Wednesday 13 March 2013

JIWA KOSONG : KEKOSONGAN ITU PERLU DIISI


JIWA KOSONG : KEKOSONGAN ITU PERLU DIISI


Kadangkala dalam kehidupan kita akan diselubungi oleh perasaan kosong. Kosong dari semangat untuk memulakan kehidupan. Kita merasakan kehilangan kaki untuk melangkah menjalani kehidupan sedangkan zahirnya kaki kita masih lagi ada. Jalan-jalan yang hendak dilalui pula kelihatan makin kabur dari masa ke semasa. Semakin hilang dari pandangan. Akhirnya, sampai suatu tahap jiwa kita meronta-ronta mencari sesuatu bagi mengisi kekosongan tersebut. Apa yang pastinya kekosongan tersebut tidak boleh dimusnahkan melainkan diisi dengan sesuatu. Apakah sesuatu itu? Sesuatu itulah yang membuatkan ramai orang melakukan pelbagai macam perkara.

            Ada yang memanjat gunung.

            Ada yang menconteng dinding sepuas-puasnya.

            Ada yang berjalan ke pelbagai ceruk tempat.

            Syukurlah buat yang melalui jalan pencarian yang betul dan celakalah bagi yang terjerumus ke jalan pencarian yang semakin menjerut harapan kehidupan.

            Namun, di akhir pencarian sesuatu itu masih sahaja seseorang itu merasakan ruang kosong itu wujud di dalam dirinya. Tanpa menafikan, hampir semua daripada kita merasakannya sampaikan suatu waktu ia menjerut harapan untuk terus hidup. Bagi yang tumpas dikuasai ruang kosong itu, mereka cenderung membunuh diri. Pada fikiran mereka, ruang kosong itu dapat dimusnahkan dengan membunuh diri. Mencabut nyawa sebelum panggilan ajal dari Ilahi.

            Sungguhpun ruang kosong itu pada zahirnya seperti terisi, tetapi dek kerana berjauhan dengan sesuatu yang sepatutnya mengisi ruang kosong tersebut, maka mereka terus-terusan merasa kewujudan ruang kosong tersebut.

            Jadi apakah yang sepatutnya mengisi ruang kosong tersebut? Aku sendiripun masih mencari yang mana aku sendiri tidak mampu mengungkap pencarian tersebut dalam bentuk apa.

            Semoga terus diberikan kekuatan oleh Ilahi.

1 comment: