Wednesday 14 November 2012

Hijrah Menuju Fitrah Diri


Hijrah Menuju Fitrah Diri

            "Engkau bukan kawan yang aku kenal dulu. Engkau banyak betul berubah. Apa yang telah terjadi dengan engkau ni Zaid?" soal Helmi dengan penuh terkejut sewaktu terserempak dengan rakan lamanya yang bernama Zaid.

            "Diri aku yang engkau kenal sebelum ini bukanlah diriku yang sebenar. Betul, itu bukan diriku yang sebenar. Dahulunya aku sendiri pun tertipu dengan identiti diriku yang sebenar," jelas Zaid dengan nada penuh keinsafan

            "Hah? Apa yang engkau cakap ni? Aku tak faham lah," soal Helmi.

            "Yelah. Kita sering menganggap imej yang buruk itulah identiti diri kita yang sebenar. Tetapi sebenarnya tidak. Kini aku sudah mulai sedar. Diriku yang sebenar adalah fitrah ku sendiri iaitu Islam. Apabila aku kembali kepada fitrah Islam, itu bererti aku kembali kepada diriku yang sebenar," jelas Zaid dengan penuh bersemangat.

            "Ouh. Macam tu ya. Jadi apa yang aku fikirkan selama ini salah ye? Hurmm, apa dalil yang menunjukkan diri kita yang sebenar adalah fitrah Islam? Jangan engkau salah faham pula ya, aku faham apa yang diterangkan engkau sebentar tadi, tapi faham-fahamlah, nanti kalau aku nak jelaskan kepada orang lain, mungkin mereka akan minta dalil dan segala macam lagi," balas Helmi dengan nada yang teruja.

            "Ada sahaja. Jangan risau, Islam itu mesra dengan akal fikiran manusia. Antara dalilnya adalah, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Hadis ini dari Abu Hurairah r.a. dan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim," jelas Zaid.



Hadis Fitrah Diri

            "Kenapa tidak disebutkan ‘Islam’ pun dalam hadis tu? Yahudi, Nasrani dan Majusi ada pula," soal Helmi dengan wajah yang penuh kehairanan.

            "Islam itu kan sudah disebut pada awal hadis pada bahagian anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Itu bererti setiap anak itu sememangnya dilahirkan dalam keadaan Islam. Tetapi setelah dilahirkan, ibu bapalah yang akan menyebabkan dia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi," terang Zaid dengan jelas.

            "Ouh. Sekarang baru aku faham. Betullah. Realiti sekarang, ramai juga ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup orang kafir. Susah betul hendak berjumpa dengan keluarga yang benar-benar mendidik anak mereka dengan nilai-nilai Islam," ulas Helmi terhadap penjelasan Zaid.

            "Betul, realiti sekarang macam yang engkau sebutkan itu. Tetapi kita tidak boleh terus-menerus menyalahkan ibu bapa sahaja dalam situasi kita sekarang. Anak-anak kan semakin hari semakin dewasa, masing-masing sudah boleh berfikir yang mana buruk dan yang mana baik. Jadi, menjadi tanggungjawab si anak untuk memilih nilai-nilai kehidupan yang bagaimana untuk diamalkannya," jelas Zaid untuk memantapkan lagi kefahaman Helmi itu.

Menyeru Kepada Fitrah

            "Apabila aku sudah sedar bahawa selama ini kita tersilap dalam melihat identiti kita yang sebenar, maka aku suka sekali berkongsi dengan rakan-rakan terdekat. Syukurlah hari ini aku dapat menjelaskan perkara ini kepada engkau Helmi. Cuma aku masih lagi perlu berusaha supaya keluarga aku turut faham akan perkara ini," ujar Zaid dengan nada yang berbaur kecewa.

            "Sabarlah. Mereka mungkin memerlukan sedikit masa untuk menerima perubahan diri engkau Zaid. Teruskan berusaha untuk membuat mereka faham," balas Helmi sambil memegang bahu Zaid.

            "Aku pun bersyukur kepada Ilahi Zaid kerana Dia mempertemukan kita berdua pada hari ini. Kalau aku tidak bertemu dengan engkau, pasti aku masih lagi tidak mengenal siapa identiti diriku yang sebenar," tambah Helmi lagi dengan penuh bersemangat.

Berusaha mencari fitrah diri kita dalam kehidupan yang penuh ujian dan tipu daya ini. Nescaya Allah SWT akan memperlihatkan fitrah diri kita setelah hanyut dibawa oleh arus kehidupan ini.

No comments:

Post a Comment