Wednesday 31 October 2012

Berusaha Mencari Keikhlasan



Berusaha Mencari Keikhlasan

            "Wah, Suryani sudah tutup aurat. Cantik betul dia bertudung labuh dan berbaju kurung. Betul tak Zaki ?" soal Izzati. Seperti biasa pasti Izzati akan datang ke tempat Zaki untuk berborak. Zaki hanya mampu menjarakkan kerusinya sahaja. Sudah berapa kali dipesan untuk menjaga batas pergaulan, masih lagi tidak faham. Pensyarah pula belum lagi masuk.

            "Mestilah cantik. Sebab itu Islam menuntut umatnya menutup aurat dengan sempurna. Engkau pula bila lagi hendak tutup aurat?" soal Zaki sambil tersenyum lebar. Sudah berapa kali soalan itu disoalnya. Ada sahaja alasan yang diberikan Izzati.

            "Nantilah Zaki. Kalau hati tidak ikhlas menutup aurat, sia-sia sahaja. Biarlah aku betul-betul ikhlas hendak menutup aurat." balas Izzati.

            "Ikhlas itu tidak datang bergoleklah. Tuan punya badan yang perlu berusaha untuk mencapai keikhlasan dalam menjalankan tuntutan agama." jelas Zaki. Pokok perbincangan mereka berdua sudah semakin jelas.

            "Hendak ikhlas pun perlu berusaha ke?" soal Izzati dengan penuh kehairanan.

            "Ikhlas itu bermaksud sesuatu kehendak ataupun niat yang disandarkan semata-mata kerana Allah SWT. Mungkin pada awal menutup aurat itu disebabkan ibu bapa yang suruh ataupun kita sendiri yang memaksa diri untuk menutup aurat tetapi semua itu adalah permulaan untuk kita mencapai keikhlasan."

            "Boleh ke memaksa diri untuk ikhlas? Bukankah ikhlas itu lahir daripada kerelaan diri?" soal Izzati dengan dahinya yang berkerut seribu.

            "Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Ianya menuntut pelbagai usaha bagi mencapainya. Setiap usaha pula pasti bermula dengan keterpaksaan. Kata bijak pandai, orang yang berjaya akan memaksa dirinya untuk berubah dan orang yang gagal hanya berubah apabila terpaksa." jelas Zaki dengan penuh bersemangat. Peluang untuk memberikan kefahaman kepada rakannya itu tidak patut dipersiakan dengan hujah yang hambar.

            "Jadi selama ini aku tersilaplah dalam melihat maksud keikhlasan yang sebenar." Izzati terdiam seketika lalu menyambung kembali bicaranya. " Tapi sempat lagi ke aku hendak berubah dengan keadaan aku sekarang?" soal Izzati dengan penuh nada kecewa. Dia hanya mampu tertunduk malu dengan jawapan yang diberi oleh Zaki itu.

            "Setiap waktu yang masih ada sekarang merupakan kesempatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Hargai kesempatan ini sebaik mungkin dengan berubah menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Bertaubatlah dengan kesalahan yang lalu kerna Allah SWT itu Maha Pengampun. Keluasan rahmatNya lebih luas berbanding dosa yang kita lakukan." pesan Zaki sambil membuat kesimpulan bagi hujahnya.

            Pensyarah mula melangkah masuh menandakan waktu kuliah akan bermula. Perbualan mereka berdua walaupun singkat tetapi sungguh bermakna untuk difikirkan. Apa yang penting, terus beristiqamah dalam memberikan kefahaman kepada rakan-rakan yang mungkin salah faham akan maksud PERUBAHAN.


Majulah memburu hidayah Ilahi.

Keikhlasan itu sesuatu yang berharga. Jadi bagi mendapatkannya, kita perlu berusaha walaupun kita perlu bermula dengan keterpaksaan.


1 comment:

  1. Ikhlas,tiada indicator tertentu untuk mengukurnya.Allah jualah yang berhak menilai.Mahalnya harga sebuah keikhlasan,sangat.

    ReplyDelete