Saturday 22 June 2013

Amanah Di Sebalik Pengisian Blog

Amanah Di Sebalik Pengisian Blog

Melihat kepada percambahan blog di alam maya, seharusnya dimuhasabah kembali sejauh mana pengisian di dalam blog tersebut dapat mendekatkan lagi masyarakat alam maya kepada Allah SWT. Terdapat suatu amanah besar di sebalik kecanggihan teknologi maklumat pada zaman sekarang untuk dimanfaatkan bagi memperhambakan jiwa manusia kepada Allah SWT. Sekiranya amanah ini tidak disedari, maka ia akan menyebabkan kecanggihan teknologi maklumat ini mengundang bencana seperti penyebaran berita palsu dan fitnah.

            Mungkin perkara ini dapat difikirkan dengan baik sekiranya saya menyeru sedemikian; bertuhankanlah Allah SWT tatkala aktif menyiarkan pengisian blog. Fikirkan kembali kepada siapa kita perhambakan diri sewaktu jari jemari menulis, mengklik dan memuatnaik pengisian di dalam blog kita sendiri.

            Jangan sama sekali menjadikan laman blog sebagai tempat untuk melambakkan pengisian yang sia-sia dan tidak memberikan manfaat kepada orang yang melihatnya. Jika hanya mampu menjadikan blog untuk penuh diisi dan tidak bersawang, maka sebaiknya muhasabah kembali kenapa kita ingin mewujudkan blog.


            Akhir sekali, ingatlah bahawa pengisian yang kita penuhkan di dalam blog itu merupakan sebahagian daripada saham kepada dosa dan pahala kita untuk dihitung di akhirat kelak. Tangan yang kita gunakan untuk mengisi sebarang perkara di dalam blog itu kelak yang akan menentukan sama ada ia menjadi saham yang membawa ke neraka atau saham yang membawa ke syurga.


            Fikirkan dengan sebaik mungkin. Sebaik-baik blog, adalah blog yang terhasil daripada usaha kita berfikir akan Allah SWT dan diri kita. Bak kata Pak Hamka: Hujung akal pangkal agama. Maksudnya, kehidupan beragama itu bermula dengan sejauh mana kita menyukuri nikmat akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment