Sunday 25 November 2012

Beribadah di Sawah Padi


Beribadah di Sawah Padi

*Aku menulis artikel ini untuk dijadikan renungan bagi rakan-rakanku yang ramai berjaya dalam bidang yang diimpikan oleh masing-masing. Dan pada masa yang sama, ayah mereka mengerjakan sawah. Untuk musahabah diri sebagai anak pesawah.


Apabila teringatkan kembali keletihan membantu ayahku di sawah sewaktu cuti yang panjang sementara menunggu keputusan SPM keluar pada tahun 2010 yang lalu, aku masih lagi merasa keletihan itu. Betapa letih mengangkat kampit baja yang seberat 20 kilogram dan berjalan berulang alik sejauh 300 meter dan berbataskan lumpur yang seringkali menangkap kaki. Mahu sahaja dibuang ke dalam sawah dek kerana tidak dapat menerima keletihan yang ditanggung. Tetapi ayahku turut pandai bermain dengan psikologiku. Ayahku turut sama menanggung kampit baja di hadapan dan berjalan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Geram juga di dalam hati, "Kenapa aku tidak sekuat ayahku untuk mengerjakan sawah yang begitu luas ini?"

                "Kalau kita tak buat bendang, rakyat Malaysia nak makan apa," itulah kata ayahku setiap kali selesai makan malam. Apa yang membuatkan ku tertarik dengan ayat ayahku ini adalah kalau bukan kita yang usahakan bendang siapa lagi. Sedangkan boleh sahaja rakyat Malaysia mengimport beras dari luar seperti Siam dan sebagainya, tetapi ayat ini tidak keluar dari mulut ayahku. Sekarang apabila aku menulis kembali kenangan ini, barulah ku sedar bahawa ayahku menganggap bahawa kerja yang dilakukannya sekarang bukanlah semata-mata untuk mencari rezeki untuk keluarga tetapi untuk berbakti kepada masyarakat. Barulah aku sedar, bahawa kerja sudah menjadi ibadah apabila niatnya sudah betul.

                "Nanti kalau ayah sudah mati, hang pulak kena usahakan bendang yang kita ada sekarang," itulah kata-kata ayahku setiap duduk berehat di tepi sawah untuk melegakan sedikit keletihan selepas bekerja. Aku menginsafi bahawa ini bukan sahaja amanah daripada ayahku tetapi amanah daripada Allah untuk mengerjakan tanah bagi memberi manfaat kepada manusia yang lain.

                "Kenapa la orang nak tutup air masuk ke bendang kita," keluh ayahku sendirian apabila pulang di waktu senja. Sedih juga mengenangkan sikap sesetengah orang yang mengusahakan sawah dengan sikap yang kotor. Tetapi ini menyedarkanku bahawa jika mengerjakan sawah dengan sikap yang sebegitu, ia menjadikan kerja mereka itu bukannya satu ibadah tetapi hanya letih sahaja dan mengundang murka Allah kerana menyusahkan orang lain.

                Di akhir penulisan ini, aku bertanya kepada diri ini sendiri, " Mampukah aku untuk beribadah di sawah seperti mana yang dilakukan oleh ayahku sekarang?" soalan ini masih belum dapat ku jawab. Tetapi ianya sering menjadi muhasabah yang wajib kerana sawah yang diusahakan oleh ayahku perlu diteruskan oleh generasi yang seterusnya.

Terima Kasih Ayahku - Abdul Halim Bin Ahmad 

No comments:

Post a Comment