Tuesday 6 November 2012

Membaca Itu Amalan Muslim


Membaca Itu Amalan Muslim

Untuk entri kali ini, saya akan membawa ulasan-ulasan mengenai buku-buku yang pernah saya baca walaupun tidaklah semua berjaya dihabis. Nanti boleh memberi perhatian terhadap buku-buku di bawah apabila pergi ke kedai buku dan pesta buku. Selamat membaca :D







La Tahzan (Jangan Bersedih) karya Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni
Buku ini sememangnya agak membuatkan saya kurang bersedih. Pengisiannya membuatkan kita akan berfikir berulang-ulang kali keperluan untuk bersedih. Lebih berkonsepkan gaya santai yang bersulamkan ayat-ayat al-Quran yang menenangkan jiwa bagi yang menghayatinya.

Dua Wajah karya Dr. Syed Husin Ali
Buku ini saya terjumpa sewaktu membelek buku-buku di POPULAR. Ringkasnya yang dapat saya kata mengenai buku ini adalah para pemuda sekarang akan berfikir banyak kali untuk mencaci ahli politik. Ianya mengisahkan seorang ahli politik yang mana mendekam buat sekian waktu di dalam tahanan ISA. Tetapi salah satu pengajaran yang saya ambil daripada buku ini adalah, kepercayaan kepada Allah SWT akan membuatkan kehidupan di dalam penjara itu menjadi lebih tabah.

5 Tokoh Penggugat Zaman karya Dato' Mahmood Zuhdi
Buku ini menceritakan mengenai 5 orang tokoh ulama yang membawa pembaharuan pada zaman dahulu seperti Ibnu Taimiyyah, Ibn Hazm, Al-Kawakibi, Sayyid Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Hikmah perjuangan para ulama untuk membawa perubahan di dalam umat Islam benar-benar membekas di hati dengan catatan sejarah mereka.

Travelog Minda Tajdid karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr.MAZA)
Antara banyak karya-karya yang ditulis oleh Dr.MAZA, ini salah satu karya beliau yang mengjelaskan sisi positif yang dapat kita pelajari daripada negara Barat. Dengan ulasan yang penuh nilai ilmiah, sedikit-sebanyak pengajaran yang dapat memurnikan kembali pandangan kita mengenai Barat untuk dicontohi dengan saringan nilai Islam.

Rindu Bau Pohon Tin karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Buku ini merupakan travelog sepanjang pengajian Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di Jordan. Banyak suka duka yang dilalui oleh beliau dalam menuntut ilmu di negara Timur Tengah itu. Namun, apa yang pasti, sesiapa yang membaca buku ini pasti akan dapat menjiwai sedikit sebanyak apa yang dirasai dalam berhadapan dengan ujian-ujian tersebut. 

Budaya Ilmu : Satu Penjelasan karya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud
Bagi saya, sejelasnya, buku ini akan membuatkan kita berfikir akan keperluan untuk mewujudkan budaya ilmu dalam kehidupan kita sekarang kerana penulis berjaya menyedarkan pembaca akan kepentingan budaya ilmu di dalam kehidupan. Disulam dengan catatan sejarah dari sumber yang kukuh, kata-kata ulama muktabar, kisah pengajian para ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina dan juga kisah keilmuan tamadun Barat.

Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ini merupakan siri travelog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sewaktu bermastautin di United Kingdom dan Ireland. Antara kisah yang membekas di dalam hati saya adalah coretan pengalamannya sepanjang menjadi Imam di Belfast, Ireland. Tambahan pula, ketika itu peristiwa pengeboman menara WTC di Amerika Syarikat pada 11 November baru sahaja terjadi.

Secangkir Teh Pengubat Letih karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ini merupakan siri travelog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sewaktu berada di negara Turki. Banyak hikmah dan pengajaran yang saya dapati dalam pengalaman beliau bermusafir di negara warisan Kerajaan Uthmaniah itu. Saya benar-benar tersentuh dengan kata-kata Sultan Abdul Hamid II sewaktu berada dalam pembuangan di Salonika, Greece yang turut dimuatkan di dalam buku ini iaitu :

"Aku yakin ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekalipun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku."

Diari Musafir : Jangan Berhenti 'Berlari' karya Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Buku yang berkonsepkan diari ini merupakan catatan perjalanan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman sewaktu melanjutkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah di negara Eropah. Banyak catatan yang boleh kita manfaatkan kerana sebahagiannya diulas dengan nilai ilmiah.

Ulama' Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan karya Ustaz Riduan Mohd Nor dan Ustaz Fadhli Ghani
Jelas saya kata disini, jika sesiapa yang membaca buku ini pasti akan dapat menjiwai kemerdekaan yang dicapai sekarang. Mana tidaknya, di dalamnya dimuatkan pelbagai catatan sejarah bersumberkan rujukan yang jelas akan perjuangan para ulama terdahulu sehingga sewaktu mencapai kemerdekaan.

Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh karya Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman
Sedar tak sedar saya sudah membaca buku ini sebanyak 3 kali. Ianya benar-benar menyegarkan jiwa seorang pemuda yang mencari ikon untuk terus bersemangat dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran. Ikon yang dimaksudkan adalah Sultan Muhammad II (al-Fateh). Gelaran al-Fateh itu diberikan kerana Baginda berjaya menawan kubu pertahanan kerajaan Byzantine iaitu Kota Konstantinopel.

Himpunan Hadis Modal Insan karya Dr. Zulkifli al-Bakri
Buku ini memuatkan banyak hadis yang dapat menyedarkan kita akan nilai-nilai bagi berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membawa diri kita ke arah kebaikan. Cerita-cerita masyarakat Islam zaman dahulu juga turut dimuatkan, lalu ianya menjadi buku ini lebih lazat dibaca dan difahami.

Himpunan Hadis Modal Insan (Jilid II) karya Dr. Zulkifli al-Bakri
Buku ini merupakan sambungan bagi Jilid I.

Al-Quran
Apa yang paling penting, a-Quran jangan sekali-kali dilupakan dalam kesibukan membaca buku-buku di atas. Semoga terus membaca dengan istiqomah :D

2 comments:

  1. Buku al-Fateh tu macam dah nak rabak je. :D

    ReplyDelete
  2. Memang dah nak rabak la, ana baca dah masuk 3 kali. Bawa ke hulu ke hilir :D

    ReplyDelete