Wednesday 31 October 2012

Antara Mengenali dan Memahami Sahabat


Antara Mengenali dan Memahami Sahabat

            "Ana sendiri pun hairanlah. Sepanjang ana kenal sahabat ana selama 10 tahun, ana belum lagi mampu untuk mengajak untuk memahami Islam," luah rakan saya dengan penuh nada kecewa.

            "Kenal dan faham itu dua perkara yang berbeza," balas saya sebagai mukadimah.

            "Apa bezanya? Bukan sama ke?" soalnya dengan nada menduga.

            "Mestilah berbeza. Sebab tu enta jangan hairan jika persahabatan enta dengan sahabat enta selama 10 tahun itu belum cukup untuk enta berupaya mengajaknya menyertai program-program Islam, kuliah agama ataupun usrah," ucap saya menghuraikan perbezaannya.

            "Itulah ana pun jadi hairan," balasnya sambil mengusap janggutnya.

            "Jika kita sekadar kenal sahabat kita, kita akan duduk melihat karenahnya sahaja. Pada waktu dia berpelakuan buruk kita mengelak. Pada waktu dia berpelakuan baik kita menyenanginya. Itulah yang sekadar apa yang kita akan lakukan apabila hanya mengenali diri mereka. Berbeza pula apabila kita memahami sahabat kita. Pada waktu dia berpelakuan buruk kita akan bijak berhadapan dengan karenahnya itu untuk mengembalikan diri kepada perlakuan baik. Pada waktu dia berperlakuan baik, kita akan terus mendorong dirinya untuk kekal istiqomah dengan kebaikan yang dilakukan," terang saya lagi dengan huraian yang lebih mendalam.

Berusahalah memahami sahabat dengan melihat kehidupan mereka.

Kenalpasti Keadaan dan Reaksi

            "Jadi apa yang ana harus buat sekarang?" soalnya dengan penuh keruan.

            "Lepas ni enta fikirkan semula bagaimana hendak menguruskan kerenah sahabat enta tu. Kita perlu berstrategi dalam berkomunikasi dengan sahabat kita yang punya pelbagai macam kerenah ni. Perlahan-lahan enta kaji kerenahnya. Lihat kembali waktu bila dia akan berperlakuan baik dan waktu bila dia akan berpelakuan buruk."

            "Kenapa pula hendak dikaji kerenahnya?" soalnya untuk mendapat kepastian saranan saya itu.

            "Karenah yang ada pada sahabat kita itu hanya tindak balas terhadap keadaan yang mereka hadapi. Itu suatu yang normal. Sebagai contoh dalam keadaan sibuk, kita sendiri pun akan cenderung untuk merasa stres, marah dan sebagainya. Dalam keadaan tenang, kita akan lebih cenderung untuk merasa senang. Seterusnya, manipulasikan sahaja keadaan mereka. Kalau mereka sibuk, kita ajaklah mereka untuk tenang sebentar. Kalau berterusan sibuk, nanti dia akan cenderung untuk marah. Kalau mereka dalam keadaan lapang, ajaklah berbuat apa-apa aktiviti. Kalau berterusan, akan bosan dan sugul pulak nanti," terang saya dengan penuh bersemangat.

            Sahabat saya mengangguk faham.

            "Kemudian, pada waktu itulah enta boleh suntik kefahaman Islam pada dirinya. Sebabnya dia sudah melihat diri enta sebagai seorang sahabat yang memahami dirinya. Dia pun akan lebih senang jika bersama enta. Sedikit sebanyak imej kebijaksanaan yang tertonjol dalam kita berhadapan dengan kerenahnya akan membina suatu keyakinan untuk dia menyahut seruan kita," jelas saya sebagai kesimpulan dan juga sebagai suatu saranan.





No comments:

Post a Comment