Sunday 7 July 2013

Pernikahan - Antara Modal Kewangan dan Modal Insan

Pernikahan - Antara Modal Kewangan dan Modal Insan

Sejak kebelakangan ini, ramai dari kalangan rakan-rakan saya sudah mula aktif melakukan pelbagai usaha untuk melakukan persiapan mereka bagi membina rumahtangga. Pelbagai jenis kerja dilakukan untuk mencukupkan wang simpanan mereka bagi perbelanjaan pernikahan serta permulaan membina rumahtangga. Bagi pemerhatian saya, itu merupakan perkara asas yang perlu mereka usahakan untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan sedikit sebanyak menunjukkan kesedaran dalam diri mereka bahawa alam rumahtangga itu memerlukan kekuatan kewangan yang baik. Tetapi bagaimana pula dengan usaha untuk mengukuhkan kekuatan modal insan? Ini seharusnya ditekuni kembali supaya dapat menggalas tanggungjawab kelak yang menimbun di alam rumahtangga dengan penuh keseimbangan.



            Apabila menyentuh persoalan menjejakkan kaki ke alam rumahtangga dengan rakan-rakan sebaya, saya cenderung untuk mengajak mereka berfikir di luar kotak untuk tidak membiarkan mereka berfikir akan persoalan tersebut dengan cukup masak dan merenung persoalan tersebut dengan penuh bertanggungjawab. Jadi kebiasaan saya akan bawa perbincangan bagi persoalan tersebut dengan merujuk terhadap apa yang kebiasaannya dilihat di dalam masyarakat sekarang yang mana perlu diubah. Ini adalah kerana seboleh-boleh biarlah rumahtangga yang bakal dibina kelak menjadi pelonjak perubahan kepada masyarakat ke arah yang lebih sejahtera. Menjadi suatu tindakan yang bijak apabila kita melibatkan persoalan keperluan masyarakat dengan persoalan rumahtangga yang seringkali kita lihat sebagai persoalan peribadi.

            Antara persoalan keperluan masyarakat yang saya maksudkan adalah merujuk kepada keadaan masyarakat sekarang iaitu kebejatan gejala sosial yang melampau, keruntuhan akhlak, kepincangan pemikiran dan akidah serta pelbagai macam perkara yang menjadi bahan berita yang mencetuskan kerisauan besar pada diri kita. "Ini semua salah mak ayah. Tak pandai didik anak," respon yang biasa saya dengar apabila menyentuh persoalan tersebut. Tanpa menafikan wujud juga faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan tersebut, tetapi faktor didikan ibu bapa itu boleh dikatakan sebagai faktor yang utama dalam pembentukkan peribadi anak-anak mereka. Jadi siapa ibu bapa tersebut yang acap kali diucapkan jika bukan anak muda yang mempunyai keinginan untuk mendirikan rumahtangga pada waktu sekarang. Lantaran itu, persoalan modal insan bagi menjadi ibu bapa yang cemerlang kelak perlu ditekuni kembali.


            Bagi membina kekuatan dari aspek modal insan untuk bergelar ibu bapa yang cemerlang, seharusnya difikirkan asas didikan itu sendiri iaitu 'ilmu. 'Ilmu apa yang perlu ada untuk memberikan didikan yang cemerlang? Sudah tentu 'ilmu agama Islam. Keperluan untuk menguasai 'ilmu agama ini janganlah pula difikirkan seseorang itu perlu menjadi pak ustaz dan sebagainya. Tetapi syarat utama yang saya yakini bagi keperluan tersebut adalah seseorang itu harus mempunyai sifat ingin belajar, mengkaji dan berfikir yang tinggi untuk membolehkan perjalanan hidupnya di dalam rumahtangga kelak senantiasa dipandu oleh 'ilmu.

            Berdasarkan pemerhatian saya kepada realiti yang berlaku, ada sahaja ibu bapa yang sebelum bernikah dan sebelum mempunyai anak begitu bersemangat belajar 'ilmu agama, namun menjadi perlahan dan merudum tatkala apabila sudah mempunyai ramai anak. Lantas, keadaan tersebut menutup pemikiran emak ayah untuk mereka mendidik anak-anak mereka dengan penuh kefahaman dan hanya cenderung untuk sekadar memberikan didikan yang bernada arahan kepada anak-anak, lantas mewujudkan kepincangan dalam proses didikan.

            Sifat ingin belajar yang tinggi ini juga menjadi kunci utama dalam melengkapi diri antara pasangan kelak untuk mewujudkan suasana didikan yang baik kepada anak-anak. Kebiasaannya, apabila memasuki alam rumahtangga, banyak perkara yang kita tidak jangkakan akan berlaku pada diri pasangan kita. Sifat ingin belajar inilah yang menyelamatkan diri daripada dirundung rasa kecewa terhadap diri pasangan, kemudiannya membuatkan kita lebih berjiwa hamba dalam memberikan harapan kepada pasangan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik. Bertitik tolak dari sifat inilah yang kemudiannya membuatkan masing-masing berusaha untuk mempelajari mengenai diri pasangan dan akhirnya mampu untuk saling menguatkan diri dari pelbagai aspek kehidupan.

            Kesimpulan awal yang ingin saya ketengahkan dalam penulisan ini adalah setiap diri pasangan itu harus mempunyai sifat ingin belajar, mengkaji dan memahami yang tinggi untuk memboleh setiap ruang kehidupan yang bakal dilalui dengan penuh cabaran kelak dipandu oleh panduan 'ilmu. Sifat ini seharusnya diwajibkan ke dalam diri dengan sebaik mungkin seiringan dengan kehidupan yang dijalani.

            Harapan saya dalam penulisan ini adalah ia dapat menjadi suatu muhasabah untuk beberapa aspek keperluan yang mungkin kita terlepas pandang dalam berkejaran menuju ke arah hubungan yang halal.


            Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment