Wednesday 3 July 2013

Akademik dan Perjuangan Islam


 Akademik dan Perjuangan Islam 


“Abang, bagaimana saya hendak membawa Islam ke dalam bidang pengajian saya?” soal Hafizudin kepada saya pada suatu malam di Pusat Islam UiTM Perak. Dia merupakan pelajar Semester 1 dan begitu bersemangat untuk berkongsikan nikmat Islam yang dirasainya dengan orang sekeliling. Wajahnya tatkala mengajukan soalan tersebut menunjukkan persoalan tersebut seperti puas difikirkannya sebelum ini. Seperti ada suatu kelegaan yang terpancar dari riak wajahnya.

“Senang sahaja. Adik pergi ke kelas tepat pada waktunya, siapkan kerja dengan penuh berkualiti, hormat dengan para pensyarah, amalkan bacaan doa sebelum dan selepas kuliah, jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan serta akhir sekali, bertawakkal kepada Allah SWT setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Itu merupakan perkara asas yang perlu dilakukan dengan penuh istiqomah untuk membawa Islam dalam bidang pengajian adik,” jawab saya dengan spontan dan bernada yakin.

Lagipun saya tidak mahu di awal pengajiannya, dia sudah melihat usaha perjuangan Islam dan usaha perjuangan akademik sebagai suatu perkara yang terasing. Sesungguhnya kedua-duanya saling berkait rapat antara satu sama lain. Seiringan dengan usahanya membawa Islam dengan cara sedemikian, akademiknya akan turut cemerlang. Lantas, akan menarik rakan-rakannya untuk mendalami Islam serta turut sama mencapai kehidupan yang penuh kecemerlangan. Semoga dia istiqomah dalam kemajuan berusaha menjayakan usaha tersebut.


No comments:

Post a Comment