Dakwah Makan Dalam Talam
"Semua yang kita makan
sekarang kurniaan Allah SWT. Kekuatan untuk kita mengangkat tangan ini pun
Allah SWT," ucap seorang abang dari jemaah tabligh pada suatu ketika
dahulu. Ucapannya itulah yang membentuk persepsiku untuk kali pertama bahawa
mereka inilah yang membuatkan langkah-langkahku untuk mengenal Islam yang
selama ini dianuti menjadi semakin rancak.
Begitu pantas masa berlalu, kini aku sudah lanjutkan
pelajaran ke alam universiti. Allah SWT telah menemukan diriku dengan pelbagai
jenis sahabat yang juga mahu mengenal Islam dan memahami Islam dengan lebih
mendalam. Uniknya masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk permulaan
mereka mengenal Islam. Ada yang bermula dengan usrah, ada yang bermula dengan
program motivasi, ada yang bermula dengan iftar bersama yang makan di atas
talam dan pelbagai macam lagi permulaan yang menarik bagi diriku.
Seperkara yang aku belajar untuk setakat ini adalah makan
talam. Aku melihat banyak sekali ruang untuk berdakwah ketika makan setalam bersama
sahabat-sahabat yang baru, terutama sekali dari kalangan junior.
Tidak kurang
juga ada yang menolak pelawaan untuk makan bersama di dalam talam dek kerana
melihat seperti kotor kerana perlu berkongsi lauk, kuah dan nasi yang sudah
disentuh oleh orang lain sewaktu makan.Lantas, aku cuba menyenaraikan beberapa
pengajaran untuk dikongsikan bersama dalam penulisan ini :
1.
Kuku mestilah dalam
keadaan senantiasa bersih kerana ia menyimpan bakteria.
2.
Untuk permulaan
sewaktu makan, mulakan dengan berkongsi seketul lauk terlebih dahulu walaupun
di dalam talam tersebut terdapat berketul-ketul lauk lagi yang ada.
3.
Suapkan makanan
kepada sahabat untuk menghilangkan rasa kekok di dalam diri mereka dengan diri
kita.
4.
Sukarela untuk
membasuh talam sesudah makan. Ini salah satu perkara yang kadang-kadang sukar
untuk diamalkan apabila seseorang itu sudah makan setalam.
5.
Jangan meninggalkan
sahabat dalam keadaan makanan masih banyak dalam keadaan kita mampu untuk
melihat kemampuan rakan kita itu untuk menghabiskannya.
6.
Makan dengan penuh
tertib walaupun keadaan diri merasa lapar. Makan setalam bukan untuk
mengenyangkan perut tetapi untuk mengenyangkan iman dan menguatkan ikatan
ukhuwwah.
7.
Membersihkan kawasan
tempat makan dengan penyapu sampah dan mop. Makan dalam talam itu sunnah tetapi
jangan dilupakan, kebersihan itu juga sunnah yang perlu diingatkan kepada diri
kita.
Semoga selepas ini program iftar yang berlangsung pada
hari Isnin dan Khamis dapat menjadi modal dakwah yang berkesan. Tidaklah ianya
akan menjadi program mengenyangkan perut sahaja tetapi lebih penting daripada
itu mengenyangkan jiwa dengan rasa keimanan kepada Allah SWT.
#Penulisan ini sebagai
usaha untuk mengubah diri penulis sendiri. Ia dikongsi bersama rakan-rakan
semua untuk sama-sama melihat diri terhadap perkara-perkara asas yang
seringkali dilakukan sebelum ini. Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan
untuk menggerakkannya sebagai modal dakwah terhadap rakan-rakan kita
sekeliling.
lama dah tak tengok pusat islam seri iskandar. ..
ReplyDeleteterima kasih atas infonya..saya baru nk ajar anak2 mkn dlm talam
ReplyDelete