Wednesday 7 November 2012

Bertuhankanlah Allah Tatkala Mendengar Lagu


Bertuhankanlah Allah Tatkala Mendengar Lagu

Kadang-kadang aku sendiri pun pelik kenapa rakan-rakanku sendiri begitu khayal melayan lagu-lagu yang dinyanyi oleh artis-artis K-POP dan yang terbaru adalah video klip Oppa Gangnam Style. Saya sendiri tidak melayan sangat lagu-lagu yang sebegitu rupa. Tapi apabila melihat beberapa komentar yang bertebaran di paparan wall Facebook membuatkan saya tertarik untuk menkaji dengan lebih mendalam kenapa video klip Oppa Gangnam Style begitu diminati oleh anak muda sehingga muncul video klip parody yang melakonkan kembali aksi-aksi yang terdapat dalam video klip yang asal.

            Dari aspek lain, video klip itu juga mengundang ribuan komen yang member penilaian seperti berikut di wall Facebook :

“Ini memang agenda Yahudi untuk merosakkan anak muda Islam.”

“Hey! Mereka tak tahu ke video tu memaparkan aksi-aksi yang penuh kelucahan?”

“Sudah akhir zaman. Tak hairanlah video klip sebegini mendapat sambutan ramai.”

                Semua yang dilihat di wall Facebook yang saya kongsikan sedikit di atas sememangnya tidak dapat dinafikan kebenarannya. Video klip tersebut menayangkan gadis yang berpakaian separuh telanjang dan sebahagian besarnya memaparkan aksi yang menaikkan nafsu syahwat bagi manusia yang normal. Namun begitu, video klip itu adalah perkara yang normal untuk menghidangkan unsur-unsur kelucahan tersebut kerana mereka bukan beragama Islam. Jadi apa yang perlu dihairankan? Perlukah dihairankan? Perlukah nak marah sangat? Sebagai analogi yang ringkas untuk menerangkan maksud saya pada perenggan ini adalah pelik sangatkah seandainya seseorang yang berjalan dalam kegelapan akan melanggar seribu satu macam perkara? Tiada peliknya disitu bukan?

            Tetapi perkara yang perlu dihairankan dan dipelikkan adalah kenapa begitu ramai yang melanggar seribu satu macam perkara sedang mereka mendakwa berada dalam kecerahan? Kenapa anak muda yang beragama Islam begitu berminat dengan video klip berkenaan?

            Seeloknya mari kita bergerak kepada fasa seterusnya yang lebih positif iaitu fasa penyelesaian masalah. Teruskan membaca untuk bahagian seterusnya dengan hati yang tenang.

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

“Kenapa engkau layan lagu Oppa Gangnam Style?” soalku dengan raut wajah yang penuh kehairanan melihat gelagat melayan video klip tersebut.

“Aaaaa…aku dengar lagu jer bukan tengok videonya pun,” jawab rakanku sambil melepaskan headphone yang kemas dikenakan di atas kepalanya.

“Kenapa layan lagu tu dan bukannya lagu yang lebih difahami?” soalku lagi.

“Dia punya muzik tu best. Rancak jer dengar,” balasnya sambil menyarungkan kembali headphone di kepala.

Sungguhpun perbualan diatas tidak dapat mewakili realiti sebahagian besar yang sedang belaku sekarang tetapi ianya sudah cukup untuk menjelaskan sebahagian faktor asas yang mendorong seseorang adalah untuk mengkhayalkan mindanya untuk lari daripada kesibukan yang melanda dirinya. Mungkin mereka mendengar muzik kerana ingin merehatkan minda mereka setelah penat melakukan assignment. Niatnya mahu merehatkan minda tetapi kenapa perlu dipilih lagu yang tidak dapat difahami? Lirik yang mungkin mengucapkan sesuatu yang haram? Sesuatu yang tiada kepastian? Soal diri sendiri dan muhasabah bagi peringkat individu.

Kita ada gaya tersendiri sebagai Muslim.

Menyiram Pada Akar Bukannya Pada Ranting

Saya membawakan analogi ini agar para pembaca dapat berfikir dengan lebih realistik. Adakah wajar untuk kita hairan dengan ranting-ranting yang mati dek kerana akarnya pun sudah mati? Sudah tentu tidak.

            Siramkan pokok pada akarnya bukan pada rantingnya. Bagitu juga manusia, siramkan ilmu pengetahuan pada hatinya dan bukannya pada ranting-ranting kehidupan mereka. Kita jangan sesekali hilang punca tatkala berhadapan dengan seribu satu macam masalah yang menimpa generasi muda yang beragama Islam pada zaman sekarang.

            Jangan terlalu melampau memfokuskan kepada permasalahan yang timbul sehingga kita tenggelam punca untuk menyelesaikan masalah anak muda. Fokuslah kepada permasalahan sekadar mana cukup untuk dijadikan modal bagi menggerakkan usaha penyelesaian agar masalah yang timbul dapat ditangani.

            Usaha penyelesaian pula jangan difokuskan kepada permasalahan ranting sahaja. Kaji kembali bagaimana dengan keadaan akar yang menumbuh ranting iaitu hati. Bagaimana keadaan akidah mereka? Adakah akidah mereka yang sedia ada sekarang tidak disiramkan dengan ilmu pengetahuan agama yang secukupnya dan disampaikan dengan cara yang sewajarnya? Itulah yang sepatutnya menjadi fokus utama daripada hanya tahu membincangkan konspirasi Yahudi dan Freemason sahaja. Buang masa sahaja jika kita tidak jelas apa yang sepatutnya difokuskan! Utamakan apa yang sepatutnya difokuskan! Musahabah buat mereka yang benar-benar ikhlas ingin menyelesaikan permasalah di kalangan generasi muda di peringkat umum.



*Sengaja saya siarkan kembali kerana ini bukan isu semasa tetapi isu sepanjang masa. Jadi taklah kita bersemangat waktu isu ini tengah hangat sahaja tetapi terus istiqomah untuk memperbaiki diri. Semoga menegur dengan penuh berhikmah jika mendapati ada kekurangan pada penulisan ini :)


No comments:

Post a Comment