan Memahami Sahabat

            "Ana sendiri pun hairanlah. Sepanjang ana kenal sahabat ana selama 10 tahun, ana belum lagi mampu untuk mengajak untuk memahami Islam," luah rakan saya dengan penuh nada kecewa.

            "Kenal dan faham itu dua perkara yang berbeza," balas saya sebagai mukadimah.

            "Apa bezanya? Bukan sama ke?" soalnya dengan nada menduga.

            "Mestilah berbeza. Sebab tu enta jangan hairan jika persahabatan enta dengan sahabat enta selama 10 tahun itu belum cukup untuk enta berupaya mengajaknya menyertai program-program Islam, kuliah agama ataupun usrah," ucap saya menghuraikan perbezaannya.

            "Itulah ana pun jadi hairan," balasnya sambil mengusap janggutnya.

            "Jika kita sekadar kenal sahabat kita, kita akan duduk melihat karenahnya sahaja. Pada waktu dia berpelakuan buruk kita mengelak. Pada waktu dia berpelakuan baik kita menyenanginya. Itulah yang sekadar apa yang kita akan lakukan apabila hanya mengenali diri mereka. Berbeza pula apabila kita memahami sahabat kita. Pada waktu dia berpelakuan buruk kita akan bijak berhadapan dengan karenahnya itu untuk mengembalikan diri kepada perlakuan baik. Pada waktu dia berperlakuan baik, kita akan terus mendorong dirinya untuk kekal istiqomah dengan kebaikan yang dilakukan," terang saya lagi dengan huraian yang lebih mendalam.

Berusahalah memahami sahabat dengan melihat kehidupan mereka.

Kenalpasti Keadaan dan Reaksi

            "Jadi apa yang ana harus buat sekarang?" soalnya dengan penuh keruan.

            "Lepas ni enta fikirkan semula bagaimana hendak menguruskan kerenah sahabat enta tu. Kita perlu berstrategi dalam berkomunikasi dengan sahabat kita yang punya pelbagai macam kerenah ni. Perlahan-lahan enta kaji kerenahnya. Lihat kembali waktu bila dia akan berperlakuan baik dan waktu bila dia akan berpelakuan buruk."

            "Kenapa pula hendak dikaji kerenahnya?" soalnya untuk mendapat kepastian saranan saya itu.

            "Karenah yang ada pada sahabat kita itu hanya tindak balas terhadap keadaan yang mereka hadapi. Itu suatu yang normal. Sebagai contoh dalam keadaan sibuk, kita sendiri pun akan cenderung untuk merasa stres, marah dan sebagainya. Dalam keadaan tenang, kita akan lebih cenderung untuk merasa senang. Seterusnya, manipulasikan sahaja keadaan mereka. Kalau mereka sibuk, kita ajaklah mereka untuk tenang sebentar. Kalau berterusan sibuk, nanti dia akan cenderung untuk marah. Kalau mereka dalam keadaan lapang, ajaklah berbuat apa-apa aktiviti. Kalau berterusan, akan bosan dan sugul pulak nanti," terang saya dengan penuh bersemangat.

            Sahabat saya mengangguk faham.

            "Kemudian, pada waktu itulah enta boleh suntik kefahaman Islam pada dirinya. Sebabnya dia sudah melihat diri enta sebagai seorang sahabat yang memahami dirinya. Dia pun akan lebih senang jika bersama enta. Sedikit sebanyak imej kebijaksanaan yang tertonjol dalam kita berhadapan dengan kerenahnya akan membina suatu keyakinan untuk dia menyahut seruan kita," jelas saya sebagai kesimpulan dan juga sebagai suatu saranan.





Berusaha Mencari Keikhlasan



Berusaha Mencari Keikhlasan

            "Wah, Suryani sudah tutup aurat. Cantik betul dia bertudung labuh dan berbaju kurung. Betul tak Zaki ?" soal Izzati. Seperti biasa pasti Izzati akan datang ke tempat Zaki untuk berborak. Zaki hanya mampu menjarakkan kerusinya sahaja. Sudah berapa kali dipesan untuk menjaga batas pergaulan, masih lagi tidak faham. Pensyarah pula belum lagi masuk.

            "Mestilah cantik. Sebab itu Islam menuntut umatnya menutup aurat dengan sempurna. Engkau pula bila lagi hendak tutup aurat?" soal Zaki sambil tersenyum lebar. Sudah berapa kali soalan itu disoalnya. Ada sahaja alasan yang diberikan Izzati.

            "Nantilah Zaki. Kalau hati tidak ikhlas menutup aurat, sia-sia sahaja. Biarlah aku betul-betul ikhlas hendak menutup aurat." balas Izzati.

            "Ikhlas itu tidak datang bergoleklah. Tuan punya badan yang perlu berusaha untuk mencapai keikhlasan dalam menjalankan tuntutan agama." jelas Zaki. Pokok perbincangan mereka berdua sudah semakin jelas.

            "Hendak ikhlas pun perlu berusaha ke?" soal Izzati dengan penuh kehairanan.

            "Ikhlas itu bermaksud sesuatu kehendak ataupun niat yang disandarkan semata-mata kerana Allah SWT. Mungkin pada awal menutup aurat itu disebabkan ibu bapa yang suruh ataupun kita sendiri yang memaksa diri untuk menutup aurat tetapi semua itu adalah permulaan untuk kita mencapai keikhlasan."

            "Boleh ke memaksa diri untuk ikhlas? Bukankah ikhlas itu lahir daripada kerelaan diri?" soal Izzati dengan dahinya yang berkerut seribu.

            "Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Ianya menuntut pelbagai usaha bagi mencapainya. Setiap usaha pula pasti bermula dengan keterpaksaan. Kata bijak pandai, orang yang berjaya akan memaksa dirinya untuk berubah dan orang yang gagal hanya berubah apabila terpaksa." jelas Zaki dengan penuh bersemangat. Peluang untuk memberikan kefahaman kepada rakannya itu tidak patut dipersiakan dengan hujah yang hambar.

            "Jadi selama ini aku tersilaplah dalam melihat maksud keikhlasan yang sebenar." Izzati terdiam seketika lalu menyambung kembali bicaranya. " Tapi sempat lagi ke aku hendak berubah dengan keadaan aku sekarang?" soal Izzati dengan penuh nada kecewa. Dia hanya mampu tertunduk malu dengan jawapan yang diberi oleh Zaki itu.

            "Setiap waktu yang masih ada sekarang merupakan kesempatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Hargai kesempatan ini sebaik mungkin dengan berubah menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Bertaubatlah dengan kesalahan yang lalu kerna Allah SWT itu Maha Pengampun. Keluasan rahmatNya lebih luas berbanding dosa yang kita lakukan." pesan Zaki sambil membuat kesimpulan bagi hujahnya.

            Pensyarah mula melangkah masuh menandakan waktu kuliah akan bermula. Perbualan mereka berdua walaupun singkat tetapi sungguh bermakna untuk difikirkan. Apa yang penting, terus beristiqamah dalam memberikan kefahaman kepada rakan-rakan yang mungkin salah faham akan maksud PERUBAHAN.


Majulah memburu hidayah Ilahi.

Keikhlasan itu sesuatu yang berharga. Jadi bagi mendapatkannya, kita perlu berusaha walaupun kita perlu bermula dengan keterpaksaan.


Tuesday 30 October 2012

Sekularisme Dalam Dakwah



Sekularisme Dalam Dakwah

Kehidupan Itu Dakwah 

Dakwah itu suatu yang hidup. Ia tidak mati di pentas ceramah di masjid, surau atau kuliah. Selagi mana kita meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim, selama itulah dakwah hidup bersama kita. Sebab itulah muhasabah (proses mengkaji diri) mesti menjadi suatu kewajipan seharian kita supaya imej yang dibawa dalam kehidupan tidak mencemarkan Islam yang penuh dengan keindahan. Muslim itu duta bagi agama Islam.

           

            Sebelum pergi kepada persoalan yang lebih luas, molek kiranya kita memahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan dakwah. Dakwah itu adalah bermaksud menyeru, mengajak, menggalak dan mendorong. Lantas, akhlak di dalam kehidupan kita mestilah juga mempunyai elemen yang menyeru, mengajak, menggalak dan mendorong orang di sekeliling untuk memahami Islam.

            Dr. Yusuf al-Qaradawi pula, beliau mendefinisikan dakwah seperti berikut :

Dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.



Sekularisme Dalam Kehidupan

Kehidupan sebagai seorang Muslim itu sebenar-benar daya tarikan yang dapat membawa orang sekeliling agar lebih dekat dengan Islam.

            Jika kita lihat zaman sekarang, kehidupan masyarakat begitu banyak berpaling daripada mengikuti kebenaran Islam. Lantaran itu, sebaik-baik dakwah yang berhikmah adalah bermula dengan menunjukkan contoh kehidupan Muslim yang penuh dengan keindahan kepada mereka. Ini penting agar mereka tertarik untuk mengikuti teras Islam iaitu akidah Islamiyyah lantas berpaling daripada kehidupan taghut (sesuatu selain Allah SWT).

1.         Individu Muslim
2.         Keluarga Muslim
3.         Masyarakat Muslim
4.         Kerajaan Islam
5.         Negara Islam
6.         Empayar Islam
7.         Ustaziatul Islam (Islam tersebar seluruh alam)

Inilah 5 tahap yang boleh dimuhasabah kembali bagi mewujudkan sebaik-baik contoh pengaplikasian Islam yang sebenar dalam kehidupan supaya setiap daripada umat manusia dapat melihat dengan jelas begitu indahnya apabila ajaran Islam berpadu dengan kehidupan manusia. Lantas, ini menjadi suatu dakwah yang terbesar untuk mengajak kepada Islam yang sebenar.

Sekularisme Dalam Dakwah

Adalah menjadi suatu kesalahan apabila ada yang melihat dakwah dan kehidupan itu sebagai suatu yang terasing.

         "Macam mana hendak berdakwah, aku kan sibuk dengan projek untuk kursus pengajian. Tak ada masa nak berprogram," ujar seorang pelajar di sebuah universiti.
           
         "Saya sibuk dengan perniagaan. Bukannya nak berikan alasan, tapi anak isteri saya siapa yang hendak tanggung kalau bukan saya yang perlu membanting tulang mencari rezeki," ujar seorang peniaga yang sibuk dengan perniagaannya.

            Apabila tugas dakwah itu dilihat sebagai suatu yang terasing dalam kehidupan, secara tidak langsung kita telah mengamalkan sekularisme dalam kewajipan tugas dakwah. Inilah sekularisme yang sering kita amalkan tanpa disedari di saat kita mengeji ideolosi sekularisme yang diamalkan oleh pihak lain. Apa bezanya kalau golongan sekular itu mengasingkan persoalan kehidupan dari agama dan kita pula mengasingkan agama dari persoalan kehidupan. Sungguh! Ini suatu perkara yang berbahaya bagi pemikiran seorang Muslim.


Monday 29 October 2012

Ibu Bapa, Anak dan Dakwah


Ibu Bapa, Anak dan Dakwah


"Abah, kenapa kakak tu tak pakai baju macam ummi?" soal si anak jiran sebelah kepada ayahnya sambil menunjuk kearah jiran saya yang berhadapan dengan rumah. Mereka itu pelajar perempuan yang menyewa rumah di situ.

          Ketika itu, saya sedang sibuk mengibas-ngibas baju untuk dijemur di perkarangan rumah. Mungkin ketika itu si ayah hendak menghantar anaknya ke kelas KAFA yang diadakan pada sebelah petang dan menghantar isterinya ke tempat kerja.

          "Ummi pakai macam tu sebab ikut perintah Allah," balas ayahnya dengan ringkas.

          "Akak tu pakai macam tu ikut perintah siapa pula abah?" soal si anak lagi.

          Puas jugak si ayahnya nak memikir apa yang jawapan yang hendak dijawab sampaikan dahinya berkerut seribu.

          "Err...mungkin akak tu tengah berusaha untuk menutup aurat," ucap ayahnya yang kelihatannya berusaha untuk memberikan jawapan yang lebih molek.

          "Ummi dulu mesti macam akak tu kan ayah?" soal anaknya lagi.

          "Err...a'ah. Ummi pun berusaha macam akak tu juga dulu," balas ayahnya ringkas.





Ajar Anak Bersangka Baik

Perbualan si anak jiran dan ayahnya itu sedikit sebanyak mengajarkan saya suatu perkara yang boleh dijadikan pengajaran apabila sudah mempunyai anak kelak. Bersangka baik! Itu yang terdetik dalam fikiran saya apabila mengenangkannya kembali. Cukup sahaja dengan mendidik pemikiran anak-anak bersangka baik ianya akan menemukan mereka dengan seribu satu macam kebaikan yang lain.

          Ini mengingatkan saya kepada suatu hadis yang dibaca dalam Himpunan Hadis Modal Insan, Jilid 2 karya Dr. Zulkifli Al-Bakri yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Terdapat dua sifat yang tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripada kedua-duanya dari sudut kebaikan, iaitu baik sangka kepada Allah SWT dan baik sangka kepada hambaNya, manakala dua sifat yang tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripada kedua-duanya dari sudut kejahatan ialah buruk sangka kepada Allah SWT dan buruk sangka kepada hambaNya."

          Memadailah jika anak-anak di waktu kecil mereka didik pemikiran dahulu untuk bersangka baik. Kemudian nanti, apabila mereka menginjak dewasa maka sifat bersangka baik itu akan disusuli dengan tindakan yang baik. Seterusnya, mewujudkan kehidupan yang lebih baik dengan masyarakat sekeliling.


Sangka baik > Tindakan baik > Kehidupan baik >Terbaik!


Sunday 28 October 2012

Bicara Buat Fitrah Sahabat


Bicara Buat Fitrah Sahabat

Apabila aku berbicara wahai sahabat, sebenarnya aku berbicara dengan fitrah dirimu. Jauh sekali niat di hati untuk menyindir dirimu ataupun memalukanmu. Engkau sahabatku. Susah senang kita bersama. Aku tidak mahu persahabatan ini hanya di dunia tetapi biarlah berpanjang ke akhirat sana. Di saat aku berbicara dengan melihat pelbagai sisi kebaikan pada dirimu, janganlah dianggap aku  seperti malaikat di saat engkau menganggap dirimu sejahat syaitan. Salah anggapanmu itu. Kita sebenarnya sama-sama berusaha untuk menuju ke arah kebaikan.

          Mungkin pengalaman hitammu yang lalu telah membuatkan pandanganmu kabur daripada melihat kebaikan yang berbaki pada diri untuk terus disuburkan selepas ini. Ciptalah pengalaman yang putih bersih buat masa depanmu. Rahmat Allah SWT terbentang luas di hadapanmu wahai sahabat. Ayuh pegang tanganku untuk ku pimpinmu ke hadapan. Sahabat itu senang susah bersama bukan? 

          Janganlah engkau menyangka aku ingin memalukan dirimu apabila aku senantiasa berbicara dengan sisi kebaikan yang ada pada dirimu. Sisi kekurangan yang sedia ada dirimu itu akan terhakis sedikit demi sedikit seandainya engkau terus menyuburkan sisi kebaikan yang ada pada dirimu. Kita tiada kekuasaan untuk menghapuskan sisi kekurangan diri melainkan kita berusaha untuk terus melihat kekurangan diri. Aku sedar dengan kemampuan seorang hamba, lantaran itu aku menghulurkan tangan untuk memimpinmu bagi terus melangkah ke rahmat Ilahi.

         
            Aku meyakini dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana bersabda," Setiap anak Adam itu apabila dilahirkan ke dunia bagaikan kain putih. Ibu bapanya yang mendidiknya  untuk menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi." Tapi kenapa tidak dimasukkan sekali Islam dalam hadis ini? Jelas, perumpamaan kepada kain putih itu menunjukkan kepada fitrah asal iaitu Islam. Disebabkan aku melihat engkau jauh meninggalkan fitrah dirimu maka aku berusaha untuk memimpin dirimu kembali kepada fitrahmu yang asal iaitu Islam. Kembali kepada Islam bererti kembali menuju fitrah dirimu. Salah sekali engkau menganggap fitrah dirimu itu bagaikan kain hitam yang tidak punya peluang untuk kembali cerah.



Berlaku Adil Dalam Melihat Sahabat dan Menegur Sahabat

Berlaku Adil Dalam Melihat Sahabat dan Menegur Sahabat



Kes 1

"Si A tu, harapkan baca al-Quran sahaja kencang, tapi perangai teruk nak mampuih," ucap suatu sisi dalam diri kita.

Hurmm...

"Si B tu, walaupun tak baca al-Quran tapi perangai baguih dan sopan santun jer," ucap satu sisi lain dalam diri kita...

Akhirnya setelah beberapa hari....hati menjadi kuat untuk berkata...

"Si A itu betulkan akhlak, Si B itu ajaklah membaca al-Quran selalu."

*Sukarnya hati ini untuk berlaku adil dalam menggalakkan kebaikan dan menegah keburukan....

Kes 2

"Si A tu, harapkan tudung jer labuh tapi mulut....Allahurobbi. Berdengung telinga mendengar," ucap seorang sahabat.

Saya khusyuk mendengar.

"Walaupun Si B tak tutup aurat, tapi perangai dia...fuh! Cukup baik," ucapnya lagi.

Konklusi saya berikan...

"Yang Si A itu ajaklah (dakwah) untuk berakhlak baik, manakala yang Si B itu ajaklah (dakwah) untuk menutup aurat dengan sempurna," saran saya dengan tenang.

Pengajaran : Jangan kerana satu bahagian keburukan, dinafikannya satu bahagian kebaikan. Jangan kerana satu bahagian kebaikan, lalu dihalalkan sahaja keburukan. Perubahan manusia sememangnya mempunyai bahagian-bahagian yang tersendiri....

Bukan Diskriminasi Tapi Suatu Petanda

Bukan Diskriminasi Tapi Suatu Petanda 


"Eh, you ni pentingkan diri sendiri yer. Cari isteri yang tudung labuh jer, yang solehah jer. Habis tu orang yang macam I ni you all nak lempar mana?" soalnya dengan mencebik muka.

"Saya ni bukan penting diri sendiri tapi saya risaukan orang lain. Saya fikir kepentingan orang lain," jelasku tenang.

"You ada orang ketiga pula ea. Dasar lelaki miang," balasn
ya dengan spontan.

"Saya risaukan anak-anak yang lahir nanti. Anak-anak yang akan membentuk masyarakat. Jangan salah faham," jelasku.

"Habis tu anak-anak yang lahir dari orang yang macam I ni nanti jahat-jahat belaka yer," ujarnya dengan logik fikirannya tersendiri.

"Saya tak menghukum orang yang macam awak. Tapi awak perlu lihat bahawa anak-anak yang lahir dari ibu yang memahami agama itu akan membahagiakan masyarakat. Itu bukan bermaksud menghukum, tetapi sekadar hendak buat awak sedar untuk berubah jadi seperti mereka. Saya menyelamatkan diri awak dengan bercakap begini kan?" kataku sebagai konklusi.

Dia sekadar menunduk malu lalu berlalu pergi...

*Lelaki yang memilih perempuan yang solehah untuk dijadikan isteri bukan bererti lelaki itu menghukum wanita yang tak solehah ke apa sebagai perosak zuriat, tetapi ianya harus dilihat sebagai suatu tanda kepada mereka untuk berubah menjadi solehah (memahami Islam) agar menjadi pilihan lelaki... Sedarlah, ianya bukan diskriminasi ke apa tetapi sebagai tanda untuk diri kita sekarang berubah menjadi apa yang lebih diredhai Allah SWT...