Tuesday 30 October 2012

Sekularisme Dalam Dakwah



Sekularisme Dalam Dakwah

Kehidupan Itu Dakwah 

Dakwah itu suatu yang hidup. Ia tidak mati di pentas ceramah di masjid, surau atau kuliah. Selagi mana kita meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim, selama itulah dakwah hidup bersama kita. Sebab itulah muhasabah (proses mengkaji diri) mesti menjadi suatu kewajipan seharian kita supaya imej yang dibawa dalam kehidupan tidak mencemarkan Islam yang penuh dengan keindahan. Muslim itu duta bagi agama Islam.

           

            Sebelum pergi kepada persoalan yang lebih luas, molek kiranya kita memahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan dakwah. Dakwah itu adalah bermaksud menyeru, mengajak, menggalak dan mendorong. Lantas, akhlak di dalam kehidupan kita mestilah juga mempunyai elemen yang menyeru, mengajak, menggalak dan mendorong orang di sekeliling untuk memahami Islam.

            Dr. Yusuf al-Qaradawi pula, beliau mendefinisikan dakwah seperti berikut :

Dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.



Sekularisme Dalam Kehidupan

Kehidupan sebagai seorang Muslim itu sebenar-benar daya tarikan yang dapat membawa orang sekeliling agar lebih dekat dengan Islam.

            Jika kita lihat zaman sekarang, kehidupan masyarakat begitu banyak berpaling daripada mengikuti kebenaran Islam. Lantaran itu, sebaik-baik dakwah yang berhikmah adalah bermula dengan menunjukkan contoh kehidupan Muslim yang penuh dengan keindahan kepada mereka. Ini penting agar mereka tertarik untuk mengikuti teras Islam iaitu akidah Islamiyyah lantas berpaling daripada kehidupan taghut (sesuatu selain Allah SWT).

1.         Individu Muslim
2.         Keluarga Muslim
3.         Masyarakat Muslim
4.         Kerajaan Islam
5.         Negara Islam
6.         Empayar Islam
7.         Ustaziatul Islam (Islam tersebar seluruh alam)

Inilah 5 tahap yang boleh dimuhasabah kembali bagi mewujudkan sebaik-baik contoh pengaplikasian Islam yang sebenar dalam kehidupan supaya setiap daripada umat manusia dapat melihat dengan jelas begitu indahnya apabila ajaran Islam berpadu dengan kehidupan manusia. Lantas, ini menjadi suatu dakwah yang terbesar untuk mengajak kepada Islam yang sebenar.

Sekularisme Dalam Dakwah

Adalah menjadi suatu kesalahan apabila ada yang melihat dakwah dan kehidupan itu sebagai suatu yang terasing.

         "Macam mana hendak berdakwah, aku kan sibuk dengan projek untuk kursus pengajian. Tak ada masa nak berprogram," ujar seorang pelajar di sebuah universiti.
           
         "Saya sibuk dengan perniagaan. Bukannya nak berikan alasan, tapi anak isteri saya siapa yang hendak tanggung kalau bukan saya yang perlu membanting tulang mencari rezeki," ujar seorang peniaga yang sibuk dengan perniagaannya.

            Apabila tugas dakwah itu dilihat sebagai suatu yang terasing dalam kehidupan, secara tidak langsung kita telah mengamalkan sekularisme dalam kewajipan tugas dakwah. Inilah sekularisme yang sering kita amalkan tanpa disedari di saat kita mengeji ideolosi sekularisme yang diamalkan oleh pihak lain. Apa bezanya kalau golongan sekular itu mengasingkan persoalan kehidupan dari agama dan kita pula mengasingkan agama dari persoalan kehidupan. Sungguh! Ini suatu perkara yang berbahaya bagi pemikiran seorang Muslim.


No comments:

Post a Comment