Wednesday 19 June 2013

Muhasabah Status Facebook 2012

Muhasabah Status Facebook 2012


December 27, 2012
Ada waktu kita rasa hidup ini seperti tidak lengkap, jika difikirkan semula salah satu sebabnya adalah kerana diri kita sudah semakin jauh dari kelengkapan fitrah diri (Islam).

December 18, 2012
Banyak tenaga dihabiskan untuk kebencian. Sebaiknya disalurkan sahaja tenaga itu untuk melakukan kebaikan.
*Pengurusan tenaga yang cekap menjamin kebahagian hidup.

December 15, 2012
Baru -baru ini ada suatu program yang mana tugasku untuk menjaga kaunter pendaftaran. Dalam borang keahlian persatuan, pelajar diminta untuk mengisi matlamat hidup. Apa yang menariknya adalah satu soalan yang sering disoal kepadaku yang mana berbunyi,
"Abang, matlamat hidup ni nak letak apa ya?"
"Abang, apa ya matlamat hidup saya?"
"Maaf abang, saya tak ada matlamat hidup."
Aku menghela nafas panjang apabila mendapat respon yang sebegini.
Menjadi satu keparahan bagi pemuda jika mereka tidak jelas, kenal dan faham matlamat apa yang hendak dicapai dalam hidup mereka. Ketiadaan matlamat hidup akan mengundang penyakit malas, malas dan malas.
*Mood : Bertatih bersama pemuda mencari matlamat hidup.

December 7, 2012
Fiqh al Khariji:
Ini adalah fiqh yang berjalan mengikut landasan khawarij yang terdahulu. Pengikutnya boleh jadi ikhlas dan berani tetapi pemikirannya terhad dan pandangannya sempit. Mereka keras, cepat menolak, menuduh dan berprasangka buruk kepada golongan pendokong Islam sendiri. Al Qaradawi menyebut bahawa mereka mempunyai sifat ujub dengan pandangan mereka yang sangat membinasakan. Keadaan ini sangat bahaya, biasa mengena pemuda-pemuda yang bersemangat dan baru berjinak dengan dakwah.

December 2, 2012
"Anakku, di taman inilah ayah dan ibumu berdating sebelum berkahwin dahulu. Bahagia betul waktu tuh," cerita si ayah kepada anaknya apabila melalui sebuah taman yang mengimbau kenangan lama bersama isterinya.
"Astaghfirullahalazim. Kenapa berdating sebelum kahwin? Haram kan ayah," balas si anak dengan nada yang lembut.
Si ayah hanya mampu membisu.
*Ciptalah kenangan yang halal di sisi syariat sepanjang perkenalan dengan pasangan yang kita suka supaya nanti menjadi suatu kenangan yang baik untuk diceritakan kepada si anak.
ANDA MAMPU MENGUBAHNYA DARI SEKARANG "

November 30, 2012
"Taubat Tuanku!" "Taubat Tuanku!" Taubat Tuanku!"
Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid:
“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”.
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”.
Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”.
(Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

November 26, 2012
Malam ini emakku menyambung ceritanya lagi seusai dia menghabiskan makanan.
"Hang tau dak waktu nak lahirkan hang punya la payah. Berbanding, abang-abang dan kakak hang yang lain,senang sikit. Kaki mak sampai kena ikat kat atas katil sebab nak lahirkan hang sakit sangat," ucap emakku dengan penuh perasaan.
"Waktu tu bulan puasa. Ayah siap berdoa lagi untuk mak hang mudah lahirkan hang di Masjid Zahir lepas waktu solat sunat terawih," ucap ayahku. Tarikh lahirku jika mengikut kalendar Hijrah, 5 Ramadhan 1412.
Pendek kata dari penceritaan emakku, aku memang berbeza dengan adik-beradikku yang lain. Aku masih mencari perbezaan itu kearah mana...sama ada positif atau negatif.
*Mungkin emakku sering bercerita perihal diriku sebab lagi 2 hari aku akan pulang ke kampus untuk meneruskan pengajian.

November 26, 2012
"Nanti tolong cari menantu kat mak yang boleh jaga mak ayah nah. Jangan pulak pi hantaq kat rumah orang tua," ucap emakku selepas habis bercerita.
"Aish..mana ada nak hantaq rumah orang tua," jawabku pantas.
"Asalkan bakal isteri nanti seorang yang memahami agama, itu sudah cukup mententeramkan emah dan ayahku," detik hatiku sendirian ketika itu.
*Termenung jauh sekejap

November 26, 2012
"Ikhlas saya puji awak. Awak memang cantik sangat," ucap seorang lelaki kepada si perempuan.
Kalau difikirkan kembali, ikhlas itu adalah niat kerana Allah SWT. Jika benar-benar ikhlas, si lelaki tidak sama sekali akan memuji kecantikan si perempuan kerana Allah SWT melarang pujian yang berkemungkinan besar mendorong ke arah keburukan (syahwat).

November 24, 2012
"Adik nak jadi kuat macam Superman. Boleh selamatkan umat Islam yang ditindas."
Mungkin anak kecil ini dikenalkan terlebih dahulu hero fantasi daripada hero realiti.
Anak kecil mesti dikenalkan dengan hero realiti seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, Saidina Umar Al-Khattab, Salahudin Al-Ayubi dan seangkatan dengan mereka. Bukannya dikenalkan terlebih dahulu hero FANTASI seperti Superman, Batman, The Flash, Hulk dan seumpamanya kerena ia hanya fantasi.
Islam memerlukan hero yang bergerak secara berjemaah dalam bentuk REALITI, bukan FANTASI.

November 16, 2012
Kita kata Facebook ini merupakan konspirasi Yahudi untuk menjatuhkan Islam. Pada masa yang sama perbuatan sebahagian besar daripada kita sekarang sebenarnya mengiakan konspirasi mereka itu dengan menggunakan Facebook sebagai tempat untuk menyuburkan maksiat lantas melemahkan umat Islam. Sedangkan, Facebook ini boleh digunakan untuk meningkatkan kefahaman Islam lantas, menguatkan umat Islam.
Kalau dibuat perbandingan, ianya seperti pihak lawan di medan perang memberikan kita senjata dan kita menggunakan senjata tersebut untuk membunuh diri sendiri. Sedangkan, boleh digunakan untuk melawan pihak musuh kembali.
Elok kiranya kita merenung kembali surat Saidina Umar kepada Saad bin Abi Waqqas :
Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-sama mu (tentera Islam) supaya menjauhkan diri daripada maksiat. Kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.
Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. disebabkan oleh kemaksiatan yang dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi orang Islam pada kekuatannya.
Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka, jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak mereka.

November 15, 2012
"Nobody perfect ok!" ucap seorang pengguna Facebook dengan aksi panasnya di dalam foto bersama pasangan pada 2010.
"Nobody perfect ok!" ucap seorang pengguna Facebook dengan aksi panasnya di dalam foto bersama pasangan pada 2011.
"Nobody perfect ok!" ucap seorang pengguna Facebook dengan aksi panasnya di dalam foto bersama pasangan pada 2012.
* Sudah 3 tahun ayat yang sama dengan aksi yang sama.

November 14, 2012
"Ok yer. Jangan salah faham," ucap seorang pengguna Facebook selepas meng'upload' gambar dengan pasangannya.
"Ok yer. Jangan salah faham," ucap seorang pengguna Facebook selepas meng'upload' gambarnya beraksi dengan gaya panas.
"Ok yer. Jangan salah faham," ucap seorang pengguna Facebook selepas meng'upload' gambarnya memegang botol arak.

* Ucapan "Jangan salah faham" tu tak menghalalkan apa yang haram... baru aku sedar malam ni...

No comments:

Post a Comment