Thursday 15 November 2012

Ingat Mati, Panjang Akal


 Ingat Mati, Panjang Akal

"Apa persiapan yang kita lakukan sekarang kalau esok ataupun sekejap lagi kita meninggalkan dunia," ucap Hakim pada suatu pagi sewaktu duduk di tangga masjid seusai mengerjakan solat subuh berjemaah.

            "Kenapa tiba-tiba sahaja engkau bercakap tentang mati? Engkau okey ke?" soal Haikal dengan nada penuh terkejut dengan apa yang diucapkan Hakim.

            "Bukan apa, Haikal. Apabila aku mengingati mati sejak kebelakangan ini, ia membuatkan aku berfikir banyak perkara yang aku lakukan dalam kehidupan yang lepas," balas Hakim dengan penuh kesedaran.

            "Engkau ini membuatkan aku takut sahaja. Tiba-tiba bercakap pasal mati," ucap Haikal.

            "Kenapa pula hendak ditakutkan mati sedangkan ianya suatu yang pasti," balas Hakim.

            "Yelah. Semua yang hidup pasti akan mati. Tapi cukuplah kita teruskan hidup sahaja. Tak perlulah nak fikir sampai macam tu sekali Hakim. Ajal maut di tangan Allah. Kita hambaNya mampu mempersiapkan amal ibdah untuk menghadapi kematian sahaja," ujar Haikal.

            "Aku bukannya nak menakutkan engkau Haikal. Mengingati mati itu bukan sekadar menimbulkan ketakutan sahaja tetapi untuk cas kembali iman di hati. Kalau kita sering mengingati mati, ia akan menghidupkan hati kita melakukan amal ibadah. Kalau kita hanya melakukan amal ibadah tanpa mengingati mati, nanti kita akan mengerjakan ibadah dengan hati yang lalai. Ibadah jadi hambar," balas Hakim.


Ingat Mati, Menghidupkan Hati
            Haikal merenung Hakim sambil berusaha membaca apa yang sedang difikirkan oleh sahabatnya itu.

            "Hidup sekadar menghela nafas itu sama sahaja seperti binatang. Meneruskan kehidupan dengan sekadar makan minum, pergi kuliah balik kuliah, mandi, tidur tapi hati mati. Itu suatu kematian sebelum ajal datang menjemput. Kalau kita terus macam itu, kita tidak mampu memanfaatkan sepenuhnya masa yang masih dalam sebelum ajal datang menjemput kita," tambah Hakim lagi dengan nada yang serius.

            "Mungkin betul juga cakap engkau itu Hakim. Apabila engkau bercakap macam itu, banyak perkara yang aku mula sedar. Macam aku solat sebentar tadi, terasa seperti bersenam di awal pagi sahaja. Anggota badan aku sahaja bergerak, namun hati aku tidak menuruti gerakan anggota badan. Solat yang dikerjakan hidup pada zahirnya tapi mati di dalam hati. Kurang penghayatan aku dalam solat," balas Haikal yang mula memahami maksud Hakim.

            "Benar bukan? Hati kita selama ini sering sahaja lalai dalam mengerjakan amal ibadah. Seperti rutin harian sahaja solat yang dikerjakan. Bukannya suatu ibadah yang sepatutnya memperharui setiap fasa kehidupan seharian," sokong Hakim dengan apa yang diucapkan Haikal.

            "Jadi matinya kita sebagai persoalan yang besar untuk difikirkan. Cukup usaha kita sekarang dalam memenuhi kriteria seorang Muslim. Asalkan kita mati dalam usaha menjadi seorang Muslim yang sejati. Allah sendiri pesan di dalam al-Quran kepada para hambaNya, jangan mati selagi bukan Muslim," balas Haikal lagi.

Luas Pemikiran
"Mengingati mati pun akan menjadikan kita pelajar yang cemerlang," ucap Hakim untuk mengubah konteks perbualan mereka mengenai kematian bagi melebarkan

            "Macam mana pula boleh jadi cemerlang?" soal Haikal.

            "Engkau pernah dengar apa yang Steve Job cakap apa tentang kematian sebelum dia meninggal dunia?" soal Hakim.

            "Tak pernah. Apa yang Steve Job cakap?" soal Haikal dengan penuh teruja.

            "Dia berkata alat yang penting yang dijumpainya untuk melakukan keputusan besar dalam hidup adalah dengan mengingati mati," jawab Hakim yang mengingati kata-kata yang terkenal dari Steve Job sebelum kematiannya.

"Mengingat-ingat bahwa aku akan mati adalah alat yang paling penting yang pernah aku jumpai untuk membantuku membuat keputusan besar dalam hidup."


Steve Jobs, 2005

            "Wah, hebatnya Steve Job," balas Haikal dengan penuh kagum.

            "Tapi Rasulullah SAW sudah pesan kepada umatnya terlebih dahulu. Baginda bersabda bahawa orang cerdik itu adalah orang yang paling banyak mengingati kematian dan paling bagus persiapan dalam kehidupan untuk menghadapi kematian," pintas Hakim dengan penuh bersemangat memetik suatu hadis dari Rasulullah SAW.

            Orang yang beriman dengan Islam itu merupakan orang yang luas fikirannya. Ini kerana dalam salah satu rukun iman, kita diwajibkan untuk beriman dengan hari akhirat. Keimanan kita terhadap hari akhirat itu yang menjadikan pemikiran kita semakin bertambah luas berbanding orang yang tidak beriman dengan hari akhirat. Lalu, setiap pekerjaan yang bermula dengan proses berfikir yang menerpa jauh dari apa yang dilihat. Ini menjadikan kita sentiasa teliti dalam melakukan sesuatu perkara.

Ibnu Umar berkata:

            “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

            “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,”
(Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

            "Jom Haikal kita pulang ke bilik. Mentari sudah menyinar," ajak Hakim menamatkan perbualan mereka pada pagi itu.

            "Bersemangat rasanya nak mulakan hidup pada hari ini," balas Haikal sambil bingkas bangun dari tempat duduknya.

            "Alhamdulillah," balas Hakim sambil mengikuti Haikal menuruni tangga dan berjalan pulang ke bilik.

No comments:

Post a Comment