Friday 5 July 2013

Bulan Ramadhan Bulan Muhasabah Diri

Bulan Ramadhan Bulan Muhasabah Diri


Setiap orang senantiasa mencari suatu ruang dan masa untuk melakukan perubahan diri. Walaupun untuk berubah ke arah kebaikan itu tidak sama sekali tertakluk kepada ruang dan masa yang khusus, namun begitulah realiti yang sering berlaku dalam kehidupan seseorang itu. Tidak lama lagi kita semua akan menginjakkan kaki melangkah ke bulan Ramadhan untuk menjalankan ibadat wajib puasa.

            Ramadhan menjadi bulan muhasabah yang mustajab kerana pada bulan yang dimana seluruh umat Islam diwajibkan untuk berpuasa, maka seharusnya ibadat puasa itu mengaktifkan suatu kesedaran di dalam diri untuk turut sama merasai apa yang dirasa oleh umat Islam yang hidup dalam keadaan serba susah. Kesedaran ini akan membuatkan hati kita berada pada suatu tahap yang membuat ruang minda kita untuk berfikir akan kehidupan yang dilalui oleh saudara kita yang lain.

            Bulan Ramadhan ini boleh sahaja dikatakan sebagai bulan yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk beramal soleh dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Jadi seharusnya ia dilihat sebagai bulan untuk mengumpul suatu momentum ataupun tenaga bagi melonjakkan diri menuju kebaikan dengan penuh istiqomah bagi bulan-bulan yang bakal menyusul selepas bulan Ramadhan.

            Semoga kita penghayatan kita terhadap bulan Ramadhan meningkat seiring dengan cara pandangan kita terhadap bulan Ramadhan itu sendiri sebagai bulan untuk meningkatkan amal ibadah. Ini penting agar bulan Ramadhan berfungsi dengan sebaiknya untuk mengaktifkan sebuah fasa kehidupan yang lebih sejahtera selepas berlalu bulan Ramadhan. Janganlah pula dibiarkan bulan Ramadhan itu berlalu pergi tanpa memberikan sebarang kepada kehidupan kita kelak.

            Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment