Wednesday 5 June 2013

Pemerintah Umayyah Di Cordova Yang Mencintai Ilmu

Pemerintah Umayyah Di Cordova Yang Mencintai Ilmu



Khalifah Abdul Rahman II (Khalifah Kerajaan Umayyah ke-18) bukan sahaja cintakan bidang kesenian dan seni bina, tetapi juga bidang sains dan kesusasteraan. Beliau begitu meminati hasil karya falsafah Yunani sehingga sanggup menghantar Abbas ibn Nasih ke Mesopotamia untuk mengumpulkan buku-buku yang baru dan jarang ditemui, terutamanya terjemahan bahasa Arab oleh orang Parsi dan hasil karya orang Yunani dalam bidang sains.

            Imamuddin mencatatkan bahawa perpustakaan yang pertama dan terbaik di Andalus adalah Perpustakaan Diraja Cordova. Sejak dari pemerintahan Abdul Rahman II lagi, ia menjadi sebuah universiti yang terbaik di dunia Islam dan kecemerlangan ini telah diteruskan oleh Abdul Rahman III. Kedua-dua anak Abdul Rahman III iaitu Muhammad dan al-Hakam II lebih cenderung dalam aktiviti kesusasteraan dan mereka dikatakan mempunyai koleksi atau simpanan buku yang tersendiri. Ketika al-Hakam II menaiki takhta, beliau telah menubuhkan tiga buah perpustakaan untuk kegunaan khalifah dan puteri-puteri mereka.

            Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa orang ejen ke Mesir, Syria dan Iraq untuk membeli manuskrip dan buku-buku yang tidak terdapat di Andalus. Sebagai contoh, ejen beliau bernama Fatimah telah meneroka kebanyakkan kedai buku dan perpustakaan di beberapa buah bandar yang jauh seperti Kaherah, Iskandariah, Damsyik dan Baghdad untuk membeli atau membuat salinan manuskrip kuno dan moden. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak ada hadiah yang paling bermakna bagi Khalifah al-Hakam selain menerima manuskrip yang luar biasa dan jarang ditemui oleh beliau. Tidak hairanlah jika dikatakan bahawa perpustakaanyang dimiliki oleh beliau adalah paling banyak koleksi buku pada Zaman Pertengahan. Dianggarkan bahawa beliau memiliki simpanan buku sebanyak 400 000 buah di dalam perpustakaan miliknya.

            Perpustakaan awam juga dibina di setiap daerah dan wilayah di Andalus. Menurut Ballestros, di bandar Cordova sahaja terdapat sebanyak 70 buah perpustakaan awam yang boleh digunakan oleh seluruh masyarakat di situ.  Setiap perpustakaan ini mempunyai koleksi buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, terdapat juga beberapa buah perpustakaan persendirian yang dibina oleh tokoh-tokoh terkenal sama ada di Cordova atau bandar-bandar lain. Antara perpustakaan persendirian yang terpenting selepas Perpustakaan Diraja adalah perpustakaan Ibn Futais di Cordova, yang telah dijual kepada orang awam sebanyak 40,000 dinar pada awal abad ke-11 Masihi.

            Selepas Cordova jatuh, pusat kebudayaan telah berpindah ke wilayah yang lain. Antara pemerintah Muluk al-Tawa'if, hanya pemerintah Bani Abbad di Seville mempunyai Perpustakaan Diraja dan di tengah ibu kota ini pula letaknya pasar buku. Selain itu, Abu Ja'far ibn 'Abbas, wazir kepada Zuhayr iaitu pemerintah Almeria dikatakan memiliki 400,000 buah buku di perpustakaan persendirian, al-Muzaffar ibn al-Aftas pula selain berjaya menghasilkan karya ensiklopedia bertajuk al-Muzaffariyyah sebanyak 50 jilid juga memiliki sebuah perpustakaan yang besar. Banu Dhu 'l-Nun di Toledo dan Banu Hud di Saragozza juga mempunyai perpustakaan yang terkenal sebagai pencinta buku di Saragossa telah berpindah ke Valencia selepas Saragossa ditawan oleh Alfonso I. Granada juga tidak ketinggalan mempunyai perpustakaan yang terpenting, antaranya ialah perpustakaan Banu Zubaydi, Ibn Furqan dan Aben Lope.


            Semasa zaman kejatuhan Islam, kebanyakkan koleksi buku yang terdapat di perpustakaan ini telah musnah. Walau bagaimanapun, tinggalan koleksi buku-buku orang Islam telah disimpan dengan baik di perpustakaan Escorial dekat Madrid oleh Raja Philip II (1556-1598 Masihi) dan penggantinya. Pada zaman beliau, perpustakaannya itu telah menjadi sebuah perpustakaan yang terkaya dengan manuskrip Islam.

Rujukan : Andalus: Semarak Tamadun di Eropah karya Salmah Omar, hlm.27-29.

No comments:

Post a Comment