Thursday, 7 March 2013

Sifat Penting Diri Sendiri : Antara Dunia dan Akhirat


Sifat Penting Diri Sendiri : Antara Dunia dan Akhirat


Ada yang mementingkan diri sendiri dengan berpakaikan mendedahkan aurat dan membalut aurat di khalayak ramai. Mereka hanya mahu memuaskan kehendak diri mereka untuk berfesyen dan memenuhi kehendak diri yang mahu dipandang umum sebagai seorang yang mempunyai potongan bentuk badan yang cantik dan menggoda. Akhirnya, sifatkan pentingkan diri sedemikian rupa menatijahkan unsur-unsur yang mendorong kearah maksiat tumbuh subur sehingga menyebarluaskan jenayah rogol, buang bayi dan pencabulan. Ini dikategorikan sebagai mementingkan diri di dunia sahaja.

Dari penjuru yang lain, ada yang mementingkan diri dengan menutup aurat dengan sempurna dan menjaga dengan bersungguh-sungguh (mujahadah) dalam batas pergaulan. Mereka terlalu mementingkan diri dengan tidak mahu disentuh langsung oleh api neraka di akhirat kelak dan menerima seksaan api neraka yang Maha Pedih. Akhirnya, sifat pentingkan diri sedemikian rupa menatijahkan unsur-unsur keharmoniaan di dalam masyarakat dengan mengurangkan kadar jenayah rogol, buang bayi dan pencabulan. Ini pula dikategorikan sebagai mementingkan diri sehingga ke akhirat kelak.

Sekarang fikirkanlah, sifat pentingkan diri kita itu mengarah ke mana? Di dunia sahaja ataupun berpanjangan ke akhirat?

#Persoalan aurat itu merupakan salah satu contoh yang difikirkan sesuai dalam membawa pengertian disebalik tajuk yang diletakkan. Wallahu’alam.

Monday, 4 March 2013

Cinta Ilmu Membawa Penguasaan Bahasa


Cinta Ilmu Membawa Penguasaan Bahasa

Untuk seketika saya memikirkan kembali tindakan saya membeli hampir 21 buah buku bahasa Inggeris adalah kerana mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Saya perlu tahu selok belok sejarah Eropah sehingga membawa kepada pembentukkan pemikiran Barat yang sarat dengan pelbagai jenis ideologi yang tersebar luas di seluruh dunia pada era globalisasi ini.


21 buku dari susunan diatas merupakan buku bahasa Inggeris yang berkisar tentang sejarah Eropah terdahulu yang dijadikan 'alat latihan' untuk mendedahkan diri saya kepada bahasa Inggeris yang lebih akademik dan tersusun tatabahasanya.

Lantas, semangat ingin tahu ini menyebabkan semangat untuk belajar bahasa Inggeris yang kebanyakkan mencatat fakta sejarah dunia semakin bertambah. Sedikit demi sedikit saya menyusun usaha untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris agar lebih kemas dalam pembacaan yang akan datang.

Ini membawa saya teringatkan  kembali kenapa ramai ilmuwan Islam pada zaman kegemilangan Islam dapat menguasai pelbagai jenis bahasa seperti bahasa Arab, Parsi, Urdu, Latin dan seumpamanya. Mungkin semangat ingin tahu yang menjadi batu loncatan kepada ilmu telah menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai macam penguasaan bahasa dari aspek pengucapan dan penulisan sehingga mampu menghasilkan pelbagai jenis karya dalam bahasa asing.

Friday, 22 February 2013

Pentaksub Buku


Pentaksub Buku


Biarlah usia muda aku digelar sebagai pentaksub buku asalkan aku tidak terpalit dengan gelaran pentaksub hedonisme(hiburan melampau).

         Aku tidak mahu sekadar mengharapkan untuk kerajaan menjalankan kempen budaya membaca bagi tujuan menyemarakkan budaya membaca di kalangan masyarakat yang pada hari ini berada pada tahap yang rendah. Tetapi, aku melihat diriku sebagai sebahagian daripada masalah untuk masalah tersebut.

        Aku mengambil inisiatif untuk menjual buku yang menjadi keperluan masyarakat membacanya dan bukan sekadar membacanya untuk diminati. Membaca bahan bacaan yang diminati dan diperlukan merupakan dua perkara yang berbeza.

          Aku berusaha menulis buku untuk berusaha melontarkan solusi yang diperlukan oleh realiti semasa.

         Aku menjalankan usrah dengan membedah pelbagai macam buku yang diperlukan oleh jiwa muda mereka.

         Aku memberikan tazkirah yang berbentuk perkongsian isi dan bahan bacaan yang aku baca dari buku-buku koleksi yang aku ada .

        Biarlah aku digelar sebagai seorang berbangga dengan usaha aku itu yang mana lebih baik daripada aku sekadar berbangga dalam mengucapkan atau meminta orang lain berusaha.

#Tulisan yang ditaip oleh rakanku Taufiq Alhakim di saat aku keletihan menaip tetapi mulut masih mampu berbicara ...

Thursday, 14 February 2013

Harapan Yang Berbaloi


Harapan Yang Berbaloi



            "Enta yakin tak?" soalnya berulang kali dengan penuh bersemangat. Itulah soalan yang diucapkan oleh naqibku sehingga menjadi zikir setiap kali ingin mendorong melakukan sesuatu perkara.

            Kini aku mula memikirkan kembali apa yang sering diucapkannya buat diriku. Banyak perkara sebenarnya boleh dihuraikan jika difikirkan sedalam mungkin.

            Manusia itu makhluk kepercayaan. Manusia bergerak di atas kepercayaan mereka. Kalau disoroti kembali perjalanan sejarah manusia. Banyak binaan yang berdiri menegak ke langit adalah berdasarkan kepada kepercayaan yang mereka pegang. Piramid di Mesir berdiri dek kerana kepercayaan mereka yang meyakini kebangkitan ruh di suatu alam sunyi. Masjid-masjid berdiri dek kerana kepercayaan umat Islam untuk beribadah kepada Allah SWT. Gereja Notredame di Perancis berdiri dek kerana kepercayaan masyarakatnya terhadap Gereja Katolik. Begitulah juga dengan diri kita yang mahu membina sesebuah kejayaan di dalam kehidupan; kepercayaan dan keyakinan mesti dicas dari masa ke semasa dengan seribu satu macam dorongan yang membina dan mengukuhkan kepercayaan yang sedia ada agar menjadi suatu keyakinan yang tidak boleh digugat dengan cabaran semasa.

            Berbaloi rasanya menaruh harapan bagi seseorang yang mempunyai semangat ingin belajar, semangat ingin tahu (inkuiri), semangat mahu berubah ke arah kebaikan dan seumpamanya. Ini kerana kita yang menaruh harapan ini yakin bahawa dengan sifat-sifat yang demikian akan membuat harapan-harapan yang sedemikian dapat direalisasikan. Tambahan pula, harapan yang disandarkan itu boleh dikatakan hanya sekadar sentuhan motivasi ataupun suntikan semangat untuk si pemilik tubuh itu merealisasikan harapan yang disandarkan itu. Kurang sekali dirasakan sebagai suatu kerugian untuk memberikan harapan bagi seseorang yang punya ciri-ciri yang sedemikian rupa. Maksudnya saya cuba gambarkan dalam suatu perumpamaan;

"Seandainya hati berkehendakkan mendaki Gunung Everest, mudah saja untuk didaki Gunung Kinabalu. Tetapi kalau sekadar berkehendakkan mendaki Gunung Kinabalu, maka diri hanya sekadar mampu mendaki Gunung Jerai."

            Mungkin disisi orang lain mereka melihat diri yang berpegang dengan konsep ini seperti seorang yang terburu-buru dan tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Namun, buat diri yang berpegang kepada konsep ini, ianya hanya sekadar pembakar semangat untuk menggerakkan anggota tubuh untuk terus bekerja dengan penuh bersemangat. Jauh sekali untuk bersikap melampau. Tetapi ianya mungkin dilihat melampau dek kerana ianya melampaui adat gerak kerja yang sedia ada, sedangkan melampau yang dilarang Islam adalah sikap melampau yang melanggar syariat. Kesimpulannya, bersikaplah 'melampau' asalkan berada dalam ruang lingkup syariat.

Wednesday, 13 February 2013

Indahnya Berdakwah


Indahnya Berdakwah


Dakwah Islamiyyah tersebar bukan dengan paksaan. Indahnya bukan sekadar pada rupa luaran, tetapi jauh lebih penting daripada itu isi dakwah yang diserukan. Menyeru agar mengenal Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Agung iaitu Allah SWT. Oleh sebab itu, ternafi sama sekali dakwaan Islam itu datang secara paksaan dan gertakan. Isi yang sangat menarik menjadi teras utama untuk menggamit jiwa insan yang fitrahnya dengan Ilahi.

Erti Hidup Pada Memberi dan Menerima
Usaha dakwah ini bukannya persoalan memberi sahaja tetapi ia sebenarnya secara tidak langsung turut bersifat memberi kepada diri seseorang pendakwah itu juga. Bayangkan seandainya seseorang pendakwah itu berhadapan dengan mad'u (sasaran dakwah), kebiasaannya mereka akan berhadapan pelbagai macam cabaran dalam bentuk cemuhan, pemulauan dan seumpamanya untuk menyampaikan isi dakwah, namun daripada itu secara tidak langsung hati pendakwah sudah terpupuk sedikit demi sedikit meyakini terhadap apa yang diserunya itu.

            Oleh sebab itu, tidak timbul persoalan seseorang pendakwah itu kelelahan dalam perjalanan usaha dakwahnya kerana pada ketika itu dakwah yang diseru itu turut diterima oleh dirinya. Alangkah bahagianya kehidupan buat orang yang hidupnya senantiasa sibuk dengan usaha dakwah kerana dengan itu hatinya senantiasa dilitupi keyakinan yang teguh terhadap apa yang diserunya itu.

Menyebarkan Cinta Ilahi
Pendakwah itu penyebar cinta Ilahi. Pendakwah bagaikan orang tengah yang menjadi penghubung manusia sekeliling untuk terus membina tautan cinta mereka dengan Ilahi. Besarnya tugas seorang pendakwah. Seperkara lagi, perkara yang sungguh membahagiakan untuk seorang pendakwah adalah kehidupannya senantiasa akan dipenuhi dengan elemen-elemen kecintaan buat Ilahi. Ini bertepatan dengan apa yang terdapat dalam suatu hadis,

Rasulullah SAW pernah bersabda :
Jadilah penyeru Islam tanpa berkata-kata . Para sahabat bertanya, "Wahai utusan Allah, seperti apa sifatnya menyeru Islam tanpa kata-kata?" Rasulullah SAW menjawab, "Dengan sikap baik dan kemuliaan akhlak kamu."
Hadis Riwayat an-Nasai': 4301

            Elemen-elemen kecintaan buat Ilahi yang disemai melalui amalan kehidupan seharian dengan sikap yang baik dan kemuliaan akhlak akan lebih membekas di dalam hati mad'u (sasaran dakwah). Ini melengkapkan lagi ucapan cinta Ilahi yng diucapkan buat mereka. Begitulah keadaannya dakwah yang ditujukan buat diri yang bergelar insan.

Tuesday, 12 February 2013

Titipan Kasih Buat Sahabat

Titipan Kasih Buat Sahabat


Terlantar aku di dunia fana',
Sejak lahir dari alam rahim,
Berdikit-dikitku bertatih mampu,
Terdorong dengan naluri insani,
Naluri yang berfitrahkan Ilahi,
Insan dan Allah berpisah tiada,
Insan kerdil ini senantiasa berharap pada Ilahi,
Tanpa Ilahi bagaikan hidup di gurun yang kering kontang,
Tiada air walaupun setitik untuk diminum,
Tanpa Ilahi bagaikan bernafas di ruang vakum,
Tiada oksigen bagi dibuat bernafas,
Keperluan insani inilah yang membuatkan diri kerdil ini terus berjuang,

Di suatu persimpangan sepi,
Sepi dari kepekatan jahiliah,
Allah pertemukan diri hina ini dengan sekelompok manusia,
Mereka ini pemuda pemudi yang bernafaskan semangat Islam,
Tatkala ku bersama mereka,
Dapatlah juga aku menghilangkan dahaga ilmu,
Membekal udara dari biah solehah,
Menenangkan hati dari kepekatan jahiliah yang bertali arus,
Melapangkan fikiran dari kelemasan dunia,

Walaupun ada waktu waktunya bertelingkah,
Semua itu disantuni sebagai suatu sunnatullah bagi perjuangan ini,
Memadai dengan sekadar menyantuni dengan penuh berakhlak insani,
Kasih sayang,
Cinta,
Kesantunanan bersulam ukhuwah,
Ubat mujarab buat mengubati kelelahan itu.

Perjalanan terus berlangsung,
Zaman terus sambung-menyambung,
Harapan akhir bagi perjalanan panjang ini,
Bertuhankan Ilahi itulah yang membariskan kami dalam saf yang sama,
Agar akhirnya sama-sama berdiri dalam baris yang satu,
Seiringan menghadap wajah Ilahi,
Di negeri asal akhirat sana.


Thursday, 10 January 2013

Memberikan Nilai Akhirat Dalam Kehidupan Dunia


Memberikan Nilai Akhirat Dalam Kehidupan Dunia


Seseorang itu akan menjadi bijaksana apabila mampu memberikan nilai akhirat dalam setiap urusan kehidupannya.

Acapkali hawa nafsu yang menghapuskan nilai akhirat di dalam kehidupan dunia. Lantas, kehidupan dunia itu berlangsung dalam kepompong kejahilan dan kebinasaan. Akhirnya, sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu tidak mempunyai keberkatan (kebaikan atau manfaat) yang berpanjangan untuk digunakan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Mungkin beberapa muhasabah (mengkaji diri sendiri) terhadap contoh-contoh dibawa dapat menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan memberikan nilai akhirat dalam setiap urusan kehidupan. Berikut merupakan beberapa jenis contoh :

·         Jika diri kita dihinggap rasa cinta, jadi bagaimanakah mahu diberikan nilai akhirat pada rasa cinta itu? Sudah tentunya dengan menyalurkan rasa cinta itu dengan saluran syariat iaitu dengan pernikahan. Lantas, diri kita tidak akan sama sekali dilanda kebinasaan dek kerana perasaan cinta tersebut.

·         Jika diri mempunyai seribu satu macam harta benda yang mewah, jadi bagaimanakah mahu diberikan nilai akhirat pada harta itu agar ianya bukan sekadar membawa kemewahan dunia tetapi berpanjangan menjadi kemewahan akhirat?

·         Jika diri seorang pelajar, jadi bagaimanakah mahu memberikan nilai akhirat kepada pengajian yang diambil? Nilai akhirat akan melekat selama mana pengajian itu berlangsung tanpa melanggar batas syariat.

Inilah sedikit perkongsiaan yang mana saya fahami sepanjang memperkatakan mengenai apa yang dimaksudkan dengan memberikan nilai akhirat dalam kehidupan di dunia ini.