Wednesday 7 August 2013

APA YANG AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ) BELAJAR DARI SYIAH?

APA YANG AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ) BELAJAR DARI SYIAH?


Isu Syiah hebat diperkatakan di media perdana dan media baru. Isu ini mencetuskan perdebatan yang hangat di dalam masyarakat. Namun, ada beberapa aspek yang terlepas pandang tatkala isu ini sedang berlangsung dengan kencang iaitu apa yang ASWJ belajar dari Syiah? Mesti ada hikmah yang Allah SWT hendak tunjukkan kepada masyarakat yang selama ini mendakwa di sebagai ASWJ.

Politik

Jika dikatakan Syiah yang kompeten dengan ciri-ciri Syiahnya menyusup masuk ke dalam NGO, persatuan dan parti politik untuk meneruskan keberadaan mereka, lantas sejauh mana pula Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kompeten dengan akhlak ASWJ 'menyusup' masuk ke dalam NGO, persatuan dan parti politik?

            Wajar untuk ahli politik yang mendakwa sebagai ASWJ bermuhasabah kembali apakah parti yang mereka duduki sekarang berteraskan dasar ASWJ? Sejauh mana selama ini mereka menjalankan tanggungjawab seperti yang dituntut dalam ajaran ASWJ dan sejauh mana akhlak mereka berkempen memenuhi kualiti piawaian ASWJ?

Akhlak

Dalam kita mendakwa Syiah bertaqiyyah dalam meneruskan survival mereka sebagai minoriti di negara Malaysia, lantas sejauh mana pula ASWJ berakhlak dalam meneruskan survival ASWJ?

            Tidak menghairankan jika diri yang berpegang dengan ajaran Syiah untuk menzahirkan ciri-ciri sebagai seorang Syiah. Tetapi yang menghairankan saya adalah diri yang mendakwa berpegang dengan ajaran ASWJ tetapi tidak menzahirkan ciri-ciri sebagai seorang ASWJ. Tanpa menafikan masing-masing mempunyai tingkatan amal yang berbeza, namun tatkala isu Syiah yang sedang panas tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa menjadi suatu muhasabah yang berkesan buat jiwa seorang ASWJ.

            Sewajarnya keadaan sekarang harus dimbangi dengan suatu persoalan kepada diri iaitu, "Apakah kelompongan diriku sebagai penganut ASWJ yang memberikan ruang kepada ajaran Syiah untuk menular di negara ini?"

Muhasabah Buat ASWJ

Perdebatan engkau Syiah atau tidak, engkau salah engkau betul saya lihat sememangnya tidak berkesudahan bagi yang mengetahui. Tambahan pula, laman sosial seringkali menjadi gelanggang yang lazim. Tidak dinafikan bahawa penyelesaian tidak sekadar berhenti jika mulut berbuih-buih menjelaskan fakta Syiah di sana sini. Jadi penulisan ini adalah sebagai suatu usaha daripada saya untuk membuatkan skop perhatian yang sedia ada sekarang maju ke hadapan sedikit untuk berfikir apa yang harus kita lakukan sekiranya kita ini di pihak yang betul? Isu Syiah yang terjadi sekarang tidak terhenti kepada Syiah sahaja, tetapi ia berlangsung kepada ASWJ juga. Penyelesaian tidak akan menjelma jika penyelesaian hanya ditujukan kearah Syiah sahaja, namun ia harus berbalik semula kepada diri yang mendakwa sebagai ASWJ.

            Semoga kita sama-sama bermuhasabah sebagai ASWJ dan menggerakkan hasil muhasabah tersebut di dalam kehidupan.

            Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment