Monday 29 October 2012

Ibu Bapa, Anak dan Dakwah


Ibu Bapa, Anak dan Dakwah


"Abah, kenapa kakak tu tak pakai baju macam ummi?" soal si anak jiran sebelah kepada ayahnya sambil menunjuk kearah jiran saya yang berhadapan dengan rumah. Mereka itu pelajar perempuan yang menyewa rumah di situ.

          Ketika itu, saya sedang sibuk mengibas-ngibas baju untuk dijemur di perkarangan rumah. Mungkin ketika itu si ayah hendak menghantar anaknya ke kelas KAFA yang diadakan pada sebelah petang dan menghantar isterinya ke tempat kerja.

          "Ummi pakai macam tu sebab ikut perintah Allah," balas ayahnya dengan ringkas.

          "Akak tu pakai macam tu ikut perintah siapa pula abah?" soal si anak lagi.

          Puas jugak si ayahnya nak memikir apa yang jawapan yang hendak dijawab sampaikan dahinya berkerut seribu.

          "Err...mungkin akak tu tengah berusaha untuk menutup aurat," ucap ayahnya yang kelihatannya berusaha untuk memberikan jawapan yang lebih molek.

          "Ummi dulu mesti macam akak tu kan ayah?" soal anaknya lagi.

          "Err...a'ah. Ummi pun berusaha macam akak tu juga dulu," balas ayahnya ringkas.





Ajar Anak Bersangka Baik

Perbualan si anak jiran dan ayahnya itu sedikit sebanyak mengajarkan saya suatu perkara yang boleh dijadikan pengajaran apabila sudah mempunyai anak kelak. Bersangka baik! Itu yang terdetik dalam fikiran saya apabila mengenangkannya kembali. Cukup sahaja dengan mendidik pemikiran anak-anak bersangka baik ianya akan menemukan mereka dengan seribu satu macam kebaikan yang lain.

          Ini mengingatkan saya kepada suatu hadis yang dibaca dalam Himpunan Hadis Modal Insan, Jilid 2 karya Dr. Zulkifli Al-Bakri yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Terdapat dua sifat yang tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripada kedua-duanya dari sudut kebaikan, iaitu baik sangka kepada Allah SWT dan baik sangka kepada hambaNya, manakala dua sifat yang tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripada kedua-duanya dari sudut kejahatan ialah buruk sangka kepada Allah SWT dan buruk sangka kepada hambaNya."

          Memadailah jika anak-anak di waktu kecil mereka didik pemikiran dahulu untuk bersangka baik. Kemudian nanti, apabila mereka menginjak dewasa maka sifat bersangka baik itu akan disusuli dengan tindakan yang baik. Seterusnya, mewujudkan kehidupan yang lebih baik dengan masyarakat sekeliling.


Sangka baik > Tindakan baik > Kehidupan baik >Terbaik!


2 comments:

  1. Alhmadulillah...perkongsian menarik..pengajaran dri setiap ap yg b'laku dalm kehidupan...m'bimbing kita untuk truskan khdupan mengikut jalan yg benar/syariat yg tlh ditetapkan..:)

    ReplyDelete