Thursday 14 February 2013

Harapan Yang Berbaloi


Harapan Yang Berbaloi



            "Enta yakin tak?" soalnya berulang kali dengan penuh bersemangat. Itulah soalan yang diucapkan oleh naqibku sehingga menjadi zikir setiap kali ingin mendorong melakukan sesuatu perkara.

            Kini aku mula memikirkan kembali apa yang sering diucapkannya buat diriku. Banyak perkara sebenarnya boleh dihuraikan jika difikirkan sedalam mungkin.

            Manusia itu makhluk kepercayaan. Manusia bergerak di atas kepercayaan mereka. Kalau disoroti kembali perjalanan sejarah manusia. Banyak binaan yang berdiri menegak ke langit adalah berdasarkan kepada kepercayaan yang mereka pegang. Piramid di Mesir berdiri dek kerana kepercayaan mereka yang meyakini kebangkitan ruh di suatu alam sunyi. Masjid-masjid berdiri dek kerana kepercayaan umat Islam untuk beribadah kepada Allah SWT. Gereja Notredame di Perancis berdiri dek kerana kepercayaan masyarakatnya terhadap Gereja Katolik. Begitulah juga dengan diri kita yang mahu membina sesebuah kejayaan di dalam kehidupan; kepercayaan dan keyakinan mesti dicas dari masa ke semasa dengan seribu satu macam dorongan yang membina dan mengukuhkan kepercayaan yang sedia ada agar menjadi suatu keyakinan yang tidak boleh digugat dengan cabaran semasa.

            Berbaloi rasanya menaruh harapan bagi seseorang yang mempunyai semangat ingin belajar, semangat ingin tahu (inkuiri), semangat mahu berubah ke arah kebaikan dan seumpamanya. Ini kerana kita yang menaruh harapan ini yakin bahawa dengan sifat-sifat yang demikian akan membuat harapan-harapan yang sedemikian dapat direalisasikan. Tambahan pula, harapan yang disandarkan itu boleh dikatakan hanya sekadar sentuhan motivasi ataupun suntikan semangat untuk si pemilik tubuh itu merealisasikan harapan yang disandarkan itu. Kurang sekali dirasakan sebagai suatu kerugian untuk memberikan harapan bagi seseorang yang punya ciri-ciri yang sedemikian rupa. Maksudnya saya cuba gambarkan dalam suatu perumpamaan;

"Seandainya hati berkehendakkan mendaki Gunung Everest, mudah saja untuk didaki Gunung Kinabalu. Tetapi kalau sekadar berkehendakkan mendaki Gunung Kinabalu, maka diri hanya sekadar mampu mendaki Gunung Jerai."

            Mungkin disisi orang lain mereka melihat diri yang berpegang dengan konsep ini seperti seorang yang terburu-buru dan tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Namun, buat diri yang berpegang kepada konsep ini, ianya hanya sekadar pembakar semangat untuk menggerakkan anggota tubuh untuk terus bekerja dengan penuh bersemangat. Jauh sekali untuk bersikap melampau. Tetapi ianya mungkin dilihat melampau dek kerana ianya melampaui adat gerak kerja yang sedia ada, sedangkan melampau yang dilarang Islam adalah sikap melampau yang melanggar syariat. Kesimpulannya, bersikaplah 'melampau' asalkan berada dalam ruang lingkup syariat.

3 comments:

  1. Enta yakin tak??? - tagline hamim

    ReplyDelete
  2. tp harapan tnpa usaha sia2..
    so kena ada usha mengiringi

    ReplyDelete
  3. keyakinan yang membawa kearah kejayaan...
    but must be remember is KEYAKINAN UTAMA adalah KEYAKINAN PADA YANG MAHA ESA.......
    nescaya BANTUAN akn sntiasa mengiringi IN SHAA ALLAH....

    ReplyDelete