Sunday 11 November 2012

Falsafah Bangau Oh Bangau Yang Melanda Masyarakat


Falsafah Bangau Oh Bangau Yang Melanda Masyarakat


Apabila difikirkan kembali, seandainya kita memusatkan penyelesaian masyarakat itu kepada diri kita, nescaya banyak penyelesaian kepada kemelut yang timbul akan terungkap satu persatu. Tetapi secara realiti, jika kita memahami dengan sebaik mungkin falsafah bangau oh bangau yang melanda umat Islam khususnya di Malaysia ini, maka ianya dapat dibahagi kepada 3 peringkat iaitu :
  1. Individu
  2. Masyarakat
  3. Kerajaan

Individu

"Zaman sekarang dah tak ada orang yang jujur" luah seorang rakan di laman sosial Facebook. Apa yang menariknya adalah apabila difikirkan kembali, si penulis itu sendiri sebenarnya termasuk dalam kalangan orang yang tak jujur kerana dia merujuk kepada semua orang pada zaman ini. Mereka mengharapkan perubahan kepada suatu kehidupan yang bahagia kepada orang lain tanpa merujuk seluas-luasnya kepada diri mereka sendiri. Ini seolah-olah memberi remote control kepada orang lain untuk mengawal kepada kebahagian kehidupan mereka.

                "Ish! Teruk betul lelaki zaman ni. Memang gila seks betul hinggakan dirogolnya perempuan yang lemah," bentak seorang perempuan ketika membaca liputan berita yang menyiarkan kes rogol yang berleluasa berlaku sambil membelai lembut rambutnya yang tersisir dan mengankat kembali seluar yang semakin menampakkan punggungnya itu di sebuah warung makan.

Masyarakat

"Inilah anak muda sekarang asyik buang bayi sahaja di sana sini. Merempit tak tentu hala," kata seorang pak cik ketika membaca halaman surat khabar sambil duduk bersila panggung dan menghirup kopi panas di sebuah warung.

                "Ramai perempuan sekarang di universiti dan lelaki di pusat serenti," ujar seorang guru di hadapan para pelajar yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

                "Sedih betullah apabila melihat rakyat Palestin yang dizalimi oleh askar Zionis," ucap seorang lelaki yang melihat berita-berita yang tersiar melalui laman Facebook melalui iPadnya sambil mengetuk abu rokok di tempat habuk rokok. Asap rokok dihembus berkepul-kepul dari mulutnya.

Kerajaan

"Hudud tidak relevan kerana masyarakat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk," ucap seorang Menteri melalui suatu sidang media oleh wartawan. Pada masa yang sama, media itu juga yang banyak menyiarkan rancangan hiburan daripada menjelaskan persoalan hudud yang sebenar di sisi Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah untuk ditonton oleh masyarakat majmuk yang kebanyakkannya masih belum memahami apa itu hudud.

                "Kita sedar betapa ramainya anak muda sekarang sudah terjebak dengan seribu satu macam gejala sosial," kata seorang pemimpin dengan nada yang sedih. Tetapi ada masa yang sama hiburan melalui media dan konsert-konsert terus dihidang setiap kali menyambut sesuatu perayaan. Katanya untuk disesuaikan dengan keadaan masyarakat majmuk. Sedangkan kalau dipusatkan penyelasaian itu pada dirinya, konsert dapat dikurangkan dengan mengehadkan permit.

*Muhasabah itu sangat perlu di peringkat individu, masyarakat dan kerajaan agar terungkap seribu satu penyelesaian buat kemelut yang melemaskan kehidupan semasa. Hentikan falsafah bangau oh bangau!

No comments:

Post a Comment