Sunday 7 April 2013

Lihatlah Diri Sebagai Seorang Pelajar


Lihatlah Diri Sebagai Seorang Pelajar


Sekiranya kita melalui perjalanan dalam kehidupan ini dengan melihat diri kita sebagai seorang pelajar supaya apabila berhadapan dengan ujian yang mendatang kelak, maka ujian itu akan dilihat sebagai suatu subjek pelajaran yang mesti dihadapi untuk meningkatkan lagi kemajuan diri di sisi Allah SWT.

            Walaupun Sultan Muhammad Al-Fateh sudah bergelar pemimpin yang memerintah sebuah kerajaan yang menguasai 1/3 dunia, namun sepanjang hidupnya sentiasa dipenuhi dengan aktiviti intelektual kerana beliau melihat dirinya sebagai seorang pelajar walaupun sudah bergelar sebagai pemimpin yang agung dengan gelaran "The Grand Signeur". Peribadi ini dinyatakan sendiri oleh seorang tokoh sejarawan Turki iaitu Prof. Halil Inalchik :


"Sultan Muhammad Al-Fateh pada awal pemerintahannya menunjukkan minat yang mendalam pada seni dan kebudayaan Itali selepas Renaissance. Sultan Muhammad Al-Fateh memang satu-satunya sultan Uthmaniah yang berwawasan jauh dan besar jiwanya. Semata-mata mahu belajar agama Kristian daripada mereka yang pakar, beliau memerintahkan paderi Gennadius bagi menulis risalah perihal agama itu kepadanya. Di dalam istananya, beliau mengumpulkan sarjana-sarjana Greek dan Itali bagi menulis mengenai agama Kristian seperti Amirutzes dan Trebizon, Critoboulus dari Imbros dan Ciriaco dari Ancona. Beliau mengarahkan Amirutzes mendapatkan untuknya peta dunia, menterjemahkan peta geografi Ptolemy dan menyediakan perpustakaan khas istana yang menyediakan karya-karya Latin serta Greek. Beliau menunjukkan minat kepada Gentile Bellini yang beliau bawa dari Venice bagi mencorak dinding Istana Uthmaniah dengan seni ukir Itali dan melukis potretnya sendiri. Berlinghieri pula membentangkan Geographia kepada Sultan Muhammad Al-Fateh manakala Roberto Valturio membentangkan De e military kepadanya. Demikian juga Giovanni Maria Felifo menulis sajak Amyris memuji Sultan Muhammad Al-Fateh."

            Apabila kita merasa diri kita berilmu, maka disaat itulah kita merupakan seorang yang bodoh. Bagi orang yang merasakan dirinya sudah cukup dengan ilmu, maka secara tidak langsung menyebabkan mereka berhenti daripada belajar. Sebagai suatu perumpamaan, apabila seseorang manusia apabila mereka dahaga akan mencari air. Begitu juga bagi orang yang merasa dirinya tidak berilmu, maka akan terus-menerus menuntut ilmu.

Ujian Menjadi Tekanan Hidup

Ramai diantara kita tidak menganggap peperiksaan itu sebagai tekanan hidup dalam fikiran mereka kerana meyakini bahawa ianya merupakan suatu proses untuk membuatkan mereka mendapat tingkatan pendidikan yang lebih baik. Daripada Diploma ke Ijazah, daripada Ijazah ke Master, daripada Master ke Doktor Falsafah. Walaupun pada realitinya, tergambar dalam kehidupan mereka ianya agak menekan. Bagaimana pula fikiran mereka terhadap ujian yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan mereka yang berada di luar bidang pengajian? Adakah mereka masih menganggap ianya suatu ujian ataupun tekanan hidup? Musibah? Bala?

            Itu sebabnya apabila kehidupan didatangi ujian, kerap kali mereka akan berasa tertekan kerana hanya melihat diri mereka sebagai seorang pelajar hanya apabila berada di dalam kuliah dan universiti sahaja. Sebaiknya anggaplah dunia ini merupakan suatu universiti yang mentarbiah diri bagi meningkatkan lagi status diri di sisi Allah SWT. Di saat itu, apabila ujian datang menjengah, maka kita akan melihatnya sebagai suatu pembelajaran. Tiada lagi tekanan dan tiada lagi jiwa yang tertekan. Kehidupan akan dilalui dengan penuh ketenangan.

            Apabila kita berhenti melihat diri kita sebagai seorang pelajar, maka disaat itu ujian mendatang akan membuatkan diri kita merasa tertekan.

1 comment: