Wednesday 31 October 2012

Sikap Adil Dalam Meluruskan Pemikiran Songsang


Sikap Adil Dalam Meluruskan Pemikiran Songsang

Apabila mengetahui isu Irsyad Manji yang dikatakan sebagai seorang pendokong liberal,  dan LGBT serta merupakan seorang lesbian. Maka aku cuba mendalami serba sedikit mengenainya dengan melihat laman sesawang peribadinya dan beberapa laman yang lain yang mana menjelaskan maksud kedatangannya ke negara Malaysia. Setelah melihat beberapa sumber, jelas bahawa Irsyad Manji ke Malaysia untuk mengulas bukunya yang bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta.

            Melihat keadaan sekarang yang mana orang ramai terus-menerus menghalang Irsyad Manji datang untuk mengulas bukunya di University Monash, seolah-olah apabila Irsyad Manji bersuara maka akan berubahlah fikiran setiap orang yang mendengarnya untuk menyokong LGBT. Jangan sesekali bertindak sehingga menampakkan seolah-olah Islam itu lemah untuk menghadapi dakyah LGBT.

            Perlulah kita sedari supaya agar jangan hanya tahu berhadapan dengan golongan ini melalui sentimen tetapi berhadapanlah dengan Islam yang mempunyai ajaran yang jelas memisahkan haq dan batil. Tetapi apa-apa pun kalau hendak hantar berhujah, biarlah seseorang Muslim yang benar-benar memahami Islam seperti ulama-ulama atau mufti-mufti yang ada.

            Apabila melihat kembali penulisan Irsyan Manji di lawan sesawangnya https://www.irshadmanji.com/malay-edition/89 yang mana ada menyebut imej Islam sewaktu zaman kecilnya jelas menunjukkan pada waktu kecilnya sudah terpahat gambaran Islam yang tidak betul. Berikut merupakan sebahagian daripada penulisannya dalam buku Allah, Kebebasan dan Cinta yang menyebut, 

"Pada amnya, kaum Muslim di Afrika Timur melayan kaum kulit hitam seperti hamba abdi. Aku masih ingat ketika ayah memukul Tomasi, pembantu rumah kami, dengan begitu kuat sehingga lebam-lebam pukulannya kelihatan pada tangan dan kakinya yang hitam legam. Walaupun aku, dua adik-beradik perempuan aku, dan ibu menyayangi Tomasi, kamu juga akan dipukul sekiranya ayah mendapati kami merawat luka-luka dan kecederaannya. Aku tahu bahawa perkara ini tidak terhad kepada keluarga kami, dan ianya berleluasa di kalangan keluarga-keluarga Muslim lain, dan amalan perhambaan ini berterusan setelah keluarga kami meninggalkan Uganda. Itulah sebabnya, semasa remaja, aku pernah menolak peluang untuk melawat saudara-mara di Afrika Timur. "Kalau aku pergi dengan ibu," kata aku memberi amaran, "Ibu tahu benar bahawa aku akan menyoal kenapa para ibu dan bapa saudara kita yang gemuk-gedempol memperhambakan pembantu-pembantu rumah mereka." Sedangkan ibu pula hanya berhasrat mengucapkan salam perpisahan kepada saudara-mara yang semakin lanjut usia, dan sama sekali tidak berminat dalam kempen hak asasi manusia aku semasa melakukan lawatan ini.Untuk mengelak daripada mengaibkan dan memalukan ibu, aku duduk di rumah sahaja."

            Oleh sebab itu, penulisan ini cuba untuk membawa para pembaca melakukan anjakan paradigma bagi berhadapan dengan golongan LGBT yang semakin hari semakin bertambah dek kerana sikap orang Islam sendiri yang tidak mendepani isu ini secara berhikmah bagi menerangkan Islam yang serba indah dan mengagumkan jika dapat difahami dengan baik.

            Ada orang berkata kalau Irsyad Manji datang mengulas bukunya yang sudah diterjemah ke Bahasa Melayu akan menyebabkan orang yang masih lemah tentang Islam akan terpengaruh. Nah! Maka itu penunjuk bahawa dakwah Islam tidak sepantas dakyah LGBT. Seperkara lagi, dalam internet sudah bercambah penulisan Irsyad Manji dan seangkatan dengannya. Mahu tak mahu hadapilah dengan hujah untuk menerangkan Islam yang penuh keindahan. Jangan sesekali terus terperangkap dengan persepsi negatif yang membantutkan usaha untuk menerangkan Islam yang syumul.

            Sama-samalah kita mengorak langkah yang lebih proaktif untuk menyebarkan nur Islam kepada seluruh umat manusia.


Bagaimana boleh terbentuk golongan seperti Irsyad Manji?

Jika ditelusuri kembali penjalanan hidup Irsyad Manji, dia hidup dalam suasana di mana umat Islam ketika itu menunjukkan akhlak yang buruk sehingga memberikan gambaran yang negatif dalam minda Irsyad Manji. Apabila dia sudah meningkat dewasa, dia memperjuangkan golongan-golongan yang dilihat tertindas dek kerana akhlak buruk orang Islam itu sendiri dengan melakukan beberapa gerakan yang terancang. Salah usahanya adalah dengan menghasilkan beberapa buah buku seperti Allah, Liberty and Love dan The Trouble With Islam Today. Secara tidak langsung, usahanya ini telah berjaya menarik sokongan orang ramai untuk turut serta dalam perjuangannya.

            Mereka ini juga boleh dilihat sebagai suatu golongan yang sudah berputus asa dengan kemampuan Islam bagi menjaga maqasid syariah di dalam masyarakat sehingga menubuhkan suatu jalan perjuangan yang lain bagi menjaga maqasid syariah. Tetapi sayangnya jalan perjuangan mereka itu yang memperjuangkan liberalisme dan LGBT tidak mampu untuk menjaga maqasid syariah yang mereka perlukan untuk mencapai suatu kehidupan yang sejahtera.

            Maka dengan itu, sebagai umat Islam kita harus membina suatu imej Islam yang lebih berkeyakinan untuk menjaga maqasid syariah itu dengan mengamalkan Islam secara keseluruhan. Pada masa yang sama juga, kita harus memberikan kefahaman kepada mereka dengan mekanisme yang lebih berhikmah untuk memberikan impak yang lebih positif dan produktif bagi membolehkan golongan LGBT ini kembali kepada ajaran Islam yang menyelematkan kehidupan.


Mekanisme Yang Berhikmah

            Mungkin kata-kata Saidina Ali r.a. ini dapat kita renungi semula untuk memahami realiti yang sedang rancang berlangsung pada waktu sekarang terutamanya di alam maya. Berikut adalah kata-kata Saidina Ali r.a. yang berbunyi :

"Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun."

            Dalam keadaan sekarang, Irsyad Manji memperjuangkan kebatilan dengan cara yang penuh tersusun. Tersusun dengan mekanisme yang digunakannya iaitu perbincangan dan hujah bagi menerangkan perjuangan kebatilannya itu. Manakala, di pihak Islam pula yang mewakili perjuangan kebenaran terus-menerus berhadapan dengan Irsyad Manji dengan mekanisme yang tidak tersusun iaitu dengan cercaan dan melabelkan pelbagai label yang negatif. Belum lagi kelihatan di pihak perjuang kebenaran ini menyambut perjuangan kebatilan itu dengan suatu mekanisme yang jelas berkesan iaitu hujah. Jadi, apa yang cuba dipersoalkan bukanlah benar atau salah tetapi mekanisme yang digunakan itu adakah tersusun ataupun tidak tersusun.

            Oleh sebab itu, masyarakat Islam di Malaysia harus menyambut kedatangan Irsyad Manji ke Malaysia dengan penuh berhikmah dan menyantuni dengan berhujah. Ini penting bagi memberikan suatu imej Islam itu suatu agama yang kukuh struktur kebenaran dan mampu mendepani mana-mana kepincangan pemikiran dan sebarang dakyah songsang. Namun malangnya, duta yang mewakili agama Islam iaitu umat Islam itu sendiri telah jauh tersasar dari saranan Islam itu sendiri untuk berhadapan dengan kebatilan melalui saluran yang penuh berhikmah.

            Jika dikaji semula rentetan isu kedatangan Irsyad Manji ini, terdapat banyak ruang untuk diajak berdebat bagi menyatakan hujah kebenaran Islam. Seperkara lagi, kedatangannya ke Monash University di Bandar Sunway adalah untuk mengulas bukunya yang sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu iaitu Allah, Liberty and Love. Ruang yang disediakan oleh pihak universiti itu begitu kodusif seandainya dapat diajak berdebat berkenaan matlamat perjuangan dan mekanisme yang diambil oleh Irsyad Manji itu. Lainlah kalau Irsyad Manji datang ke Malaysia untuk mengajurkan satu bengkel untuk merekrut orang ramai menjadi pejuang bagi matlamat perjuangannya itu. Itu sesuailah untuk mengundang kemarahan orang ramai.

            Jelas disini bahawa, umat Islam itu sendiri yang sering menutup ruang untuk memberikan kefahaman dan mendidik pemikiran golongan yang sudah tersisih tanpa kita sedari ini kepada kefahaman Islam yang sebenar. Islam sudah sediakan ruang untuk berhujah bagi menyatakan kebenaran Islam secara berhikmah tetapi ia seringkali tertutup dek kerana sentimen negatif yang terus dilontarkan kepada golongan ini.

            Mekanisme yang berhikmah bukan sahaja merujuk kepada golongan LGBT ini semata-mata tetapi manfaatnya juga akan kembali kepada masyarakat yang menuruti saranan Islam untuk berhujah menyatakan kebenaran Islam. Manfaat yang dimaksudkan adalah keyakinan masyarakat Islam dan bukan Islam akan turut sama yakin kepada kebenaran Islam yang tertonjol jika mekanisme berhikmah ini berjaya direalisasikan dalam berhadapan dengan golongan yang memperjuangkan LGBT. Satu analogi yang sesuai untuk memahami mekanisme ini adalah LGBT ini boleh diumpamakan sebagai suatu penyakit yang kritikal. Jika kita tidak berhujah dan mengkaji dengan baik maka kita tidak akan tahu apakah jenis-jenis simptom yang akan membawa seseorang itu kepada penyakit tersebut. Maka sebab itu, jika dapat mengetahui simptom-simptom yang tepat maka kita juga mampu untuk menghindari simptom-simptom tersebut serta mencegahnya dari menular menjadi penyakit yang kritikal.

Gaya Romantisme

Gaya penulisan yang berunsur romantisme. Sehingga penulis yang mendokong pemikiran tersebut berjaya menyemai sedikit demi sedikit unsur-unsur penceritaan yang membawa kewajaran kepada pemikiran tersebut.

            Jika seseorang yang mempunyai pegangan asas Islam yang kukuh, sudah tentu apabila mereka melihat penulisan Irsyad Manji itu sarat dengan salah fahamnya terhadap Islam. Namun, apa yang menariknya disini adalah Irsyad Manji itu mempamerkan salah fahamnya itu dalam gaya penulisan romantisme dengan menceritakan pengalamannya sewaktu kecil dan rentetan beberapa ketidakadilan Muslim dalam kehidupan masyarakat.

            Seandainya umat Islam khususnya di Malaysia tidak diperjelaskan dengan baik benih-benih pemikiran yang akan membuatkan pemikiran batil yang sarat dalam buku Irsyad Manji itu, maka itu lebih membahayakan pemikiran umat Islam. Pihak bertanggungjawab tidak tampil dengan suatu mekanisme yang lebih kukuh bagi menyediakan benteng terhadap masyarakat Islam bagi menghadapi serangan pemikiran seperti yang dibawa oleh Irsyad Manji ini.

Golongan Yang Melihat Islam Dari Muslim

Irsyad Manji terus yakin memperjuangkan pemikirannya dengan pelbagai mekanisme seperti dialog, penulisan buku dan forum. Namun, pihak Barat yang lebih memberi ruang perbincangan ilmiah kepada terus membuatkannya selesa dan terus yakin untuk membawa perjuangannya itu tanpa sebarang pertentangan.

            Sepatutnya pada zaman dimana sesuatu pemikiran itu boleh tersebar pantas melalui beberapa saluran terutamanya internet, maka ruang untuk menjelaskan salah faham yang dibawa oleh Irsyad Manji itu dapat dipecahkan sedikit demi sedikit. Maka dengan itu mudahlah masyarakat Islam di Malaysia khususnya dapat berhadapan dengan mana-mana serang pemikiran dari pelbagai sudut.

Serangan Fizikal Tidak Menguntungkan Islam

Apabila dilihat kembali dalam beberapa video ucapan Irsyad Manji di laman Youtube, beliau menggunakan serangan-serangan yang diberikan oleh Muslim sebagai modal untuk terus menghentam Islam.

            Menghalang fizikal Irsyad Manji itu daripada datang ke Malaysia tidak sama sekali dapat menyekat penyebaran pemikiran liberal dan LGBT. Tambahan pula, kedatangannya itu adalah diundang oleh penerbit kepada terjemahannya bukunya iaitu ZI Publication.

            Seandainya diharamkan sekalipun buku tersebut daripada memasuki pasaran, penulisan Irsyad Manji itu masih lagi dapat dibaca melalui laman sesawang peribadinya iaituhttps://www.irshadmanji.com/.

Sikap Muslim Dalam Ruang Kebebasan Bersuara di Malaysia

Masyarakat Muslim perlu berhadapan dengan penuh strategi dengan meraikan ruang kebebasan suara yang selalu dicanang oleh golongan ini dengan mengajak mereka untuk berdialog dan berdebat.

            Berdialog dan berdebat dengan sesuatu pemikiran yang sememangnya jelas dengan Islam bukanlah bererti kita menghalalkan perbuatan mereka itu. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan kebatilan perjuangan mereka itu dan menjelaskan salah faham yang wujud dalam pemikiran mereka terhadap agama Islam.

            Apabila kita melihat kebelakangan ini pendokong Islam Liberal dan LGBT seringkali mengambil kesempatan dengan beralasan atas ruang kebebasan bersuara maka kita sendiri harus mengambil inisiatif yang lain dengan memanfaatkan kembali ruang kebebasan yang sering dicanangkan oleh mereka itu untuk menjelaskan kekeliruan yang wujud bagi perjuangan mereka itu. Setakat ini apakah langkah yang sudah diambil di Malaysia bagi menjelaskan ajaran Islam yang disalah tafsir oleh mereka selain daripada usaha kita mempertikaikan ruang kebebasan bersuara yang dicanang mereka itu?

Pemikiran Irsyad Manji Terbentuk Dari Kekeliruan dan Keegoan

Jika sesiapa dapat mengikuti kembali perdebatan Irsyad Manji vs As'ad Abu Khalil dalam FOX NEWS di laman Youtube, jelas pada suatu pertentangan yang diberikan oleh As'ad Abu Khalil kepada Irsyad Manji telah membuatkan Irsyad Manji terus berdebat dalam lingkungan keegoaannya sendiri tanpa mampu melampirkan bukti-bukti kukuh yang mewajarkan pemikirannya itu.

            Seperkara lagi, Irsyad Manji selama ini hanya bermodalkan beberapa rentetan kes yang melibatkan kepincangan sikap Muslim terhadap aspek keadilan untuk mengeneralisasikan (pukul rata) kepada sebahagian besar ajaran Islam. Maka disini, jika disedari kembali bahawa disisi ajaran Islam yang sebenar itu sendiri sebenarnya masih terdapat banyak hujah yang kukuh untuk meruntuhkan kembali salah faham yang telah wujud dalam pemikiran Irsyad Manji.

            Lantaran itu, dengan berhadapan melalui mekanisme berhikmah seperti berdebat dan berdialog dengan para alim ulama kepada tontotan umum maka jelaslah dengan mudah akan tertonjol kepada orang ramai bahawa pemikiran yang didokong oleh Irsyad Manji ini hanyalah satu kekeliruan yang berpaksikan keegoan.

*Penulisan lama yang mungkin boleh direnungkan bersama.

*Saya sedar penulisan ini mungkin mempunyai kekurangan tetapi kritiklah dengan berhikmah. Ampun maaf jika terkasar bahasa. Apa yang jelas, saya sama sekali tidak menyokong LGBT tetapi penulisan ini lahir daripada kesedaran untuk kita mengambil langkah yang lebih proaktif.


No comments:

Post a Comment