Monday 12 November 2012

Aku Kotor! Aku Tak Suci!


Aku Kotor! Aku Tak Suci!

            "Jika engkau sedar diri engkau hina! Jika engkau sedar diri engkau sudah tak suci! Jadi lebih engkau fikirkan kemana engkau mahu pergi sekarang?" tegas Mira.

            "Aku buntu Mira. Rakan-rakanku pandang hina aku. Mak ayah sudah memandang hina aku. Orang di sekeliling aku semuanya memandang hina diriku sekarang. Jadi mana lagi aku mahu pergi sekarang?" luah Alia dengan air mata yang berlinangan.

            "Pulanglah kepada Allah SWT. Dia sentiasa ada bersama-sama hambaNya yang mahu bertaubat," jelas Mira dengan nada yang lembut.

            "Tapi dosa aku dengan Allah SWT banyak sangat Mira," luah Alia dengan penuh nada kecewa.

           "Habis kalau bukan Allah SWT untuk engkau kembali, kepada siapa lagi yang engkau mahu minta ampun?" soal Mira dengan nada menduga.

            Alia hanya mampu tertunduk pasrah dengan persoalan yang ditujukan oleh sahabat baiknya itu.

Allah SWT Sebaik-baik Tempat Kembali

Ada yang merasakan diri mereka tidak akan diampunkan Allah SWT, lantas mereka itu membelakangi Allah SWT di dalam kehidupan mereka. Namun, buat mereka yang membaca penulisan ini harus menyoal kembali diri mereka buat seketika, "Kepada siapa lagi yang mampu mengampunkan dosa-dosaku yang tidak terhitung ini?"

            Persoalan ini akan terjawab dengan kemas jika direnungkan kembali dengan sedalam-sedalamnya ayat al-Quran ini yang berbunyi :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Az-Zumar, Ayat 53



Selagi mana engkau merasakan diri engkau kotor, maka mohonlah kepada Tuhan yang Maha Suci untuk memohon keampunannya. RahmatNya lebih luas daripada kemurkaanNya.


No comments:

Post a Comment