Monday 17 December 2012

Teknologi, Amerika Syarikat dan Al-Jazari


Teknologi, Amerika Syarikat dan Al-Jazari

"Kenapa dunia melihat Amerika Syarikat itu seperti Tuhan? Sedangkan mereka itulah yang membekalkan pelbagai senjata canggih kepada negara haram rejim Zionis. Umat Islam di Palestin habis diserang dengan penuh kezaliman. Angka yang terkorban meningkat saban hari tetapi dunia seperti tidak dapat berbuat apa-apa," luah Amir dengan penuh nada kesal.

            "Kenapa Amir?" soal Muaz untuk mendapatkan kepastian dengan reaksi yang ditunjukkan oleh rakan sebiliknya itu.

            "Engkau tengoklah ini. Teruk betul rejim Zionis membantai penduduk Palestin di Semenanjung Gaza," ucap Amir sambil menunjukkan video yang sedang ditontonnya melalui laman Youtube.

            "Apa yang berlaku pada zaman sekarang mengingatkan aku kepada ilmuwan Islam. yang terkenal dalam bidang kejuruteraan mekanikal," ujar Muaz sambil memandang ke luar tingkap.

            "Siapa dia ilmuwan Islam itu?" soal Amir sambil memalingkan mukanya kearah Muaz.


            " Nama panggilannya Al-Jazari. Nama penuhnya adalah Abu al-Ismail Bin al-Razaz al-Jazari. Al-Jazari dilahirkan 300 tahun sebelum Leonardo Da Vinci atau lebih tepat lagi pada tahun 1136 Masihi . Gelaran al-Jazari diambil sempena nama tempat kelahiran beliau, iaitu di Al-Jazira," jelas Muaz dengan terperinci.

            Muaz merupakan salah seorang pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal. Pada masa yang sama dia turut mengkaji sejarah ilmuwan Islam terdahulu yang mempunyai kaitan dengan bidang pengajiannya. Jadi tidak hairanlah dia dapat mengingati maklumat lengkap mengenai sejarah ilmuwan Islam yang terkenal dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu.

            "Apa kaitan Al-Jazari dengan apa yang terjadi sekarang?" soal Amir untuk mendapatkan kepastian.


            "Pada zaman dahulu, al-Jazari mencipta alat mekanikal yang berfungsi secara automatik untuk mengangkutkan air bagi tujuan pengairan.  Tetapi beliau perlu berwaspada dengan pandangan masyarakatnya ketika itu. Ini disebabkan pada ketika itu, sesiapa yang boleh menggerakkan sesuatu peralatan tanpa menggunakan tenaga manusia atau binatang akan dianggapkan menggunakan sihir. Jadi bagi mengelakkan dirinya dituduh mengamalkan sihir, maka beliau telah meletakkan seekor keldai diatas alat mekanikal tersebut bagi menunjukkan alat tersebut berfungsi menggunakan kuasa binatang sedangkan bahagian bawahnya berfungsi secara automatik," terang Muaz.

            "Sampai begitu sekali masyarakat pada waktu itu berfikir," ucap Amir dengan nada yang kagum.

            " Tamadun Islam bertuah kerana al-Jazari yang meneroka teknologi tersebut. Ini kerana ilmu mekanik sebelum zamannya dikenali sebagai sains muslihat. Dan sesiapa yang yang mempunyai niat serong akan menggunakan ilmu tersebut bagi menjadikan diri mereka dipandang hebat. Selain itu, mereka akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa itu adalah magik dan lebih teruk lagi, mengatakan diri mereka Tuhan," jelas Muaz dengan penuh bersemangat.

            "Siapa yang sampai sanggup mengaku Tuhan?" soal Amir dengan penuh teruja.

            "Individu tersebut adalah Firaun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Pada zaman pemerintahan Firaun, pintu gerbang dibuka dengan menggunakan kuasa hidraulik dan berfungsi secara automatik. Lalu, Firaun menggunakannya untuk mengatakan dirinya adalah Tuhan dengan cara apabila dia menunjukkan jarinya ke arah pintu gerbang, pintu tersebut akan terbuka dengan sendiri. Itu membuatkan sesiapa yang melihatnya akan mengatakan bahawa Firaun mempunyai kuasa yang hebat dan melihatnya sebagai Tuhan," terang Muaz lagi.

            Amir tersenyum sendirian seperti sudah dapat menangkap maksud ucapan Muaz, lantas berkata, "Perkara yang sama turut berulang pada zaman sekarang. Dunia seperti mempertuhankan Amerika Syarikat. Yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar. Seolah-olah mereka itu lagaknya seperti Tuhan."

            "Menyedari kembali akan semua itu, kecanggihan teknologi sewajarnya dikuasai oleh manusia yang beriman. Sebaliknya jika dikuasai oleh manusia yang mempunyai pelbagai sifat buruk, maka ia membuatkan kecanggihan teknologi dan manfaat darinya akan kabur dan pelbagai persepsi negatif akan diberikan kepada teknologi tersebut. Sepertimana yang kita lihat dengan teknologi nuklear pada hari ini," jelas Muaz.

Oleh sebab itu, perlunya pada zaman sekarang orang yang beriman dan mampu menguasai pelbagai cabang teknologi. Supaya dapatlah dimurnikan kembali pelbagai teknologi yang disalahguna untuk tujuan keburukan yang memudaratkan umat manusia dan juga alam sekitar.

Satu pengajaran penting buat mahasiswa Islam seluruh dunia. Terharu rasanya kerana saya sendiri mempunyai bahagian yang perlu dilaksanakan dalam tuntutan tanggungjawab itu.

1 comment: