Wednesday 13 February 2013

Indahnya Berdakwah


Indahnya Berdakwah


Dakwah Islamiyyah tersebar bukan dengan paksaan. Indahnya bukan sekadar pada rupa luaran, tetapi jauh lebih penting daripada itu isi dakwah yang diserukan. Menyeru agar mengenal Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Agung iaitu Allah SWT. Oleh sebab itu, ternafi sama sekali dakwaan Islam itu datang secara paksaan dan gertakan. Isi yang sangat menarik menjadi teras utama untuk menggamit jiwa insan yang fitrahnya dengan Ilahi.

Erti Hidup Pada Memberi dan Menerima
Usaha dakwah ini bukannya persoalan memberi sahaja tetapi ia sebenarnya secara tidak langsung turut bersifat memberi kepada diri seseorang pendakwah itu juga. Bayangkan seandainya seseorang pendakwah itu berhadapan dengan mad'u (sasaran dakwah), kebiasaannya mereka akan berhadapan pelbagai macam cabaran dalam bentuk cemuhan, pemulauan dan seumpamanya untuk menyampaikan isi dakwah, namun daripada itu secara tidak langsung hati pendakwah sudah terpupuk sedikit demi sedikit meyakini terhadap apa yang diserunya itu.

            Oleh sebab itu, tidak timbul persoalan seseorang pendakwah itu kelelahan dalam perjalanan usaha dakwahnya kerana pada ketika itu dakwah yang diseru itu turut diterima oleh dirinya. Alangkah bahagianya kehidupan buat orang yang hidupnya senantiasa sibuk dengan usaha dakwah kerana dengan itu hatinya senantiasa dilitupi keyakinan yang teguh terhadap apa yang diserunya itu.

Menyebarkan Cinta Ilahi
Pendakwah itu penyebar cinta Ilahi. Pendakwah bagaikan orang tengah yang menjadi penghubung manusia sekeliling untuk terus membina tautan cinta mereka dengan Ilahi. Besarnya tugas seorang pendakwah. Seperkara lagi, perkara yang sungguh membahagiakan untuk seorang pendakwah adalah kehidupannya senantiasa akan dipenuhi dengan elemen-elemen kecintaan buat Ilahi. Ini bertepatan dengan apa yang terdapat dalam suatu hadis,

Rasulullah SAW pernah bersabda :
Jadilah penyeru Islam tanpa berkata-kata . Para sahabat bertanya, "Wahai utusan Allah, seperti apa sifatnya menyeru Islam tanpa kata-kata?" Rasulullah SAW menjawab, "Dengan sikap baik dan kemuliaan akhlak kamu."
Hadis Riwayat an-Nasai': 4301

            Elemen-elemen kecintaan buat Ilahi yang disemai melalui amalan kehidupan seharian dengan sikap yang baik dan kemuliaan akhlak akan lebih membekas di dalam hati mad'u (sasaran dakwah). Ini melengkapkan lagi ucapan cinta Ilahi yng diucapkan buat mereka. Begitulah keadaannya dakwah yang ditujukan buat diri yang bergelar insan.

1 comment: