Friday 5 April 2013

Budaya Menerima Nasihat


Budaya Menerima Nasihat

Makna Nasihat
Banyak orang menyangka bahawa nasihat hanyalah berbentuk kata-kata saranan, usul atau kritikan pedas yang disampaikan kepada orang lain. Namun, sebahagian daripada kita sukar untuk membezakan antara nasihat dengan celaan.

            Padahal sebenarnya, nasihat berasal daripada lafaz berbahasa Arab: 'an-nush' yang bermakna "ketulusan, keikhlasan dan bersih daripada kotoran." Madu yang 'nasih' ialah madu yang telah benar-benar bersih daripada campuran benda lain.

            Lafaz 'nasihat' yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis selalunya bermakna: menghendaki kebaikan untuk pihak lain.

            Al-Khattabi dan Ibn al-Atsir berkata: "Nasihat adalah sebuah kata yang mengukapkan keinginan agar orang lain mendapat kebaikan."[1]

            Jadi, nasihat sangat luas. Ia lebih luas daripada sekadar usul, malah meliputi semua perbuatan yang bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada orang lain.

Agama ialah Nasihat
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Tamim ad-Dari, Rasulullah SAW bersabda: "Agama ialah nasihat." Para sahabat bertanya: "Nasihat untuk siapa wahai Rasulullah?"

            Baginda menjawab: "Untuk Allah, rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang-orang awam mereka."[2]

            Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda : "Allah berfirman : Ibadah yang paling utama yang dilakukan oleh hamba-Ku ialah nasihat untuk-Ku."[3]

Menyusun Nasihat Dalam Kehidupan
Butiran nasihat itu boleh diumpamakan seperti batu-bata yang siap tersedia untuk disusun dan disemen menjadi suatu binaan yang memberikan manfaat. Tetapi bayangkan apa yang akan terjadi seandainya batu-bata tersebut dibiarkan selonggok disuatu sudut tanpa diambil untuk disusun menjadi suatu binaan yang kukuh lagi bermanfaat? Sudah tentu ianya suatu pembaziran yang besar. Begitulah juga halnya dengan nasihat yang kita peroleh di alam realiti sama ada dari rakan-rakan sekeliling, emak ayah dan seumpamanya secara lisan. Tidak kurang juga kita dengan teknologi yang serba canggih sekarang, ia membolehkan kita terdedah dengan seribu satu macam nasihat seperti di laman sosial Facebook, rakaman cerama agama di Youtube dan seumpamanya. Semua itu akan menjadi suatu pembaziran yang besar seandainya tidak disusun dengan baik. Mana yang hendak dijadi tapak asas binaan dan mana yang hendak dijadikan tiang penyokong. Semua itu memerlukan susunan agar semua nasihat tersebut dapat disusun dengan baik dan memberikan manfaat di dalam kehidupan. Inilah suatu perubahan budaya yang sedia ada iaitu budaya nasihat kepada budaya menerima nasihat. Disaat kehidupan kita dipenuhi dengan seribu satu macam nasihat saban hari, kini perlulah kita memfokuskan pula kepada budaya menerima nasihat.

            Nasihat itu bagaikan bata yang perlu disusun menjadi suatu binaan tangga untuk membolehkan kita menyusun langkah untuk meniti mendekati Allah SWT. Menjadi satu kerugian yang besar buat diri golongan muda seandai butiran nasihat itu tidak dikutip dengan cermat untuk dibina menjadi sebuah binaan yang berkekalan hingga ke akhirat.

Bersikap Wasatiyyah terhadap Nasihat
Ada pemuda yang memarahi orang menasihati mereka sehingga memaki kembali orang yang menasihati diri mereka dengan pelbagai macam celaan. Ini seringkali kita lihat di dalam laman sosial apabila golongan muda ditegur akan tingkah laku mereka dan juga penampilan yang menyimpang daripada syariat Islam.

            Ada pula pemuda yang menidakkan langsung nasihat yang diberikan dan didedahkan dengan tidak   menghiraukannya langsung. Baginya itu lebih menenangkan jiwa dan aman. Tiada yang mengganggu gugat untuk keinginan dirinya dilempiaskan dengan sepuas mungkin.

            Berlainan pula dengan pemuda yang bersikap wasatiyyah, mereka ini boleh dikategorikan sebagai golongan 'ulil albab kerana hanya melihat isi nasihat daripada melihat siapa yang menyampaikan nasihat. Tidak melampau untuk saya katakan, mereka ini merupakan golongan yang terdidik dan mudah belajar dari kritikan dan teguran.

            Boleh juga dikatakan pemuda yang bersikap wasatiyyah terhadap nasihat sebenarnya melihat nasihat, teguran dan kritikan atau hujah yang mempersoalkan tindakan-tindakan yang dilakukan mereka itu sebagai bahan api untuk terus bergerak dengan penuh bertenaga serta lebih baik. Mereka juga melihat nasihat sebagai pemacu untuk menjadi lebih baik daripada hari-hari yang lepas.

            Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa hari ini lebih baik dari hari kemarin, dialah tergolong orang yang beruntung, barang siapa yang hari ini sama dengan hari kemarin dialah tergolong orang yang merugi dan barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin dialah tergolong orang yang celaka.”



[1] Mukasurat 42, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Umar Muhammad Noor, Telaga Biru.
[2] Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no.196.
[3] Muka surat 43, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Umar Muhammad Noor, Telaga Biru.

2 comments:

  1. syukran atas perkongsian . teruskan berdakwah in many ways :D

    ReplyDelete
  2. ada orang dengar nasihat...pandangan orang..tapi susah nak terima..ego..nanti depa bidas balik sbb depa rasa depa lgi betul..dan ada jugak sstgh org..dia nasihat kita balik lepas kita ckp..tpi dia ckp prkara yg sama dgn apa yg kita ckp tadi =_=""

    ada jugak sstgh org yg yg bila kita brsembang , ckp sesuatu ..nasihat..depa tukar topik ke lain..org citer pasal dakhwah yg dsampaikn..tpi die dok citer pasal org yg mnyampaikn dakwah tu ..
    kenapakah begitu?

    ReplyDelete