Thursday 1 November 2012

Pendakwah Itu Bukan Nabi


Pendakwah Itu Bukan Nabi

Apabila digelar sebagai pendakwah, kedengarannya seperti kerja dakwah itu mempunyai pengkhususan kerja yang tersendiri. Apa-apa pun yang pastinya, kerja dakwah itu merupakan tugasan yang tidak mempunyai pengkhususan. Ia suatu tugas yang menjadi tanggungjawab bagi sesiapa sahaja yang bergelar Muslim.

            Tetapi mungkin seseorang itu akan dilihat sebagai pendakwah kerana usahanya yang cemerlang dalam menyebarluas agama Islam kepada orang sekeliling. Mereka itu kebanyakkan bergiat aktif dengan pelbagai jenis program seperti halaqah, usrah, kuliah agama, ceramah dan forum. Ditambah pula dengan gelaran ustaz yang diberikan oleh masyarakat kepada mereka.

            Namun begitu, ada suatu titik persamaan antara kita dengan mereka iaitu kewajipan berdakwah itu adalah kewajipan setiap Muslim.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.
Surah Ali Imran, Ayat 104

Baikilah Apa Yang Terzahir   

Janganlah sekali-kali mata kita melihat mereka seperti seorang yang maksum untuk terus sahaja dilempar jauh dari senarai rujukan kita. Mereka punya kekurangan dalam menyatakan kasih sayang pada umat Islam yang kian jauh dari Islam itu sendiri. Perbaikilah pendekatan mereka jika ia tidak Islamik tetapi usah dipersenda niat mereka untuk mengajak umat manusia kepada Islam.

            Niat tidak menghalalkan cara. Itu benar. Tetapi jangan dek kerana kekurangan yang ada pada cara itu terus dipersendakan niat baik mereka.

            Tambahan pula, niat seseorang itu berada di luar ruang kemampuan kita. Ruang kemampuan kita hanya pada apa yang terzahir iaitu cara mereka mungkin ada kekurangan dalam menyatakan niat baik di hati mereka. Baikilah apa yang terzahir di hadapan mata kita supaya ianya lebih menepati nilai-nilai Islam dan yang paling penting adalah berhikmah buat mereka yang diseru.

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.
Surah An-Nahl, Ayat 125
Menguatkan Diri
            "Kalau aku ajak orang buat baik, aku mestilah terlebih dahulu mengamalkan yang aku serukan kepada orang lain," detik di dalam hati apabila menyiarkan nasihat, penulisan dan link bermanfaat kepada rakan-rakan di dalam Facebook.

            "Hidup ni kita perlu lebih bermujahadah dalam menguruskan nafsu agar kehidupan kita tidak dikuasai nafsu," pesan saya kepada seorang sahabat yang meminta nasihat. Lantas, kata-kata itu turut sama menguatkan diri saya juga untuk bermujahadah. Mungkin sahabat-sahabat lain turut merasakan perasaan ini apabila kita mengucapkan sesuatu kebaikan kepada orang lain.

            Begitulah kesannya kepada diri sesiapa yang berdakwah akan sesuatu kebaikan. Adakalanya, mereka mendapatkan kekuatan untuk mengamalkan seruan dakwah itu apabila berdakwah kepada orang sekeliling.

Seperti mana kamu mengharapkan sahabat yang menegur itu memahami diri kamu perlu mengambil masa untuk berubah, kamu juga perlu memahami sahabat yang menegur itu juga mengambil masa untuk membaiki kualiti tegurannya.






No comments:

Post a Comment