Sunday 23 June 2013

Minta Maaf Pada Diri Sendiri

Minta Maaf Pada Diri Sendiri

"Assalamualaikum. Saya minta maaf atas kesilapan dan kecuaian saya sepanjang persahabatan kita berlangsung," taip saya di dalam telefon bimbit sebelum dihantar kepada rakan-rakan yang selama ini bergerak kerja dengan saya di dalam persatuan. Tujuannya hanya sekadar untuk menjernihkan kembali hubungan persahabatan dengan mereka.

            Tidak berapa lama kemudian, mesej saya mula berbalas dengan macam respon, antaranya adalah :

            "Engkau ada masalah ke?" respon seorang sahabat yang berjiwa lembut.

            "Awat cakap lagu ni?" respon seorang sahabat dari Utara.

            Mesej-mesej yang seterusnya lebih kurang sahaja seperti respon di atas. Akan tetapi perhatian saya mula tertancap pada suatu respon yang membuatkan saya berfikir panjang dan merenung jauh sesuatu yang mungkin sebelum ini mungkin terlepas pandang. Mesejnya tertera demikian,

"Awak sepatutnya minta maaf pada diri sendiri."

            Mesej tersebut benar-benar bermakna buat diri saya. Mesej itulah yang difikirkan sepanjang perjalanan pula ke rumah sewa dari bilik rakan saya, Ramadhan yang saya tumpang tidur semalaman bagi menenangkan jiwa.

            Beberapa perkara mula terlintas dalam fikiran saya yang mana bertitik tolak dari mesej tersebut. Tidak kurang juga persoalan demi persoalan berlegar di dalam fikiran,

            "Apakah maksud minta maaf diri sendiri?"

            "Mungkin selama ini aku banyak menzalimi diri sendiri."

            "Diri aku ini bukannya milikku. Ia milik Allah SWT. Amanah dari Allah SWT yang perlu aku jaga dengan bersungguh-sungguh sepanjang berlangsungnya kehidupan."

            "Kenapa aku tidak pernah terfikir langsung persoalan ini? Minta maaf pada diri sendiri? Mendalam betul maknanya."

            Persoalan dan jawapan yang bersulam sepanjang perjalanan pula tersebut membuatkan diri saya untuk berfikir,"Apa yang perlu aku lakukan sekarang untuk menebus kesilapan diriku pada masa yang lalu?"

            Sebagai permulaan untuk menjawab kepada persoalan akhir tersebut, saya mula untuk berpaling dari kesibukan yang sedia ada tanpa mengenepikan tanggungjawab yang sedia digalas bagi melihat kepada beberapa perkara yang asas yang mungkin saya abaikan sebelum ini. Apa-apapun syukurlah bahawa kekuatan untuk bersangka baik kepada Ilahi itu membuatkan perubahan ke arah kebaikan terus bernafas.

            Sampai sahaja di rumah, saya membuka komputer dan melihat kembali beberapa bahan yang dimuatturun dari laman web iTarbiyyah. Salah satu bahan tersebut bertajuk Al-Munthalaq, karangan Muhammad Ahmad al-Rasyid dan tajuk pertama di dalam buku tersebut ada mengingatkan untuk beriman sejenak. Beriman sejenak? Ayat ini mencuit akal fikiran saya.

            "Dalam kesibukan aku membaca, menghadiri majlis ilmu dan seumpamanya, apakah aku pernah duduk untuk beriman sejenak? Duduk bertafakkur memikirkan kembali apa yang aku dapat dari segala macam pengetahuan yang ada. Perlu aku duduk sejenak untuk memupuk iman terhadap pengetahuan tersebut. Daripada itulah yang dapat membuahkan amal di dalam kehidupan," fikir saya sendirian sambil mencapai beberapa helai baju untuk dibasuh.


            Akhirnya, ruang untuk meminta maaf pada diri sendiri perlu diperuntukkan. Itu sahaja kesimpulan untuk bermula suatu fasa kehidupan seterusnya yang lebih segar.

No comments:

Post a Comment