Monday 1 April 2013

Baitul Muslim Yang Bertuhankan Allah SWT


Baitul Muslim Yang Bertuhankan Allah SWT


Menjaga Ikhtilat Sepanjang Pertunangan

Usaha untuk membina Baitul Muslim yang bertuhankan Allah SWT mestilah berbeza dengan bertuhankan  nafsu. Ini kerana apabila bertuhankan  Allah SWT, pergaulan diantara kedua-dua pasangan akan senantiasa terjaga daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

            Tanpa menafikan keperluan untuk membina sedikit sebanyak kefahaman diantara kedua-dua pasangan bagi melancarkan urusan penikahan, perlu dinilai tindakan yang dilakukan antara kehendak atau keperluan. Untuk hal ini, ianya janganlah disangka datang bergolek melainkan ianya perlu diusahakan dengan sebaik mungkin bagi menangkis sejauh-jauhnya godaan syaitan yang mahu menggelincirkan pasangan dari niat asal pernikahan mereka.

Pertunangan di sisi Islam adalah sama sahaja hubungannya sebelum berkahwin. Oleh yang demikian, orang yang bertunang masih dianggap ajnabi.

(Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).

Apabila hukum perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah sama sahaja sama ada sebelum bertunang atau setelah bertunang, maka mereka berdua haram untuk berkhalwat di tempat sunyi, mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan ke pasaraya, taman dsb. Dalam hal pertunangan ini, mereka tidak boleh mendakwa bahawa dengan keluar berdua-duaan itu akan lebih mengenali antara satu sama lain. Ini kerana, apabila mereka keluar berdua-duaan itu, biasanya mereka akan berlakon, dan tidak mempamerkan diri mereka yang sebenar.

(Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).

Kefahaman Keluarga Dalam Memudahkan Urusan Pernikahan

Kebiasaannya kita dinasihati untuk senantiasa mengingati Allah SWT supaya pemakaian yang dipakai menutup aurat dan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Tanpa menafikan kebenaran dan kebaikan nasihat tersebut untuk diamalkan di dalam kehidupan.

            Namun begitu, kebaikan itu tidak akan berfungsi jika tidak disokong oleh ibu bapa dari sudut untuk turut sama-sama mengamalkan nasihat yang mereka berikan kepada anak-anak dalam aplikasi yang berbeza.

            Oleh sebab itu, di saat emak ayah menyuruh anak-anak mereka ingat kepada Allah SWT agar terjaga aspek pemakaian yang menutup aurat dan menjaga batas pergaulan. Perlulah diingat juga oleh emak ayah untuk senantiasa ingat kepada Allah SWT tatkala anak-anak menyatakan keinginan untuk bernikah supaya urusan pernikahan tidak diberatkan dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syariat Islam.

            Apa yang jelas dan perlu diingat adalah pasangan tersebut mestilah mengutamakan Allah SWT dan Rasulullah SAW berbanding persepsi ibu bapa yang tidak berlandaskan syariat. Di sinilah titik perjuangan untuk turut sama membawa ibu bapa agar berjalan seiring untuk menjayakan tuntutan syariat Islam sangat penting untuk terus istiqomah.

*Kesimpulan, emak ayah dan anak-anak kenalah senantiasa ingat Allah SWT.

No comments:

Post a Comment